Ahad, Oktober 22, 2017
KAYVEAS HANTAR KAD HARI JADI KEPADA 31,000 PENGUNDI CAMERON HIGHLANDS
KUALA LUMPUR 21 Okt. - Parti komponen Barisan Nasional (BN), MyPPP yakin memperoleh majoriti lebih 2,000 undi di Parlimen Cameron Highlands sekiranya diberi peluang untuk bertanding di kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.
Presiden MyPPP, M. Kayveas yang berhasrat untuk bertanding di kerusi tersebut berkata, Cameron Highlands bukan asing bagi beliau kerana dilahir dan dibesarkan di situ. Justeru menjadi satu kelebihan sekiranya beliau diberi peluang untuk bertanding di Parlimen Cameron Highlands.
“Biasanya kalau kita berasal dari satu-satu kawasan atau kampung dan kita jadi wakil rakyat di sana maka kita mempunyai kelebihan kerana kita lebih mengenai kawasan tersebut. Kedua kita kenal kebanyakan pengundi dan penduduk di kawasan itu.
“Sekiranya kita menjadi wakil rakyat di kawasan sendiri maka kita ada satu semangat untuk memajukan kawasan itu. Di Cameron Highlands saya kenal kawasan Orang Asli, orang Cina, orang India dan orang Melayu saya kenal semua tempat. Penduduk pun saya kenal sangat,” kata Kayveas dalam satu temubual eksklusif bersama Utusan Online baru-baru ini.
Selepas menyepi dalam PRU13 pada tahun 2013, M. Kayveas menyatakan hasrat untuk bertanding pada PRU14 dan memilih Parlimen Cameron Highlands.
Beliau yakin untuk memenangi Parlimen Cameron Highlands dengan majoriti lebih 2,000 undi berbanding bekas Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel yang memenangi parlimen itu dengan majoriti nipis iaitu lebih 400 undi pada PRU13.
Menurutnya, selain mempunyai sokongan akar umbi kerana berasal dari Cameron Highlands, beliau juga telah bekerja keras sejak tiga tahun lepas sejurus Palanivel dipecat dari MIC pada tahun 2015.
Kavyeas mendakwa MIC tidak melakukan gerak kerja di Cameron Highlands selepas memecat Palanivel kerana beranggapan kerusi itu sebagai kawasan selamat dan boleh menang.
“MIC menang kerusi ini dengan hanya lebih 400 undi sahaja. Bolehkah kali ini pengundi terima calon dari MIC. Ada empat atau lima calon dari MIC yang sudah turun berkempen. Setiap calon ada kumpulan masing-masing. Kalau anda bagi salah seorang menjadi calon sudah tentu ada masalah.
“Kalau MyPPP dipilih, peluang unt uk kemenangan ada. Sekurang-kurangnya kita boleh dapat 2,000 undi majoriti. Tidak ada masalah. Kita pun telah mendaftar lebih 4,000 pengundi baru,” kata Kayveas yang juga calon BN bagi Parlimen Taiping pada PRU12 namun kalah kepada calon DAP, Nga Kor Meng.
Menurutnya sehingga kini hampir 80 peratus pengundi di Parlimen Cameron Highlands telah ditemui hasil gerak kerja di peringkat akar umbi sejak tiga tahun lalu.
Malahan beliau turut mengenali hampir semua pengundi di Cameron Highlands dan tempat tinggal mereka.
“Saya boleh kata kebanyakan pengundi kenal saya sebab tiap-tiap pengundi terima kad hari jadi daripada saya. Sekarang ada lebih kurang 31,000 pengundi dan setiap hari kita hantar hampir 300 kad hari jadi,” kata Kayveas.
Sementara itu, Kayveas terus mendakwa Parlimen Cameron Highlands pada asalnya ditawarkan kepada MyPPP pada tahun 2000 oleh Pengerusi BN ketika itu. Kerusi Cameron Highlands wujud berikutan persempadanan semula pilihan raya.
Namun menurutnya, selepas bekerja keras diperingkat akar umbi ketika PRU11 kerusi itu diserahkan kepada MIC dan atas semangat BN serta demi memastikan kemenangan beliau memberi laluan.
“Pada tahun 2008 saya minta kerusi tersebut tetapi masih diberi kepada parti lain. Jadi pada PRU13 saya minta semula Cameron Highlands tetapi pada saat akhir Palanivel mahu bertanding di sana.
“Saya dan Palanivel diberi peluang untuk berbincang dan saya beri peluang beliau bertanding di Cameron Highlands. Sebab itu saya tidak bertanding pada tahun 2013. Kini kerusi itu bebas dan sebab itu saya menawarkan diri untuk bertanding di sana,” tegas Kayveas.
Langgan:
Catatan (Atom)