Jumaat, Disember 09, 2016

KERAJAAN BERHAK BATALKAN UNDANGAN DR MAHATHIR


KUALA LUMPUR : Kerajaan yang memerintah mempunyai hak untuk membatalkan undangan sesiapa sahaja bagi menghadiri maj­lis rasmi negara seperti Istiadat Lafaz Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 13 Disember ini.




Teo Kok Seong

Ketua Kluster Seja­rah, Warisan dan Sosiobudaya, Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, pembatalan undangan ter­hadap Tun Dr. Maha­thir Mohamad bagi menghadiri istiadat tersebut tidak salah dari segi perundangan walaupun beliau seorang negarawan yang telah banyak berjasa kepada negara.

Menurut beliau, tindakan sedemikian merupakan ketegasan kerajaan berikutan sikap yang dipamerkan oleh bekas Perdana Menteri itu kebelakangan ini boleh mengundang ketidakstabilan kepada keharmonian negara.

“Kerajaan berhak tentukan siapa hadir atau tidak dan menarik kembali keistimewaan yang dimiliki oleh individu se­perti Dr. Mahathir, memang tidak salah dari segi perundangan.

“Sebelum ini pun keistimewaan yang dimiliki oleh Dr. Mahathir seperti perkhidmatan polis pengiring turut ditarik, namun beliau tidak pernah mengadu atau meru­ngut tentang perkara itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Semalam, beberapa portal be­rita melaporkan Dr. Mahathir tidak dijemput untuk menghadiri Istiadat Lafaz Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 13 Disember ini.

Perkara itu dimaklumkan melalui sepucuk surat bertarikh 5 Di­sember daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dan melalui surat itu difahamkan bekas Perdana Menteri itu diberitahu bahawa jemputan kepadanya untuk ke istiadat berkenaan dibatalkan.

Mahathir di dalam blognya me­ngesahkan beliau menerima undangan untuk hadir pada majlis itu pada 10 November lalu dan menyatakan akan hadir sebelum menerima surat terbaharu yang menyatakan pembatalan jemputan.

Menyentuh mengenai pemba­talan undangan itu, Mahathir berkata: “Rupa-rupanya acara negara adalah sebahagian dari politik parti.

“Saya minta maaf kerana membuat anggapan yang salah. Saya akan ambil ingatan bahawa Istana Negara adalah milik (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) dan Parti Barisan Nasional.”