Sabtu, November 24, 2018
KETENGAH RANCANG BUKA BEBERAPA BANDAR BAHARU
DUNGUN, 24 Nov (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) merancang untuk membangunkan beberapa bandar baharu yang lebih berdaya saing, di samping terus memajukan lima bandar sedia ada dalam usaha menjadikan Wilayah Ketengah sebagai penempatan yang terbaik untuk para penduduknya.
Pengerusi KETENGAH Datuk Zulkifli Mohamad berkata ini termasuk meningkatkan kemudahan infrastruktur dan rangkaian telekomunikasi yang meluas memandangkan lima bandar sedia ada di Wilayah Ketengah masih jauh ketinggalan dalam segenap aspek berbanding penempatan yang dibangunkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar di kawasan lain.
"Agak malang kerana aspek fizikal Wilayah Ketengah tidak berkembang seperti mana yang diharapkan sejak mula diwujudkan 45 tahun lalu, malah lima bandar yang dibangunkan juga tidak boleh dibanggakan… peluang pekerjaan juga kurang menyebabkan penduduknya terutama generasi muda terpaksa berpindah ke bandar besar yang lain.
"Fokus kami selepas ini ialah meningkatkan kemudahan prasarana agar dapat menarik lebih ramai pelabur ke Wilayah Ketengah yang secara tidak langsung akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan terutama dalam bidang pertanian moden," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis berkhatan dan bertindik melibatkan 185 kanak-kanak sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Wilayah KETENGAH di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) di sini hari ini.
Bermula tahun 1970-an, KETENGAH membangunkan lima pusat bandar iaitu Bandar Al Muktafi Billah Shah sebagai pusat pentadbiran, Bandar Bukit Besi, Bandar Ketengah Jaya, Bandar Seri Bandi dan Bandar Ceneh Baharu.
Menurut Zulkifli, kesemua bandar itu diwujudkan hasil Pelan Pembangunan KETENGAH yang akan berakhir pada 2020 dan selepas itu, kajian semula akan dilakukan untuk mencari lokasi sesuai untuk mewujudkan bandar baharu yang lain.
Selain bandar baharu, beliau berkata KETENGAH juga akan menumpukan usaha untuk menyediakan akses laluan ke beberapa destinasi menarik di wilayah itu yang lebih dekat dengan susur keluar masuk ke Lebuhraya Pantai Timur Fasa Kedua (LPT2) agar pelancong tidak hanya tertumpu untuk bercuti di Tasik Kenyir semata-mata.
"Wilayah KETENGAH ada padang golf 18 lubang yang boleh digunakan 60 pemain pada satu-satu masa. Kita juga ada Tasik Puteri, Air Terjun Chemerong dan dalam fasa akhir untuk menyiapkan Muzium Bukit Besi yang bakal menjadi tarikan pelancongan sejarah untuk aktiviti perlombongan terkenal satu ketika dahulu," kata beliau yang dilantik sebagai Pengerusi KETENGAH pada 1 Nov lalu.
KETENGAH adalah sebuah agensi di bawah KPLB yang diberi kuasa untuk menjalankan pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan seluas 443,876 hektar meliputi pedalaman Daerah Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.
Pada 12 Jun 1993, Kawasan Pembangunan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu seluas 209,199 hektar turut digezetkan sebagai sebahagian daripada kawasan KETENGAH menjadikan keseluruhan Wilayah KETENGAH berjumlah 653,075 hektar atau kira-kira satu perdua daripada keluasan negeri Terengganu.
-- BERNAMA
ADAKAH P WAYTHA MOORTHY LETAK JAWATAN SELEPAS KABINET TOLAK ICERD?
Keputusan mengenainya disampaikan oleh Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini yang turut menyatakan bahawa kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang termaktub perkara mengenai kontrak sosial yang dipersetujui oleh perwakilan dari semua kaum semasa pembentukkan negara.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata memang menjadi dasar Pakatan Harapan sejak awal dan PKR secara individu untuk sentiasa mempertahankan semua asas dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Itu (keputusan tidak meratifikasi ICERD) adalah hak dan bidang kuasa kerajaan Persekutuan. Sudah pasti mereka menyedari tentang perkara semasa, dan ia sangat berkait rapat dengan kedudukan Perlembagaan Persekutuan kita,” katanya ketika mengulas mengenai perkembangan itu.
Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pula menyanjung keberanian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad susulan keputusan kerajaan itu.
“Saya memuji tindakan berani Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun berdepan dengan tekanan pihak tertentu dari dalam dan luar negara,” katanya.
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof pula menegaskan kerajaan PH akan terus mempertahan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya sudah termaktub kontrak sosial.
Kontrak sosial berkenaan, tegas Menteri Pembangunan Usahawan itu, dipersetujui wakil semua kaum semasa pembentukan negara Malaysia.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri berpegang kuat kepada pengumuman itu dan berharap tidak ada lagi mana-mana pihak memperjuangkan usaha meratifikasi ICERD.
"Perkara ini mendapat bantahan banyak pihak termasuk persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang sendiri yang pada Rabu lepas meluluskan usul membantah perkara ini, dan Alhamdulillah ia mendapat respons positif," katanya.
Susulan keputusan itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pula menggesa semua pihak berhenti daripada menyentuh isu yang menimbulkan sensitiviti kaum di negara ini.
"Ini bukan masa rakyat Malaysia cakap pasal ini (sensitiviti kaum), banyak masalah lain yang perlu jalinan kerjasama, dan pastikan balik ke landasan terbaik," katanya.
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan pula menghargai keputusan kerajaan itu yang disifatkannya tegas dan berprinsip.
“Ia sudah pastinya menjawab dan memberi penamat kepada pelbagai spekulasi dan pertikaian panas yang kita lihat selama ini. UMNO akan terus memberi kerjasama serta sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan dalam sebarang usaha yang membawa kebaikan serta kesejahteraan dalam hubungan antara kaum di Malaysia.
“UMNO turut komited untuk terus membantu menambah baik formula keharmonian kaum yang kita bina dan amalkan selama ini,” katanya.
Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pergerakan itu berpuas hati dengan keputusan itu yang sejajar dengan kehendak rakyat.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu menyambut baik keputusan berkenaan, dan menurutnya satu perhimpunan bulan depan di ibu negara yang pada asalnya bertujuan membantah ratifikasi ICERD dijangka diteruskan, namun bertukar format kepada himpunan kesyukuran rakyat.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Datuk Ibrahim Ali berharap keputusan tidak meratifikasikan ICERD itu kekal dan tidak lagi dibangkitkan pada masa akan datang.
"Perkasa menerima baik keputusan ini dan mahu ia kekal sampai bila-bila, muktamad tolak, maknanya tolak terus," katanya.
-- BERNAMA
Langgan:
Catatan (Atom)