Khamis, November 12, 2015

TIBA TIBA TAWFIK MENJADI POPULAR

Siapa Tawfik bin Tun Dr Ismail? Tiada siapa yang mengenalinya sehingga beliau membuat kenyataan bahawa Dr Mahathir Mohamad pernah menemui G25 yang mana Tawfik salah seorang ahlinya yang mahu G25 menyokong bekas PM itu menjatuhkan Najib Razak.

Dengan meletakkan nama ayahnya Tun Dr Ismail orang mengenali beliau sebagai anak TPM di zaman Tun Razak (1970-1973) tetapi kenyataan Tawfik menyanggah Dr Mahathir tidak terserlah sebaliknya kenyataannya mahu kerajaan mahu memansuhkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menimbulkan kontroversi.

Beliau memang tidak ngam dengan Dr Mahathir yang tidak melantiknya dalam kabinet beliau sama ada sebagai setiausaha parlimen atau timbalan menteri sedangkan beliau adalah anak bekas TPM. Macam mana Dr Mahathir mahu melantiknya sebagai setiausaha parlimen atau timbalan menteri sedangkan beliau tidak pernah berucap ketika menjadi back bencher.

 Sebagai calon payong terjun di Sungai Benut, beliau tiada grass root dan sebab itu beliau hanya menjadi ahli parlimen sepenggal sahaja. Masa itu peluang untuk membodek Dr Mahathir sudah ada dengan mempertahankan Dr Mahathir yang sedang dicabar oleh bekas Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Tengku Razaleigh Hamzah dalam pertandingan Presiden Umno pada tahun 1987. Sepatutnya beliau menyokong Dr Mahathir dan mungkin diberi jawatan timbalan menteri sebaliknya dua ahli parlimen Johor yang menyokong kuat Dr Mahathir dilantik menteri penuh iaitu Mohamed Rahmat dan Mustafa Mohamed.

Kenyataan beliau tentang Dr Mahathir tidak menonjol sebaliknya kenyataan beliau tentang JAKIM yang membuatkan beliau popular.


Katanya, Dr Mahathir yang menubuhkan JAKIM sehingga mencampuri peribadi orang Islam. Tawfik sebagai bekas ahli parlimen Sungai Benut (1986-1990) tidak memahami sejarah penubuhan JAKIM. Sebagai bekas ahli parlimen BN, mungkin beliau tidak pernah mendengar timbalan menteri berkenaan, Dr Yusof Noor ketika itu menggulung perbahasan bagi pihak JAKIM di parlimen.

Beliau tidak dengar atau jahil tentang peranan JAKIM yang ditubuhkan mengikut perlembagaan negara menyelaras aktiviti agama Islam di seluruh Malaysia.

