Khamis, Januari 09, 2014
KONTENA BAWA SUMBANGAN BANJIR TIBA DI KEMAMAN
KEMAMAN, 9 Jan (Bernama) -- Sebanyak 43 kontena membawa barangan untuk
mangsa banjir di daerah ini dijadual tiba dalam tempoh empat hari sehingga Sabtu
ini, sebelum program dirasmikan pada Ahad.
Setakat 8 pagi tadi, 22 kontena membawa barangan keperluan rumah iaitu
tilam, bantal dan set dapur tiba, kata Penyelaras dan Pegawai Khas Menteri
Besar, Ahmad Fikri Ibrahim kepada Bernama di sini.
Katanya kesemua barangan itu disimpan di Dewan Datuk Seri Amar di sini
sebelum pelancaran program yang dijangka dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak pada Ahad.
Esok, sebanyak 15 kontena membawa barangan elektrik iaitu televisyen dan
peti sejuk dijadual tiba, katanya.
Menurut Ahmad Fikri, kesemua barangan terbabit akan diagih secara
berperingkat kepada kira-kira 14,000 keluarga yang terjejas banjir di daerah
ini.
Agihan barangan ini dijangka siap pada Mac, katanya.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery
Cheek dilapor berkata kementerian itu menerusi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia
Malaysia akan mengagihkan kira-kira 30,000 unit televisyen kepada keluarga yang
terbabit dalam banjir awal bulan lepas.
Kemaman antara daerah yang teruk dilanda bencana itu yang turut menyaksikan
puluhan ribu keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan.
-- BERNAMA
AEO AEO NM
Langgan:
Catatan (Atom)