Sabtu, September 30, 2017

MANFAATKAN SEPENUHNYA KUOTA 135 VESSEL TUNA

SERDANG, 30 Sept (Bernama) -- Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menggesa pengusaha perikanan negara memanfaatkan sepenuhnya kuota 135 vesel tuna yang diperuntukkan Suruhanjaya Tuna Lautan Hindi (IOTC) untuk Malaysia menangkap ikan itu di Lautan Hindi setiap tahun.

Beliau berkata ini bagi memenuhi sasaran eksport tuna Malaysia ke Jepun sebanyak 30,000 tan setahun berbanding sekitar 5,000 hingga 10,000 tan sekarang, selain menampung keperluan tempatan.

Pada masa ini hanya 12 daripada 135 vesel digunakan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan produk inovasi tuna di pameran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017 di Taman Ekspo Pertanian Serdang, di sini hari ini.

"Rugi kalau kuota itu tidak digunakan," katanya, menambah Malaysia menganggotai IOTC sejak 1998.

IOTC merupakan badan antarabangsa yang mengawal penangkapan tuna di Lautan Hindi.

Mengenai produk inovasi tuna yang dihasilkan menerusi kerjasama Jabatan Perikanan dan Universiti Teknologi MARA, Ahmad Shabery berkata produk itu menunjukkan kreativiti anak muda tempatan yang menyelitkan identiti Malaysia dalam produk tuna mereka.

Antara produk yang dihasilkan ialah sate, burger dan nuget tuna.

HPPNK 2017 yang berlangsung sejak Khamis dan akan berakhir esok menampilkan pelbagai produk dan inovasi berkaitan pertanian.

-- BERNAMA