Isnin, April 29, 2019
TIDAK MUSTAHIL KERAJAAN PH TUMBANG JIKA ABAIKAN RAKYAT
JOHOR BAHRU 28 April - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) negeri perlu mengambil iktibar terhadap kelemahan kerajaan terdahulu yang ditumbangkan rakyat menerusi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, tidak mustahil untuk kerajaan PH menerima nasib yang sama sekiranya mengulangi kesilapan dilakukan terutamanya mengabaikan kepentingan rakyat.
“Tetapkan niat untuk berbakti kepada masyarakat dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, insya-Allah perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan terus diberkati dan dirahmati Allah SWT,” katanya.
Beliau yang juga Setiausaha PH negeri berkata demikian ketika berucap dalam Pelancaran Buku Bersatu: Mulanya Di Sini di Hotel Thistle di sini sebentar tadi yang turut dilancarkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dr. Sahruddin berkata, apabila sudah menjadi kerajaan seharusnya tidak sesekali PH atau Bersatu lupa kuasa pemerintahan yang ada ini adalah amanah daripada rakyat yang mesti digalas dengan sebaik mungkin.
“Tanpa sokongan dan kerjasama itu, PH mungkin masih lagi menjadi parti pembangkang,” katanya.
“Oleh itu, di kesempatan ini saya ingin berpesan kepada semua, untuk perkukuhkan permuafakatan kita. Hindarkanlah perselisihan yang boleh memecahbelahkan parti.Tingkatkanlah usaha untuk menambah seberapa ramai ahli di seluruh negeri bagi memperkuatkan parti kita seperti kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
“Perbanyakkan program-program untuk menarik minat rakyat di luar sana menyertai Bersatu. Sediakan program latihan kepimpinan yang mantap kepada anak-anak muda di kawasan masing-masing agar mereka tertarik untuk menyertai Bersatu dan menyumbang kepada parti. Dekati dan santunilah mereka agar kita tidak dianggap asing,” katanya.
Langgan:
Catatan (Atom)