Sabtu, September 13, 2014

PRK PENGKALAN KUBOR: PEMUDA TIDAK KECEWA

TUMPAT, 13 Sept (Bernama) -- Pemuda Umno tidak seharusnya patah semangat apabila Ketua Pemuda Umno Bahagian Tumpat Rosidi Kamarudin Mahmod tidak dipilih sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor. Sebaliknya Ketua Pergerakan itu Khairy Jamaluddin berkata Pemuda Umno akan memberi sokongan penuh kepada calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail untuk memenangi pilihan raya PRK itu pada 25 Sept ini. "Kita sokong siapa yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti," katanya semasa berucap melancarkan skuad pemuda bermotosikal di perhentian bas Tumpat di sini, Sabtu. Turut hadir Rosidi yang sebelum ini disebut-sebut antara mereka yang layak bertanding pada PRK itu. Mat Razi, 48, bekas penolong pegawai pendidikan daerah Tumpat ditentang calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim, 56, dan calon bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary, 47. PRK tersebut diadakan berikutan kematian penyandangnya dari BN Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas. Khairy berkata mulai hari ini jentera pemuda mesti bekerja kuat sehingga ke hari pengundian bukan sahaja setakat untuk menang sahaja tetapi mahu kemenangan dengan mendapat majoriti yang lebih besar. Beliau berkata undi dari golongan muda boleh menjadi penentu kemenangan disebabkan 45 peratus daripada jumlah pengundi di kawasan itu terdiri daripada golongan muda. Sejumlah 24,039 pemilih berdaftar terdiri daripada 23,929 pemilih biasa, 109 pemilih awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara (PTH) layak mengundi pada PRK itu. Katanya pemuda mesti menjadi benteng di hadapan untuk menghadapi parti lawan termasuk penyebaran fitnah sepanjang kempen seperti tuntutan royalti minyak oleh kerajaan negeri. -- BERNAMA