Ahad, November 08, 2009

54 ORANG WARTAWAN TERBUNUH

Seramai 54 wartawan dilaporkan terbunuh ketika menjalankan tugas sepanjang tahun ini dengan bilangan besar daripada mereka di kawasan pergolakan konflik di Pakistan dan Filipina.

Menurut data Persatuan Surat Khabar Dunia (WAN), kebanyakan wartawan menjadi mangsa di negara-negara membangun dan dilanda perang.

"Adalah malang bahawa wartawan yang sanggup bekerja dalam keadaan sukar dibunuh. Tidak ada keselamatan untuk mereka di negara-negara yang tidak mengamalkan demokrasi dan suara mereka sering ditutup.

"Akhirnya pihak berkuasa terpaksa menyerah diri kepada media. Mereka harus memahami bahawa berita tidak boleh disekat lagi. Terdapat banyak perantaraan untuk menyebarkan berita dari telefon bimbit, internet sehinggan radio," kata naib presiden WAN Pratap Pawar kepada Bernama di sini pada Ahad.

Pakistan, yang dibelenggu keganasan, mendahului senarai dengan lapan wartawan terbunuh semasa menjalankan tugas diikuti tujuh di Filipina dan enam di Mexico, menurut WAN yang berpangkalan di Paris.

WAN, sebuah pertubuhan bukan mencari keuntungan, ditubuhkan pada 1948 dengan 18,000 penerbit akhbar menjadi ahli persatuan itu.

Jawatankuasa Bagi Melindungi Wartawan (CPJ) dalam kajiannya berkata 760 wartawan terbunuh sejak 1992 dan 30 lagi masih dilaporkan hilang tahun lepas.

Menurut laman web CPJ, yang berpangkalan di New York, wartawan hilang semasa menjalankan tugas dan beberapa daripada mereka dikhuatiri terbunuh tetapi mayat mereka belum ditemui.

CPJ menyenaraikan Somalia, Iraq, Pakistan, Sri Lanka, Filipina dan Russia sebagai enam negara paling bahaya bagi anggota media pada tahun ini.