Jumaat, September 28, 2018

BEKAS MB LAWAN BEKAS TPM DI PORT DICKSON



PORT DICKSON, 27 Sept (Bernama) -- Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mengesahkan bahawa beliau telah keluar daripada UMNO dua hari lalu untuk bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, 13 Okt ini.
Beliau berkata tindakan keluar daripada parti itu bukan atas desakan mana-mana pihak tetapi sebaliknya keinginannya untuk menabur bakti kepada rakyat di kawasan itu susulan tindakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak bertanding.

"Tidak timbul persoalan saya akan dipecat. Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) pun tak pernah tanya kepada saya selaku pemimpin senior mengenai soal calon di Port Dickson dan mengapa pula saya nak bertanya dengan dia untuk saya bertanding," katanya pada sidang media di sini, malam ini.

"Orang Port Dickson kenal saya dan tahu perkhidmatan saya, jadi saya serah kepada mereka untuk menilai," katanya bekas Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang sambil menambah beliau belum memikirkan untuk menyertai mana-mana parti selepas ini.

Ditanya adakah penyertaannya di atas tiket bebas pada PRK ini bertujuan memeriahkan suasana, Mohd Isa yang juga bekas Anggota Parlimen Jempol berkata ia bukan niatnya.

"Ini bukan pemilihan jawatankuasa kampung, ini pilihan raya. Kita masuk sebab nak menang bukan masuk nak kacau daun. Ini tak betul. Pilihan raya ini kita tak boleh buat main-main," katanya.

RK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandang kerusi, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan baru-baru ini bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Dewan Rakyat.

Selain Anwar dan Mohd Isa, PAS turut mengumumkan Lt.Kol.(B) Mohd Nazari Mokhtar sebagai calon di samping calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas yang juga personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17, 710 undi mengalahkan calon BN, Datuk V.S Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

-- BERNAMA