Jumaat, Mei 07, 2010

NOR MOHAMED KENA TAMPIL BERI PENJELASAN


Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mendakwa, sikap membisu Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berhubung kerugian Pos Malaysia Berhad, seolah-olah wujud cubaan melindungi 'Little Nor Mohamed' yang dikaitkan sebagai pihak bertanggungjawab dalam kerugian itu.

Sambil menyelar tindakan tersebut, Zahrain berkata, selaku Menteri Kewangan Kedua ketika itu, Nor Mohamed perlu tampil memberi penjelasan memandangkan kerugian yang dialami berjumlah ratusan juta ringgit dan skandal itu mencemarkan imej kerajaan kerana dilihat sebagai tidak cekap.

"Kita mahu penjelasan kenapa kerugian sebesar itu boleh berlaku dan bukan bagaimana ia berlaku.

"Kalau kerugian ini disebabkan pelaburan dalam Transmile, kenapa tiada kajian terperinci dibuat mengenai risiko sebelum pelaburan dimuktamadkan dan siapa yang mendapat keuntungan daripada pelaburan tersebut?

"Isu ini tidak selesai dengan sekadar penjelasan daripada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin kerana kerugian berlaku semasa era Noh Mohamed, malah, sebarang keputusan yang dibuat oleh Pos Malaysia, saya percaya ia dalam pengetahuan beliau," katanya hari ini.

Beliau mengulas desakan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Pertubuhan Bekas Wakil Rakyat UMNO (Pakku) yang menuntut Nor Mohamed memberi penjelasan mengenai kerugian RM546 juta yang terpaksa ditanggung oleh Pos Malaysia.

Bagaimanapun, sehingga hari ini, Noh Mohamed dilihat lebih selesa membisu daripada memberi sebarang penjelasan dan hanya Awang Adek buat masa ini yang tampil mengesahkan kerugian Pos Malaysia tetapi menafikan jumlahnya sehingga RM546 juta sebaliknya memberitahu kerugian sebenar adalah RM227 juta.

Mengulas lanjut, Zahrain yang juga wakil rakyat Bebas berkata, tindakan berdiam diri itu juga memberi implikasi negatif kepada kepimpinan sekarang di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mementingkan nilai ketelusan, integriti serta akauntabiliti yang tinggi sejajar dengan konsep pencapaian diutamakan.

Dalam pada itu, beliau juga mendesak dan menuntut penjelasan Nor Mohamed mengenai isu pelantikan sehingga lapan individu daripada Dana Harta Berhad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam syarikat milik kerajaan (GLC).

"Saya bukan bermaksud hendak menyerang peribadi beliau tetapi sebagai rakyat Malaysia, saya hendak tahu apa kriteria pemilihan sehingga lapan orang daripada Dana Harta terpilih menjadi CEO syarikat GLC.

"Apakah mereka ini mempunyai kelayakan yang begitu hebat atau ada sejarah hubungan dengan Nor Mohamed dan apakah motif pelantikkan mereka? Pada saya jika mereka ini dilantik kerana kebolehan sudah pasti Pos Malaysia tidak akan mengalami kerugian sebegini besar," jelasnya.

Bagaimanapun, secara sinis Zahrain berkata, jika benar dakwaan bahawa semua CEO yang dilantik itu bukan dibuat berdasarkan kebolehan tetapi disebabkan kronisme, adalah wajar untuk Nor Mohamed terus berdiam diri.