Jumaat, Oktober 22, 2010

SPRM KESAL KES KALAH DI MAHKAMAH


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam melahirkan rasa kecewa kerana kebanyakan kes berprofil tinggi yang dibawanya ke mahkamah menemui kegagalan apabila tertuduh dibebaskan hanya atas alasan teknikal yang remeh sedangkan bukti dikemukakan lebih daripada memadai untuk menjatuhkan hukuman.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdull, berkata kerjasama semua pihak, terutama hakim, amat penting bagi membendung amalan rasuah kerana ketegasan mahkamah dalam menjatuhkan hukuman boleh menjadi faktor mengekang perbuatan itu.

“Kadang-kadang saya pun hairan, orang yang beri rasuah mengaku, masa duit bertukar tangan kita tangkap 'red handed', ada pegawai SPRM menyaksikan transaksi, malah ada rakaman video, ada gambar... tapi masih tak boleh dapatkan pendakwaan di mahkamah. Nak apa lagi.

“Saya akui keterangan amat penting dalam sesuatu kes tetapi janganlah buang kes hanya atas alasan teknikal yang remeh-temeh seperti kesilapan kenal pasti tangan mana menerima wang atau poket mana wang dimasukkan. Hakim wajar mengutamakan pertimbangan sama ada rasuah berlaku atau tidak.

“Jika SPRM asyik kalah di mahkamah, orang tidak akan takut mengamalkan rasuah kerana yakin boleh menang di mahkamah, sekali gus menyebabkan gejala ini semakin berleluasa,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM di sini, semalam.

Beliau juga pelik kerana kebanyakan kes SPRM yang kalah di Mahkamah Sesyen pada kebiasaannya menang apabila rayuan dibuat di Mahkamah Tinggi, sekali gus menimbulkan persoalan apa sebenarnya bukti yang diharapkan di peringkat Mahkamah Sesyen.
Terbaru, bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen daripada tuduhan menerima rasuah RM60,000 sebagai upah mempercepatkan kelulusan visa pekerja Bangladesh.

Shukri berkata, dalam masa setahun, SPRM terima purata 10,000 maklumat dan daripada jumlah itu, selepas ditapis dan diteliti, separuh tidak ada unsur rasuah, sebaliknya ia berkaitan hal pentadbiran.

Daripada 5,000 kes itu, saringan seterusnya menyenarai pendek hanya 1,000 kes saja sebagai cukup berasas untuk buka buka kertas siasatan.

“Daripada 1,000 kes itu dan akhirnya hanya sekitar 200 kes saja yang dianggap layak di bawa ke mahkamah. Justeru, hanya sekitar 200 kes saja, tidak kira kecil, besar, membabitkan swasta atau kerajaan, sampai ke mahkamah setiap tahun.

“Sebelum 200 kertas siasatan dikeluarkan izin untuk dimulakan pendakwaan di mahkamah, ia perlu melalui beberapa peringkat daripada pegawai penyiasat kepada pegawai penyiasat kanan dan diteliti pula oleh ketua cawangan, kemudian pengarah negeri atau bahagian dan barulah sampai kepada pendakwa raya.

"Timbalan Pendakwa Raya (DPP) menetapkan setiap kes perlu ada bukti lebih 90 peratus sebelum dipertimbangkan untuk pendakwaan. Justeru, kes yang dikeluarkan izin untuk pendakwaan adalah yang betul-betul kuat dan sekurang-kurangnya ada prima facie dan tertuduh pasti dipanggil bela diri.

“Hasil perbincangan dengan rakan sejawat dari Singapura, Indonesia, China dan Hong Kong mendapati kertas siasatan SPRM sudah cukup bagi memastikan pendakwaan itu berjaya jika kes terbabit berlaku di negara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan pendakwaan di Singapura dan Hong Kong ialah 90 peratus, manakala di Indonesia dan China hampir 100 peratus tetapi di Malaysia hanya 68.1 peratus walaupun modul yang diguna pakai mirip kepada apa yang digunakan di Hong Kong.

Shukri berkata, mencari bukti kes rasuah sememangnya amat sukar dan hakim perlu lihat pada keterangan hakiki (bukti keadaan) bagi mengesahkan sama ada wujud rasuah atau tidak tanpa tidak tegar berpegang kepada undang-undang.

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO SUDAH HILANG AURA?


Semalam saya berkesempatan ke PWTC melihat perhimpunan agung UMNO yang bersidang pada hari pertama. Seperti biasa pada jam 7 pagi, saya ke pejabat terlebih dahulu menyiapkan kerja. Bila selesai kerja rutin, baru saya pergi ke PWTC pada jam 10.30 pagi.

Jalan ke PWTC tidak jem. Hairan juga saya. Biasanya kalau perhimpunan agung UMNO di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad, jalan jem. Nak cari parking pun susah. Saya ke hotel The Legend menemui rakan penulis dari Sabah, Musli Oli yang duduk di apartment nombor 2311. Kami menonton TV3 siaran langsung ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak di bilik Musli.

Musli merungut tiada yang baru yang disampaikan oleh Najib kepada para perwakilan. Pada sebelah malam beliau menghantar sms kepada saya, "ucapan Najib sedap dengar tapi perut lapar".

Jam 12 kami turun ke The Mall kerana Musli mahu jual buku barunya, NAJIB DALAM DILEMA yang baru siap dicetak. Bukunya dijual di hadapan Riverside dengan harga RM30 tetapi ramai kawan-kawan politiknya bayar RM50 tanpa mengharapkan duit cucurnya.

