Selasa, Disember 19, 2017

MOE TIDAK HALANG GURU SOKONG CIKGU AZIZAN

KUALA NERANG, 18 Dis (Bernama) -- Kementerian Pendidikan tidak mempunyai halangan sekiranya ada guru yang ingin berhimpun menyatakan sokongan kepada rakan sekerja mereka yang dihadapkan ke mahkamah.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ini kerana kehadiran mereka adalah atas hak peribadi.

"Kalau terjadi pada rakan kita, kita akan hadir juga untuk beri sokongan... begitu juga mereka," katanya selepas melancarkan Kempen Kesedaran Kesihatan Wanita di Dataran Tepi Sungai di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai #PrayForCikgu Azizan yang tular berserta kenyataan memohon warga pendidik bersatu memberi sokongan kepada seorang guru penolong kanan hal ehwal murid di sebuah sekolah di Seremban, Negeri Sembilan yang akan dihadapkan ke mahkamah esok bersabit isu mendisiplinkan murid.

Jumaat lalu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia menyatakan sokongannya terhadap guru berkenaan yang hanya dikenali sebagai Cikgu Azizan dan meminta semua guru di seluruh negara turut berbuat demikian.