Khamis, Januari 26, 2017

MENGARUT RAJA PETRA

Saya ketawa membaca tulisan Raja Petra Kamarudin (RPK) mengenai bekas Pengarah SPRM, Datuk Bahari Mohd Zain. RPK menulis kononnya Bahri ada proksi abang iparnya harta sejumlah RM100 juta.
Nampak sangat RPK ni mengarut. Seolah olah Bahri terlibat dalam rasuah yang beri abag iparnya jaga duitnya.

Arwah Zamly Abdullah adalah seorang yang cekal. Berasal dari Kemaman beliau anak Kemaman yang wajar dibanggakan kerana lulus SPM tapi ada harta RM100 juta. Beliau pada mulanya bekerja sebagai pump attendant di stesen minyak Esso milik bekas ketua pemuda Umno kemaman, Arwah Nazri Salleh.

Dari situ beliau memohon MLVK yang mana beliau buat kursus jahitan di Chukai, Kemaman. Ketika itu beliau baik dengan timbalan menteri sumber manusia, Datuk Dr Latif Ahmad. Dr Latif banyak membantunya dan rekomen kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Norden untuk memohon lesen kolej swasta.

Dari sini Zamly membuka Kolej Islam Sains Teknologi (KIST) yang gah namanya satu masa dahulu ada cawangan di Kuala berang dan Bachok, kelantan. Kebetulan pengerusi KIST, ADUN kuala brang, Datuk Tengku Putera Awang.

Dari sini KIST membesar dengan banyak cawangan dengan mendapat pinjaman dari Bank SME. Zamly seorang yang berjimat cermat dan banyak beli tanah dan tidak hairan jumlah assetnya sekitar RM100 juta. Kebetulan saya terlibat dengan KIST untuk menjual segala bangunan dan tanahnya.

Saya berurusan dengan seorang Dato di Taiping untuk beli bangunan Plaza Damas di Sri Hartamas sebanyak RM23 juta. Dato yang kononnya ada duit di Hong Kong sampai sudah tak jadi beli bangunan itu.Juga saya terlibat menjual tanah KIST 100 ekar di Kuala brang kepada PRIMA. Saya temui CEO PRIMA, Datuk Mutalib yang juga junior saya di MRSM Seremban tetapi PRIMA nak beli murah tanah itu menyebabkan arwah Zamly tak jadi jual tanah itu kepada PRIMA.

Saya berurusan dengan adik Zamly, Datin Haslina isteri  Datuk Bahari. Di sinilah saya kenali keluarga Zamly yang juga sekampung dengan saya di Kemaman. Oleh itu adalah tidak benar tuduhan RPK bahawa Zamly adalah proksi Bahari. Bisnes arwah Zamly tidak kena mengena dengan Datuk Bahari kerana beliau sebagai pegawai kerajaan adalah orang yang tegas.

Saya bukannya membela Datuk Bahari dalam isu ini tetapi bila saya mengenali Zamly tiga bulan sebelum beliau meninggal dunia, saya kagum dengan  kehebatan beliau membangunkan KIST sedangkan beliau hanya lulus SPM sahaja. Cuma beliau silap strategi terlalu cepat buka cawangan di seluruh negara.




ORANG MELAYU BUAT KUIH BAKUL UNTUK PERAYAAN TAHUN BARU CINA

KEMAMAN, 25 Jan (Bernama) -- Kuih bakul atau 'Nian Gao' pastinya menjadi makanan wajib bagi kaum Cina setiap kali menjelang perayaan Tahun Baharu Cina, namun tentu tidak ramai menyangka bahawa ada juga gadis Melayu yang mampu menghasilkannya.

Kuih bakul hasil air tangan Haziqah Nurul Huda Harun, 20, yang merupakan insan kurang upaya (OKU), lebih istimewa kerana beliau mempelajari pembuatan kuih itu dari sahabat Facebooknya, yang berasal dari Beijing, China, dua tahun lepas.


Ternyata, kuih bakul yang diperbuat daripada adunan tepung pulut, air dan gula hasil resepi gadis berkerusi roda ini lebih enak, apabila menerima tempahan tinggi iaitu 4,000 biji sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini dan tahun lepas beliau turut menerima tempahan 500 biji dari Singapura dan Qatar.

