Isnin, April 09, 2018

DAKWAAN RAFIDAH TIDAK BENAR

KUCHING, 9 April (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan dakwaan dibangkitkan oleh bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz berhubung tanah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah tidak benar sama sekali.

"Setakat hari ini tiada sebarang perkembangan mengenai perkara yang berkenaan," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas dakwaan tersebut selepas merasmikan Program Jelajah Perkasa Perwira Kuching 1 Divisyen di Kem Muara Tuang di sini, hari ini.

Dalam dakwaan tersebut, Rafidah menyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku menteri pertahanan pada tahun 2008 telah mengesyorkan penswastaan lebih 40,000 hektar tanah ATM kepada sebuah syarikat milik tiga individu dan telahpun diluluskan serta dilaksanakan.

-- BERNAMA

BN SENTIASA DENGAR RINTIHAN RAKYAT

SEREMBAN, 7 April (Bernama) -- Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa berusaha mendengar dan memenuhi segala kehendak rakyat dalam segenap aspek kehidupan seharian, kata Pengerusi BN Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata pada peringkat negeri, satu jawatankuasa unit penyelesaian masalah ditubuhkan bagi menerima, mengklasifikasi serta menyelesaikan masalah yang diadu rakyat.

"Kita usaha sedaya upaya atasi isu rakyat yang ada kaitan dengan kehidupan seharian mereka. Saya rasa rakyat merasa selesa dan mereka faham terutamanya dasar-dasar yang telah kita buat, kita laksanakan dengan sebaik mungkin."

"Saya amat yakin rakyat dapat merasainya dan isu-isu berkaitan dengan kehidupan seharian rakyat memang jadi keutamaan kita," katanya dalam temubual khas bersama Bernama di sini.

Mohamad yang juga menteri besar berkata menerusi jawatankuasa itu, semua aduan akan dinilai dan dikategorikan sama ada ia berasaskan keperluan atau kehendak.

"Ada juga rungutan yang berasaskan kepada kemahuan dan ada berasaskan keperluan. Misalnya orang nak ke ladang nak menoreh getah dan dia punya jambatan putus disebabkan banjir...itu kita terus buat."

"Tetapi kalau nak buat dewan besar, itu kemahuan. Kalau tak ada dewan pun tak terganggu kehidupan seharian," katanya

PH GUNA LOGO PKR MENAKJUBKAN

KEMAMAN, 7 April ( Bernama) -- Keputusan Pakatan Harapan (PH) menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dilihat sebagai 'menakjubkan'.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek secara sinis berkata ini kerana PH yang kini diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ingin menggunakan lambang parti yang suatu ketika dahulu ditubuhkan ekoran kemarahan seorang pemimpin terhadap kepimpinan Dr Mahathir.

Katanya PKR ditubuhkan menggunakan logo berbentuk mata yang diilhamkan daripada kecederaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditahan ketika era pemerintahan Dr Mahathir (kerana isu liwat) bagi meraih simpati rakyat.

"Ketika itu rakyat sangat marah kepada Tun sehingga pada Pilihan Raya Umum tahun 1999 membawa kekalahan kepada Terengganu atas sebab isu mata lebam ini kerana mereka menyokong PKR.

"Tapi waktu sekarang ini PKR memeluk Tun Mahathir...jadi banyak perkara yang lari daripada teori politik melainkan teori yang mengatakan demi kuasa, semua yang mustahil boleh jadi...orang melihat kini kuasa adalah segala-galanya," katanya.