Di The Mall saya terserempak dua rakan dari Kemaman, Syed Zakaria dengan Fadilah Satu. Mereka tiba malam tadi di Kuala Lumpur dan menumpang bilik kawannya di Hotel Melia, Bukit Bintang.

"Bapa mertua dah dapat surat pergi ke Mekah?" tanya saya kepada Syed Zakaria.
"Dah,"jawab Syed Zakaria pendek. Saya hairan juga dahulu setiap hari dia call saya tanya macama mana bapa mertuanya, Pak Razak Puteh dapat pergi ke Mekah atau tidak pada tahun ini.Bila bapa mertuanya dapat pergi ke Mekah, dia tak maklum pun saya. Tahun lepas sepatutnya pak mertuanya sudah berangkat ke Mekah tetapi ketika itu bapa mertuannya sakit jadi niatnya untuk menunaikan fardhu haji pada tahun lepas ditangguhkan di saat-saat akhir.

Maka Syed Zakaria hubungi saya minta tolong merayu dengan CEO Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail yang kebetulan junior saya ketika belajar di MRSM Seremban dahulu. Saya terus e mail surat rayuan kepada Datuk Ismee dan beliau forward e mail rayuan itu kepada pegawai berkenaan. Syukurlah Datuk Ismee meluluskan rayuan Pak Razak Putih itu yang juga kawan saya.

Saya tolong Pak Razak ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Cuma saya rasa terkilan, bila dapat, Syed Zakaria tak maklumkan saya. Sebelum ini setiap hari dia call saya tanya perkembangan bapa mertuanya. Saya tidak minta apa-apa balasan darinya biarpun saya call pegawai Tabung Haji guna handphone saya yang cepat habis kredit prepaidnya kerana panggilan dari handphone ke nombor pejabat Tabung Haji memakan kredit yang banyak.

Rakan saya, Jamal Nasir yang berada di PWTC menelefon saya tanya saya ada di mana. Saya jawab ada di Mall. Maka dia datang dengan isterinya menemui saya dengan Syed Zakaria dan Fadilah. Jamal seronok kerana Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sudah melawat pameran Ice Age yang dibuatnya di Berjaya Times Square. Jamal anak Kuala Berang sudah mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk membuat jurassic park di sebuah pulau di Tasik Kenyir. MB sudah setuju cuma menunggu fatwa dari Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Terengganu kerana tidak mahu pembinaannya nanti dipolitikkan oleh para penyokong PAS.

Jamal mempelawa kami bertiga melawat Ice Age di Berjaya Times Square. kami naiki Mercedeznya ke sana. Memang seronok melihat pameran ice age yang penuh dengan kejutan itu. Bagi orang ramai yang belum meyaksikannya datanglah beramai-ramai melawat Ice Age yang merupakan hanya lima peratus daripada yang akan dibina di Tasik Kenyir nanti.

Bila jurassic park siap di Tasik Kenyir kelak, sudah tentu kita akan kagum dengan kehebatan anak Terengganu bernama Jamal Nasir ini. Jamal menghantar saya ke PWTC manakala Syed Zakaria dan Fadilah berpisah dengan kami di Berjaya Times Square itu kerana mereka mahu bertemu dengan kawannya.

Saya sempat pusing satu round gerai-gerai yang ada dalam PWTC dari pintu bank CIMB ke pintu Seri Pacific Hotel. Ternyata orang tidak ramai yang datang melihat perhimpunan agung UMNO. Tidak sesak seperti di zaman Dr. mahathir yang amat susah kita berjalan dari gerai ke gerai.

Kenapa orang semakin kurang menyaksikan perhimpuan agung UMNO kali ini? Adakah aura UMNO semakin hilang? Atau adakah kerana tahun ini tiada pertandingan maka orang kurang minat datang ke PWTC? Ini yang perlu direnung oleh barisan kepimpinan UMNO supaya mencari jalan untuk meramaikan lagi orang datang ke PWTC pada perhimpunan agung akan datang.

Saya yang tidak pernah ketinggalan menghadiri perhimpuan agung UMNO setiap tahun. Dan saya dapati di zaman Dr.Mahathir yang paling ramai orang datang menyaksikan perhimpunan agung UMNO. Adakah kerana karisma Dr Mahathir yang menarik orang ramai datang atau adakah Pak Lah dan Najib tidak berkarisma? Inilah yang perlu direnung oleh ahli-ahli UMNO.

Di The Mall saya temui Datuk Rizalman Abdullah yang pernah menjadi Ketua UMNO Bahagian Tenom selama 17 tahun. Beliau kalah dalam pertandingan ketua UMNO Bahagian dua tahun lepas tetapi di atas semangat UMNO, beliau tetap datang ke Kuala Lumpur melihat perhimpunan agung UMNO.

Saya sempat tanya Rizalman yang pernah menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan apa masalah yang berlaku di antara Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dengan Menteri Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar,Datuk Seri Shafie Afdal.

"Lebih baik pucuk pimpinan jangan pilih kedua-duanya bertanding dalam pilihanraya umum akan datang. Kalau Musa tanding, Shafie sabotaj Musa. Kalau Shafie tanding di negeri, Musa pula sabotaj Shafie. Oleh itu beri jawatan Ketua Menteri kepada calon yang berkecuali," cadang beliau.

Logik juga cadangan Rizalman ini. Jam 6 saya beredar semula ke PWTC melihat dua rakan saya, Musli Oli dan Syed Husin Al Atass menjual buku baru mereka. Mereka berdua adalah penulis hebat. Jadi buku mereka amat laris. Di zaman Pak Lah penulis buku politik tidak boleh menjual buku di PWTC pada musim perhimpuan agung UMNO. Nampaknya di zaman Najib, mereka bebas menjual buku politik semula. Tahniah Najib!