Kuih bakul Haziqah atau lebih mesra dengan panggilan Yaya, sentiasa 'menjadi' walaupun ada yang menyatakan penghasilan kuih bakul mempunyai banyak pantang larangnya.




Yaya yang tinggal di Kampung Bukit Kuang, di sini lumpuh selepas mengalami demam panas empat tahun lalu, berkata beliau mengambil masa tiga hari untuk menghasilkan kuih bakul bermula daripada proses mengadun, mengukus sehinggalah proses pembungkusan.

"Proses untuk sediakan adunan memakan masa selama empat jam iaitu Yaya buat adunan 70 kilogram tepung secara manual. Selepas adunan dibuat, Yaya akan mengisi adunan tersebut dalam acuan sebelum mengukusnya selama 12 hingga 15 jam bergantung kepada saiz kuih.

"Selepas siap proses mengukus, kuih tersebut akan dibiar dan disejukkan selama sehari sebelum proses pembungkusan dijalankan," kata Yaya ketika ditemui Bernama di kediamannya di sini.




Anak keempat daripada lima beradik itu berkata perniagaannya berkembang dari hari ke hari sehingga beliau mendapat tempahan hampir 2,000 kuih bakul setiap bulan dan ia bertambah sekali ganda menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina.

"Selain kaum Tionghoa, Yaya juga dapat tempahan daripada syarikat minyak dan gas, kaum Melayu dan ada juga permintaan dari luar negara.

"Yaya hasilkan kuih bakul dengan dua perisa iaitu perisa asli dan perisa durian yang setiap satu dijual dengan harga RM8 hingga RM15 mengikut saiz," katanya.

Yaya berkata pada mulanya beliau hanya menggunakan modal RM300 hasil daripada duit raya yang diperolehnya, kemudian beliau terpaksa meminjam duit daripada bapanya Harun Che Muda, 62, untuk membeli barang kelengkapan.

"Yaya pinjam duit abah untuk beli oven, pengukus berkapasiti tinggi dan alat-alat lain...tetapi bila dah dapat untung, Yaya ganti balik duit abah dan sehingga sekarang Yaya habis dalam RM50,000 termasuk mengubah suai dapur untuk dijadikan tempat memproses kuih bakul, sesuai dengan keadaan fizikal Yaya, katanya.

Berkongsi saat getirnya, Yaya berkata suatu ketika beliau pernah menganggap masa depannya hancur apabila beliau tidak dapat menguruskan diri dan hanya mampu terlantar hampir dua tahun.

"Masa tu Yaya tingkatan empat, Yaya diserang demam panas kemudian kedua-dua mata tidak dapat melihat dan doktor juga beritahu gegendang telinga Yaya pecah. Yaya terpaksa berhenti sekolah awal dan ketika itu Yaya terlantar...hanya kepala sahaja yang dapat bergerak.

"Tapi, alhamdulillah berkat dorongan mama dan abah, Yaya bangkit semula dan mereka berdua yang banyak membantu Yaya untuk melakukan fisioterapi di rumah sehinggalah sekarang ini Yaya dapat bergerak menggunakan kerusi roda walaupun kaki sebelah kiri belum pulih dan tak dapat bergerak," katanya.

Gadis cekal ini berkata beliau berhasrat membuka bengkel dan menggaji pekerja untuk memenuhi permintaan pelanggannya.

"Sebenarnya kuih bakul ini Yaya hasilkan setiap bulan kerana ada permintaan daripada pelanggan. Selain kuih bakul, Yaya turut menjual kuih bulan yang menawarkan 29 perisa dan ia dijual dengan harga RM6 hingga RM14 mengikut saiz.

"Lepas ini, insya-Allah Yaya nak kembangkan lagi bisnes dan Yaya berhasrat untuk buka bengkel serta menggaji pekerja sebab nak buat seorang diri dengan kuantiti yang lebih banyak memang tak mampu," katanya.

Beliau yang tidak pernah mendapat apa-apa bantuan daripada mana-mana pihak turut berharap agar kerajaan negeri membantunya untuk merealisasikan harapan untuk membina sebuah bengkel bagi memudahkan urusannya.

"Ini sahaja yang Yaya mampu buat untuk masa sekarang...Yaya tak pernah mengikuti mana-mana kursus dan tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Yaya harap sangat ada pihak yang sudi membantu," katanya.

-- BERNAMA