SEREMBAN, 8 April (Bernama) -- Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau R. Malarvizhi tidak menyesal sekalipun kalah bertanding.
Beliau berkata perkara itu (menyesal) sama sekali tidak pernah terlintas di fikirannya.
"Sebab ini adalah kali pertama dan terakhir saya bertanding, kalau menang saya akan teruskan, kalau kalah itu sahaja.
"Saya beritahu pada masyarakat Rantau saya mahu berkhidmat untuk kamu, kalau mahu terima saya terimalah, terpulang kepada pengundi," katanya ketika berkempen di Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau mengakui sambutan pengundi terhadapnya walaupun baik, namun ia agak kurang memberangsangkan kerana ada yang takut untuk mendekatinya malah ada juga yang hanya memandang dari jauh.
Malah bekas penyampai radio di Toronto, Kanada selama 25 tahun itu berkata sehingga kini beliau tidak menerima langsung sumbangan daripada orang ramai sejak dari hari pertama mengedarkan kad nama yang mengandungi nombor akaun bank miliknya namun tidak kecewa dengan perkara itu.
"Saya berdikari bertanding dalam PRK ini, apa yang saya termampu saya buat, semua saya lakukan dengan kebolehan dan keupayaan saya, kalau nak bantu dialu-alukan, tak nak bantu tak apa," katanya.
Memasuki minggu kedua berkempen, tiada gegantung atau poster beliau kelihatan di jalan-jalan utama, sebaliknya Malarvizhi, yang bergerak secara solo dalam siri kempennya, hanya mengedarkan risalah yang memaparkan manifestonya kepada para pengundi.
PRK Rantau yang akan diadakan 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Dr S. Streram, bekas menteri besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dari Barisan Nasional, Malarvizhi dan seorang lagi calon Bebas, bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.
Ia diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau selama tiga penggal sejak 2004, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.
-- BERNAMA