Presiden Umno Datuk Seri Najib Abdul Razak Sabtu lalu mengingatkan pengkritik nombor satunya, Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimana sayap Pemuda Umno yang dipimpinnya, telah 'menyelamatkan' Umno selepas pendaftarannya dibatalkan pada 1988.
Sambil menegaskan bahawa "80 peratus" parti menolak kepimpinan Mahathir, yang menyelamatkan Umno adalah sayap Pemuda yang dipimpinnya, dakwa perdana menteri.
"Pemuda Umno adakan majlis, di mana saya telah menyerahkan ribuah ahli baru kepada Mahathir.
"Mula lah sejarah Umno baru dapat kita bangunkan
"Kalau tak, Umno Baru akan tergugur, orang putih kata 'stillborn'. Tetapi kerana jasa Pemuda, Umno selamat," kata Najib dalam ucapannya di majlis yang diadakan untuk memperingati 40 tahun penglibatan beliau dalam politik anjuran Kelab Sahabat Najib Razak (N87) di PWTC.
Umno Baru telah ditubuhkan pada tahun 1988 selepas Umno diisytiharkan haram ekoran satu keputusan mahkamah. Dalam pemilihan parti pada 1987, Umno telah berpecah kepada dua pasukan dan Mahathir menang tipis jawatan presiden parti.
Kemenangan Mahathir. bagaimanapun, membuat pencabarnya Tengku Razaleigh Hamzah tidak puas hati dan menubuhkan parti serpihan Semangat 46. Peristiwa ekoran perpecahan itu kemudiannya membawa kepada pembatalan pendaftaran.
Sementara itu, ketika menyingkap 40 tahun pengalaman politiknya, Najib mengakui banyak kisah pahit, manis, getir dan suka duka yang telah dilaluinya.
Namun, katanya, tidak ada satu profesyen lain yang boleh menyaingi profesyen sebagai seorang ahli politik sekiranya hasrat seseorang itu adalah untuk membantu rakyat dan untuk mengubah masa depan negara.
"Sebab itulah saya anggap profesyen sebagai seorang ahli politik satu profesyen yang banyak keistimewaan," katanya.
Doktor mungkin boleh menyembuhkan orang sakit dan jurutera membina jambatan, kata Najib, tetapi ahli politik mempunyai kemampuan untuk mengubah masa depan bangsa, agama, dan negara.
Najib mengakui bahawa dia berada di persimpangan sama ada mahu menyertai politik selepas kematian bapanya pada tahun 1976.
"Sebab masa tu banyak yang kata saya terlalu muda dan tunggu dulu, sabar dulu.
"Tetapi saya kata tak apa lah kerana niat saya tak lain tak bukan untuk menyumbang bakti saya kepada bangsa, agama dan negara.
"Kalau saya tidak ada kemampuan,sama ada parti itu akan tolak saya atau rakyat akan tolak saya," katanya.
Najib memenangi kerusi Parlimen Pekan tanpa bertanding pada tahun 1976 selepas kerusi itu kosong berikutan kematian bapanya.
Berusia 23 tahun ketika itu, Najib juga menjadi timbalan menteri paling muda apabila beliau dilantik sebagai timbalan menteri tenaga, telekomunikasi dan pos dan kemudiannya menjadi menteri besar paling muda yang mengangkat sumpah jawatan pada usia 29.
Ulasan saya, memang benar di saat saat Dr Mahathir ditentang Ku Li dalam pertandingan Presiden Umno pada 24 April 1987, Ku Li dalam kempennya bersama para penyokong Team B di Kuala Terengganu mengisytiharkan beberapa orang menteri dan timbalan menteri menyokongnya seperti Shahrir Samad, Ajib Ahmad, Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak, Kadir Sheikh Fadzir, Radzi Sheikh Ahmad dan ramai lagi.
Kemudian Najib menarik diri dan menyokong Dr Mahathir apabila Anwar Ibrahim yang bertanding jawatan Naib Presiden Umno melepaskan jawatan Ketua Pemuda dan Najib memangkunya. Jika Najib tetap menyokong Ku Li, sudah tentu Dr Mahathir kalah dalam pertandingan tersebut.
Najib dikatakan tidak tetap pendirian oleh para penyokong team B tetapi sikap Najib inilah yang memenangkan Dr Mahathir dengan 43 undi. Ku Li dikatakan sudah mendahului Dr Mahathir ketika proses mengira undi dijalankan tetapi pihak Ku Li mendakwa berlaku penipuan sewaktu mengira undi yang menyebabkan Ku Li tewas tipis.
Inilah jasa Najib kepada Dr Mahathir yang sepatutnya bekas PM itu terhutang budi kepada Najib. Selepas Ku Li tidak dibenarkan menyertai Umno baru, baharulah Dr Mahathir kekal menjadi Presiden Umno selama 22 tahun kerana Dr Mahathir sudah menyingkirkan seteru politiknya seperti Ku Li dan Musa Hitam. Musa Hitam kembali ke dalam Umno tetapi Ku Li meneruskan hasrat untuk menghidupkan Umno lama melalui Semangat 46.
Tanpa kerja keras Najib membantu Dr Mahathir pada 1987, Dr Mahathir sudah tentu tersingkir dan Ku Li yang menjadi Presiden Umno pada 24 April 1987. Inilah sejarah yang Dr Mahathir mudah lupa dan tergamak beliau menjatuhkan Najib dengan mengajak semua parti pembangkang menjatuhkan najib.
Tetapi pemimpin PKR, Rafizi Ramli tidak berminat dengan pelawaan Dr Mahathir yang mahu menjatuhkan Najib selagi sistem tidak berubah. Masakan PKR lupa kerana Dr Mahathirlah, Anwar ditahan ISA pada tahun 1998 dan kerana Dr Mahathirlah Anwar dihumban ke penjara. Justru itu PKR tidak mudah tertipu dengan pelawaan Dr Mahathir.