Khamis, Februari 16, 2017
BERDOA UNTUK ORANG LAIN PUN BOLEH DINIAGAKAN?
KUALA LUMPUR 15 Feb. – Perkhidmatan kiriman doa ke Mekah dengan mengenakan bayaran tertentu disifatkan sebagai satu perbuatan mempergunakan agama untuk habuan dunia sekali gus mencemarkan kesucian agama Islam.
Othman Mustapha
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha berkata, pakej ‘valet doa’ yang ditawarkan dan dipromosikan melalui media sosial jelas menunjukkan unsur menjaja acara ibadah untuk tujuan perniagaan yang tidak dibenarkan Islam.
“Jakim memberi peringatan kepada umat Islam agar sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan individu atau pertubuhan yang menawarkan pakej perkhidmatan ini dengan harga tertentu termasuk pemberian diskaun.
“Hak termakbulnya doa adalah milik Allah SWT semata-mata bukan terletak pada manusia. Ia tidak boleh diqiyaskan dengan badal haji kerana bukan haji mabrur yang diupahkan tetapi amalan badal haji itu sendiri yang menerima upah. Jadi, tidak wajar mana-mana individu menjamin doanya akan dimakbulkan Allah,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Beliau mengulas berhubung perkhidmatan valet doa yang tular di media sosial dengan menawarkan pakej-pakej bayaran tertentu untuk mengirimkan doa di tempat-tempat mustajab di Mekah selain memberikan jaminan 100 peratus wang dikembalikan jika doa tidak dimakbulkan.
Melalui akaun Facebook Valet_Doa, pihak berkenaan yang menggunakan nama samaran Haji Arin menyediakan Pakej King Salman meliputi pakej Multazam, Hijir Ismail dan Maqam Ibrahim iaitu tempat paling mustajab berdoa dengan harga RM5,000 manakala Pakej Solat Lima Waktu, Kaabah dan Masjidil Haram dikenakan bayaran antara RM500 hingga RM1,500.
Dalam pada itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menyifatkan, tawaran perkhidmatan sedemikian merupakan satu perbuatan mengeksploitasi agama Islam.
Beliau menjelaskan, walaupun agama tidak melarang untuk meminta jemaah haji atau umrah berdoa bagi pihak orang lain, ia tidak boleh dijadikan sebagai satu bentuk perniagaan seolah-olah cuba ‘merasuah’ Tuhan.
“Siapa boleh jamin bahawa dia berdoa maka dimakbulkan Allah? Kita tidak boleh berputus asa sekiranya hajat yang dipohon masih belum diperoleh kerana kita sebagai hamba perlu sentiasa berhajat kepada Allah dan sekiranya kita berhenti berdoa bermakna kita menjadi orang yang sombong dan takbur (bongkak),” katanya.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri pula berkata, tidak wajar mana-mana individu menjamin doanya akan dimakbulkan Allah SWT dalam keadaan hak tersebut bukan hak dirinya, apatah lagi jika menetapkan tempoh masa tertentu untuk kemakbulan doa tersebut.
Perbuatan tersebut seolah-olah individu terbabit memaksa Allah SWT untuk mengabulkan doa pada tempoh yang ditetapkan, sedangkan tempoh itu adalah terpulang mutlak kepada-Nya tanpa boleh dipaksa mana-mana hamba-Nya.
“Setelah meneliti isu Valet Doa yang disertakan pula dengan pakej-pakej harga yang berbeza seolah-olah mengikut tahap kemustajaban doa, kami berpendapat, ia adalah sama sekali tidak menepati Islam yang sebenarnya dan tidak mengikut syariat.
“Kami sarankan anjuran dan perniagaan seperti ini hendaklah dibatalkan agar Islam dilihat sebagai agama yang benar-benar mengikut neraca syariatnya dan terhindar daripada fitnah-fitnah dan eksploitasi ibadah,” katanya.
Langgan:
Catatan (Atom)