Ahad, November 12, 2017

MAHDZIR NAFI GURU PUNCA PELAJAR GAGAL KUASAI KBAT



PADANG TERAP, 11 Nov (Bernama) -- Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini menafikan dakwaan yang menyatakan guru punca kegagalan pelajar menguasai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Beliau berkata kenyataan Timbalan Menterinya Datuk P.Kamalanathan telah disalahtafsirkan sebuah portal berita yang melaporkan kononnya guru menjadi punca kegagalan KBAT di sekolah.

"Apabila saya meneliti balik kenyataan dan membaca sepenuhnya apa yang dikatakan beliau (Kamalanathan), beliau bukan sebut kegagalan daripada guru kerana apa yang berlaku membabitkan masyarakat secara keseluruhannya.

"Jadi, tidak betul. Kenyataan itu kemudian di 'spin' seolah-olah Timbalan Menteri Pendidikan membuat kenyataan kegagalan KBAT berpunca daripada guru,"katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Liga Piala Anggota Parlimen Padang Terap di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Nerang di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan kementerian mahu terus mendekati masyarakat merangkumi pelajar sekolah, ibu bapa dan badan bukan kerajaan untuk menjelaskan tentang KBAT supaya mereka memahaminya.