Ahad, November 19, 2017

PERKASA AKAN BUAT KEPUTUSAN SOKONG BN ATAU PH MENJELANG HARI PENGUNDIAN



KUALA LUMPUR 19 Nov.- Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hanya akan memilih parti yang memperjuangkan agenda Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, pihaknya akan menilai manifesto daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan sebelum membuat sebarang keputusan.


“Tunggu dahulu, buat masa ini kita tidak menyokong mana-mana parti kerana mahu lihat manifesto mereka apa agenda untuk orang Melayu.

“Selepas membuat keputusan saya akan memberitahu ahli dan yakin mereka akan mendengar pandangan saya demi masa depan Melayu,” katanya ketika sidang akhbar selepas majlis Perasmian Persidangan Agung Tahunan ke-8 Perkasa di sini hari ini.

Tambah Ibrahim, sekiranya kesuntukan masa beliau mungkin akan menghantar pesanan ringkas kepada ahli-ahli Perkasa untuk menyatakan pendiriannya walaupun terpaksa berbuat demikian ketika hari pengundian.


ANWAR KATA MACAM MACAM KEPADA PM TAPI PM TETAP LAWAT ANWAR

TUMPAT, 18 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak seorang pemimpin berjiwa besar apabila sanggup mengenepikan perbezaan fahaman politik apabila melawat bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menerima rawatan selepas pembedahan di Hospital Kuala Lumpur semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata dalam politik, Anwar adalah musuh Barisan Nasional (BN) namun atas prinsip ukhuwah dan Islamiah, Najib yang juga Presiden UMNO lebih mengutamakan silaturahim.

"Sebelum ini pun, Perdana Menteri melawat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara.

"Ini cara politik matang yang kita amalkan walaupun wujud perbezaan fahaman politik tetapi silaturahim tidak terputus," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Semarak Bahasa Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2017 peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru di sini, hari ini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata amalan politik matang tersebut juga dapat dilihat apabila Perdana Menteri bersama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob menyelesaikan masalah rakyat ketika bah kuning pada 2014.

Pada 22 Sept lalu, Anwar yang mendapatkan rawatan untuk masalah kesihatannya di HKL, terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan dari hospital berkenaan ke Penjara Sungai Buloh.

Anwar dilaporkan menjalani pembedahan artroskopi susulan kecederaan di bahu kanannya, Ahad lepas.

-- BERNAMA