Isnin, Ogos 06, 2018

ELAK KEMPEN BUNUH KAREKTOR CALON



PULAU PINANG 4 Ogos – Anggota PKR yang bakal mengundi pada pemilihan parti itu September ini diingatkan agar mengawasi disiplin dan tidak terdorong menjalankan kempen yang bersifat pembunuhan karakter.


Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR mengamalkan amalan politik terbuka dan anggota parti bebas menyokong dan memilih calon mereka yang bertanding pada pemilihan parti itu.


“Mereka bebas memberikan kecenderungan dan sokongan tapi disiplin yang harus mereka awasi adalah tidak terjebak untuk menjalankan kempen yang bersifat pembunuhan karakter atau mencipta fitnah dan tuduhan melampau,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Bank Makanan di Tesco Extra Sungai Dua di sini, hari ini.

Beliau turut menasihatkan anggota parti agar membuat pilihan berdasarkan komitmen calon-calon bertan­ding terhadap perjuangan parti, sumbangan idea dan kreativiti mereka.

Pemilihan PKR akan berlangsung selama sembilan minggu mulai September dengan 5 Ogos adalah hari penamaan calon-calon yang ingin bertanding untuk jawatan Majlis Pimpinan Pusat.

Sementara itu ditanya tentang kenyataan UMNO yang meng­umumkan untuk tidak bertan­ding dan memberi laluan kepada Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia nanti, Saifuddin Nasution berkata, ia adalah baik dan menandakan ke arah mewujudkan sistem dua parti di negara ini.

“Dengan kerjasama ini (Barisan Nasional dan Pas) pada PRK DUN Sungai Kandis dan Seri Setia menunjukkan Pas dan UMNO saling mengambil pendekatan terbuka, bagi saya itu sangat baik ke arah satu kejelasan kepada rakyat untuk memudahkan rak­yat membuat pilihan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan memerlukan blok pembangkang yang kuat untuk menjalankan tugas semak dan imbang dalam membina negara.

Kerusi DUN Seri Setia kosong berikutan penyandangnya, Profesor Dr. Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia, Khamis lepas manakala kerusi DUN Sungai Kandis kosong apabila penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Kedua-dua wakil rakyat itu adalah daripada PKR. – BERNAMA