Selasa, Oktober 12, 2010
UMNO TAKKAN TUNTUT KERUSI BATU SAPI
Biarpun majoriti pengundi Bumiputera Islam adalah sebanyak 60 peratus di parlimen Batu Sapi, UMNO tidak akan menuntut kerusi parlimen tersebut.
Menurut bekas ahli jawatankuasa UMNO bahagian Batu Sapi, Sapari Idal, UMNO tetap mengutamakan semangat setiakawan dengan memberi laluan kepada PBS untuk bertanding pada pilihanraya kecil yang dijangka diadakan pada bulan hadapan.
Kerusi Batu Sapi kosong berikutan kematian Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, pada Sabtu lalu.
Chong, seorang perunding kejuruteraan adalah bendahari PBS dan pengerusi cawangan Elopura parti itu.
Mendiang menduduki kerusi Batu Sapi sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenangi kerusi itu tanpa sebarang saingan.
Bagaimanapun pada pilihan raya 2008, beliau mengekalkan kerusinya dengan mudah menumpaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi.
Chong memperoleh 9,479 undi manakala Chung pula mendapat 5,771.
Menurut Sapari yang juga timbalan pengarah peti undi DUN Sekong, UMNO sedia menerima siapa sahaja calon yang akan diletakkan oleh PBS.
BN dijangka ditentang oleh calon PKR pada pilihanraya kecil itu.
Sapari yang tewas dalam pertandingan naib ketua UMNO Bahagian Batu Sapi pada dua tahun lalu yakin BN akan menang dengan majoriti yang lebih besar kali ini.
"Pada pilihanraya umum lalu, majoriti pengundi Cina tidak mengundi BN, tetapi calon BN tetap menang dengan majoriti yang besar, " katanya lagi.
KARIM GHANI MASUK PKR?
Pengasas UMNO Sabah, Datuk Haji Karim Ghani dijangka menyertai PKR menjelang hari penamaan calon pilihanraya kecil parlimen Batu Sapi tidak lama lagi.
Bekas Ketua Penerangan UMNO Sabah itu dikatakan kecewa dengan UMNO kerana beliau telah dipinggirkan oleh pucuk pimpinan UMNO Sabah sejak Datuk Seri Musa Aman menjadi Ketua Menteri Sabah.
Baru-baru ini beliau telah dilantik oleh para penyokong USNO untuk membuat kajian ke arah mana mereka mahu pergi setelah mereka kecewa dengan UMNO. Dahulu USNO dibubarkan untuk memberi laluan kepada UMNO masuk di Sabah setelah PBS keluar dari BN pada pilihanraya umum 1990. Mereka lebih suka menghidupkan semula USNO tetapi Pendaftar Pertubuhan tidak mungkin meluluskan pendaftaran semula USNO. Oleh itu mereka terpaksa menyertai PKR sebagai wadah untuk menentang BN di Sabah kerana PAS tidak begitu kuat di Sabah.
Menurut beliau, dahulu UMNO masuk kerana nak tumbangkan PBS.
"Misi itu berjaya tetapi akhirnya PBS masuk BN, kami kena pinggir. Datuk Seri Pairin dapat masuk istana, kami dipinggirkan di luar istana. Jadi apa guna kami bertahan dengan UMNO," katanya yang juga bekas Senator dan bekas Pengerusi Sabah Urban Development Corporation (SUDC).
Sudah setahun lebih saya tidak bertemu dengan Datuk Karim. Dua hari lepas beliau hubungi saya tetapi saya berada di Kemaman. Malam tadi saya berpeluang menemui Datuk Karim yang merupakan anak campuran Semenanjung-Sabah. Ayahnya Haji Ghani adalah guru berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, orang minang yang berhijrah ke Sabah dan bertemu jodoh dengan emaknya orang Sabah.
Saya temuinya di KL International Hotel bersama dua orang pengikut USNO, Nani bin Sakam dan seorang lagi yang saya lupa namanya. Beliau menunggu ketibaan seorang lelaki yang bernama Rahman yang beliau tidak pernah jumpa. Rupa-rupanya Rahman Botak bekas ahli parlimen PKR Kemaman (1999-2004) yang kini setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Seperti biasa Datuk Karim suka makan di Restoran Hokkaido di depan Hotel Vistana. Kami makan berlima. Kemudian penulis buku politik Sabah, Musli Oli tiba menyertai kami bersama anaknya, Gaddafi bekas pembaca berita RTM dengan tunangnya anak Deddy M. Borhan dan Junainah M. Amin. Gaddafi dan tunangnya makan di meja lain.
Inilah kali pertama saya berpeluang bertemu dengan Rahman Botak walaupun saya juga orang Kemaman kerana kami berlainan parti. Beliau tidak popular ketika menjadi ahli parlimen Kemaman kerana beliau bukan orang Kemaman. Beliau orang Kuala Terengganu. Beliau pernah dimarahi oleh kawan saya yang memohon pasir kerana beliau berkata siapa yang memohon pasir adalah penipu. Kawan saya hampir menumbuknya di pejabat tanah Kemaman pada tahun 2000 dahulu.
Musli yang juga Pengerusi Perkasa Sabah mencuri perhatian dalam perbualan kami malam tadi sambil beliau mempromosi buku barunya DILEMA NAJIB yang bakal dilancarkan oleh Presiden Perkasa, Datuk Haji Ibrahim Ali pada 18 Oktober ini.
Beliau yang juga ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kota belud kecewa kerana kehadiran Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Afdal ke Kota Belud tidak disambut oleh Ketua Bahagian, Datuk seri salleh Said Keruak dan semua wakuil rakyat atas arahan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman. Nampaknya pertelingkahan di antara Musa dengan Shafie sudah menjadi pertelingkahan terbuka sekarang sedangkan kedatangan Shafie adalah sebagai menteri pusat dan Naib Presiden UMNO.
Langgan:
Catatan (Atom)