Sabtu, Mei 09, 2009

POLIS CARI DR.RAMZI


Sudah seminggu saya tak update blog saya kerana saya agak sibuk minggu ini. Walaupun saya belum bekerja tetap setelah berhenti dari akhbar WATAN pada 1 April lalu, saya ada banyak temujanji yang perlu saya penuhi sehingga tidak sempat menguptodate blog saya.

Haji Yusof, kawan lama dari Kuala Terengganu telah sms saya semalam tanya kenapa sudah lama saya tidak update blog saya. Saya jawab, saya agak sibuk minggu ini menguruskan perjalanan saya ke Sabah minggu depan. Hari ini saya ingin memetik kembali sidang akhbar di Kuala Terengganu semalam mengenai bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Ramzi Datuk Zubir.

Dua minggu lepas apabila saya tulis mengenai Dr. Ramzi, nombor yang saya tidak kenali telah sms saya mengugut akan menyaman saya kerana mengaitkan nama Dr. Ramzi dengan penyebaran sms ugutan kepada tiga orang ADUN sedangkan tulisan ini berdasarkan kepada sidang akhbar polis.

Jadi apabila polis mengadakan sidang akhbar semalam, saya harap orang yang menghantar sms kepada saya tidak menghantar sms lagi untuk menyaman saya. Berikut ialah petikan dari Utusan Malaysia hari ini:-

Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir diminta tampil membantu polis melengkapkan siasatan kes khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan bunuh kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu bulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner (SAC II), Hamzah Mohd Jamil, berkata Ahmad Ramzi diberi tempoh tiga hari sehingga Isnin untuk datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu dan jika dia gagal waran tangkap akan dikeluarkan terhadapnya.

Beliau berkata, sehingga kini, Ahmad Ramzi yang kini mungkin berada di luar negara, belum tampil memberi keterangan kepada polis, walaupun sudah diminta berbuat demikian pada 25 April lalu.


Ahmad Ramzi diminta menemui atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Hadzwan Zulkefle, talian 09-62... dalam masa terdekat.

Hamzah berkata, polis sudah mencari Ahmad Ramzi di kediamannya di Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur tetapi gagal mengesannya.

"Polis sudah selesai menjalankan kes dan hanya menunggu Ahmad Ramzi tampil memberi keterangan. Kita tidak menolak kemungkinan beliau berada di negara yang tidak diketahui, tetapi akan meminta kerjasama Jabatan Imigresen untuk semakan," katanya, semalam.

Hamzah berkata, siasatan setakat ini mendapati SMS ugutan bunuh yang diterima tiga Adun BN itu bukan dihantar daripada telefon Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Menteri Besar Terengganu.

Sehubungan itu, beliau berkata, siasatan polis dijangka selesai apabila Ahmad Ramzi memberi keterangan kepada polis.

Hamzah meminta sesiapa yang mengetahui lokasi Ahmad Ramzi boleh menghubungi Polis Terengganu supaya dapat memanggilnya datang memberi keterangan.

Dalam perkembangan berkaitan, polis menahan seorang kerani berusia 31 tahun yang bekerja di sebuah syarikat swasta, di Bandar Baru Bangi pada 23 April lalu serta merampas beberapa peralatan termasuk komputer peribadi yang dipercayai untuk menghantar SMS berkenaan.

Polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes penyebaran SMS ugutan itu bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai.