Isnin, April 09, 2018

BN SENTIASA DENGAR RINTIHAN RAKYAT

SEREMBAN, 7 April (Bernama) -- Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa berusaha mendengar dan memenuhi segala kehendak rakyat dalam segenap aspek kehidupan seharian, kata Pengerusi BN Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata pada peringkat negeri, satu jawatankuasa unit penyelesaian masalah ditubuhkan bagi menerima, mengklasifikasi serta menyelesaikan masalah yang diadu rakyat.

"Kita usaha sedaya upaya atasi isu rakyat yang ada kaitan dengan kehidupan seharian mereka. Saya rasa rakyat merasa selesa dan mereka faham terutamanya dasar-dasar yang telah kita buat, kita laksanakan dengan sebaik mungkin."

"Saya amat yakin rakyat dapat merasainya dan isu-isu berkaitan dengan kehidupan seharian rakyat memang jadi keutamaan kita," katanya dalam temubual khas bersama Bernama di sini.

Mohamad yang juga menteri besar berkata menerusi jawatankuasa itu, semua aduan akan dinilai dan dikategorikan sama ada ia berasaskan keperluan atau kehendak.

"Ada juga rungutan yang berasaskan kepada kemahuan dan ada berasaskan keperluan. Misalnya orang nak ke ladang nak menoreh getah dan dia punya jambatan putus disebabkan banjir...itu kita terus buat."

"Tetapi kalau nak buat dewan besar, itu kemahuan. Kalau tak ada dewan pun tak terganggu kehidupan seharian," katanya