Khamis, Disember 08, 2016
NAJIB PRIHATIN DENGAN ISU ROHINGYA
oleh Shahbudin Embun
(sudah disiarkan dalam Berita Harian)
Biarpun banyak isu yang telah dibincang dan digulungkan dengan begitu jelas dan terperinci oleh Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak , namun ucapan beliau tentang isu Rohingya terus mendapat perhatian daripada para perwakilan UMNO semasa Perhimpunan Agung UMNO 2016,(PAU 2016 ) yang baru sahaja berakhir ini.
Dalam ucapan penggulungan perbahasan usul di akhir PAU 2016, Najib mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan penghapusan etnik Rohingya di Myanmar.
Kekejaman yang berlaku ke atas etnik Rohingya sudah cukup untuk kita semua membuka mata dan melakukan sesuatu. Bagi Najib tindakan Myanmar ternyata sudah melampaui batasan dan inilah masanya nilai-nilai kemanusiaan perlu dipertahankan.
"Rantau ASEAN tidak boleh bertolak ansur terhadap perbuatan zalim, kita minta mereka ubah sikap mereka. Ini pendirian UMNO, apa nak jadi...jadilah kita tetap dengan pendirian kita," tegas Najib yang begitu bersemangat mahukan isu ini segera diselesaikan.
Usaha Najib membangkitkan isu ini menunjukkan yang kerajaan begitu prihatinn dengan masalah yang menimpa etnik Rohingya di Myanmar. Kenyataan Najib juga sekurang-kurangnya telah memberikan tamparan hebat kepada kerajaan Maynmar apabila kerajaan Mayanmar terus membuat kenyataan tentang isu ini.
Pejabat Presiden Myanmar mengingatkan Malaysia supaya jangan mencampuri urusan dalaman Myanmar. Selain itu terdapat juga sebilangan rakyat Myanmar yang menunjukkan protes mereka di kedutaan Malaysia di Myanmar.
Pastinya kenyataan rasmi daripada pejabat Presiden Myanmar itu tidak akan menggugat langsung pendirian Najib bahawa Malaysia akan terus mengutuk kekejaman yang telah dilakukan dan akan menggesa masyarakat antarabangsa untuk melakukan sesuatu bagi mengatasi kemelut ini.
Apa yang dikatakan oleh kerajaan Myanmar supaya jangan mencampuri urusan dalaman negara itu,sebenarnya merupakan alasan yang tidak boleh diterima.Ini disebabkan masalah ini akan merebak menjadi masalah pelarian dan pastinya negara-negara jiran yang akan menerima akibatnya. Dalam hal ini, Malaysia sendiri akan menghadapi masalah kebanjiran orang pelarian dari negara itu.
Itu sebabnya Najib begitu tegas menggesa kerajaan Myanmar menghentikan kekejaman ini. Selain daripada isu kemanusiaan, Najib juga tidak mahu negara-negara Asean yang lain dibebani dengan masalah pendatang tanpa izin Rohingya di negara mereka.
Mengikut statistik Pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur ,terdapat 56,000 masyarakat Rohingya dan warga Myanmar yang menjadi pemegang kad UNHCR .
Dan walaupun Malaysia atas dasar kemanusiaan membenarkan pendatang asing tanpa izin yang memegang kad UNHCR tinggal sementara di negara ini sehingga dihantar pulang ke negara asal atau ke negara ketiga, namun masalah pelarian ini juga perlu diselesaikan bersama oleh masyarakat dan pertubuhan antarabangsa.
Dalam isu yang sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pernah menjelaskan bahawa kepimpinan kerajaan Myanmar akan dijemput untuk menyertai satu persidangan antarabangsa pada penghujung tahun ini bagi menangani masalah kebanjiran etnik Rohingya di Malaysia.Kita berharap sangat usaha seperti ini dapat membantu mengatasi masalah yang semakin meruncing ini.
Najib telah menjelaskan isu ini dengan lantang dan berani dalam ucapan penggulungan di PAU 2016. Dan para perwakilan serta ahli-ahli UMNO juga telah memberikan respons yang positif dengan apa yang dilaungkan oleh Najib.
Manakala ketegasan Presiden UMNO ini juga pastinya dapat membuka mata negara-negara Asean serta pertubuhan antarabangsa yang lain. Malaysia tidak boleh bergerak sendirian dan itu sebabnya Asean perlu dan mesti bekerjasama untuk menyelesaikan kemelut ini dengan segera dan dengan kaedah yang lebih komprehensif.
Langgan:
Catatan (Atom)