Dr Mahathir ketika mengulas cadangan Tawfik itu berkata, sebuah negara demokrasi harus dibenarkan menubuhkan atau membubarkan mana-mana jabatan kerajaan yang mereka mahu.
"Jika orang mahu menyingkirkan Jakim, mereka boleh melakukannya. Kerana, ini negara demokrasi, mereka boleh berhenti menyokong kerajaan. Itu saja," kata Dr Mahathir pada sidang media di Bangsar, Kuala Lumpur semalam.
 Bagaimanapun, katanya, beliau tidak bersetuju dengan pandangan Tawfik Ismail mengenai perkara itu, sambil menambah kenyataan anak sulung bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman itu merupakan pendapat peribadinya.
"Saya tidak bersetuju dengan dia, sebenarnya, sesiapa yang ada 'a little bit off his mind' (otak sedikit tidak betul) akan bersetuju dengan Tawfik," kata bekas perdana menteri yang menubuhkan JAKIM.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom  berkata, Jakim diwujudkan berdasarkan Perkara 3(1) yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.
Katanya, kewujudannya selaras dengan kedudukan Islam dalam sumpah Yang di-Pertuan Agong yang memelihara Islam setiap masa, serta kuasa agama Islam di bawah Raja-raja Melayu.
 Jamil berkata, Islam merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada keharmonian dan kestabilan negara selama ini, sambil menyifatkan sumbangan Jakim tidak hanya terhad kepada masyarakat Islam, tetapi juga kepada bukan Islam.
“Saya beri contoh dalam industri halal, 72% yang mendapat sijil halal adalah masyarakat bukan Islam, dan hanya 28% masyarakat Islam.
"Jakim memberi ruang kepada setiap orang termasuk bukan Islam.
"Pandangan supaya Jakim dimansuhkan tidak menepati kehendak Perlembagaan. Sewajarnya, Perlembagaan perlu dihormati semua pihak,” katanya.
Beliau berkata, Jakim melaksanakan tugas yang terkanun dalam Perlembagaan bagi menyelaraskan aktiviti dan program berkaitan agama Islam serta menjaga keharmonian negara.
Bagi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Asyraf Wajdi Dusuki isu itu tidak perlu dipanjangkan kerana ia tidak mewakili suara majoriti sebaliknya hanya pandangan sebilangan individu yang tidak memahami kerangka sejarah perkembangan Islam di negara ini.
"Saya rasa dalam suasana hari ini masyarakat Islam sudah mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap agama. Kita tidak boleh kembali kepada zaman di mana kita boleh sewenangnya berfoya dengan perkara yang jelas diharamkan dalam Islam," tambahnya.
Beliau sebelum ini turut dilaporkan sebagai berkata tanggungjawab Jakim bukan sekadar melindungi kesucian agama Islam, malah melibatkan isu global termasuk isu Syiah dan kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).
Asyraf berkata untuk itu kewujudan Jakim tidak sepatutnya dipersoalkan lagi kerana ia berperanan menyelaras hal ehwal agama Islam dan berfungsi sebagai benteng bagi menangani sebarang agenda menggugat kedudukan Islam di negara ini.
Setiausaha Agung Veteran Umno Datuk Mustapha Yaakub mahu anak Tun Dr Ismail Abdul Rahman itu memohon maaf kepada rakyat Islam kerana beliau tidak sepatutnya menyerlahkan kejahilannya dalam agama dengan membuat kenyataan sebegitu.
Sambil menyifatkan kenyataan itu sebagai "tidak Islamik" dan tidak bermaruah, Mustapha menyuarakan kebimbangan beliau, mendakwa Tawfik cuba menjadi jurucakap kepada gerakan anti Islam.
“Kenyataan Tawfik yang mahu kerajaan menghapuskan Jakim adalah kenyataan 'unIslamic' orang Islam. Tidak ada sebab perlu dimansuhkan, kecuali Tawfik menjadi ejen kepada bukan Islam yang tidak senang dengan peranan Jakim.
“Adakah Tawfik cuba menjadi jurucakap kepada gerakan anti Islam yang tidak senang dengan peranan Jakim seperti dakwaan yang mengatakan Jakim menyebar dakyah melalui khutbah Jumaat?” soalnya.
Beliau turut mengkritik kenyataan Tawfik tersebut dengan menggelarkan kumpulan G25 yang dianggotainya sebagai sebuah kumpulan liberal yang cuba mengembalikan negara ini ke zaman jahiliah.
“Tawfik juga tidak faham struktur pentadbiran agama di negara ini yang berada di bawah kuasa negeri dan sultan. 
"Walaupun setiap negeri mempunyai mufti yang berkuasa mengeluarkan fatwa, tetapi segala fatwa akan dibincangkan dan diputuskan Majlis Fatwa yang diselaraskan Jakim.
“Begitu juga halnya dengan majlis agama Islam negeri yang juga diselaraskan Jakim. Jadi, apa logiknya kenyataan Tawfik yang mahu Jakim dimansuhkan?” soalnya.
Katanya, Jakim merupakan agensi yang sah dan berperanan menjadi pemantau dan penguatkuasa kepada sebarang kegiatan yang ada kaitan dengan perkembangan perundangan dan gerakan dakwah di negara ini.
“Ia berfungsi khusus menjaga kepentingan umat Islam tanpa menyentuh sensitiviti agama lain. Penubuhannya bersesuaian peruntukan Perlembagaan yang jelas menyatakan Islam sebagai agama persekutuan atau agama rasmi negara,” katanya.
Semalam, Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Perkasa Dr Amini Amir Abdullah memberi amaran kepada Tawfik, beliau berdepan kemungkinan menerima akibat buruk sekiranya enggan memohon maaf kerana menggesa Jakim dimansuhkan.
Apakah tindakan Tawfik selepas ini? Adakah beliau akan minta maaf? Kita tunggu dan lihat.