Rabu, Oktober 20, 2010
50 KERUSI BN DALAM BAHAYA
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 50 kerusi parlimen BN yang sedia ada berada dalam bahaya sekiraya Umno masih lagi berkhayal boleh menang dalam pilihan raya tanpa sokongan bukan Melayu.
Katanya, sekiranya tidak ada usaha untuk mengamalkan kepimpinan yang inklusif lagi moderat, kepimpinan Melayu Umno akan hilang pada pilihan raya akan datang "bagai pintu tak berpasak, perahu tak berkemudi."
"Kita harus belajar dari keputusan pilihanraya umum yang lalu di mana jelas kita hampir kalah sebab hilang sokongan bukan Melayu," katanya yang juga ahli parlimen Rembau.
Ketika berucap dalam perhimpunan agung 2010 pergerakan itu, Khairy berkata, keadaan itu bermakna, untuk menang mestilah dengan sokongan dari semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
"Kalau kita mengharapkan undi orang Melayu semata-mata, kita harus ingat bahawa hanya 73 kerusi parlimen sahaja yang mempunyai majoriti dominan Melayu 70 peratus ke atas. Inilah hakikat dan realitinya," katanya.
Sementara itu, berhubung isu ekonomi, Khairy mempersoalkan kenapa terdapat anggota parti itu yang takut dengan gusar dengan ekonomi berteraskan merit melalui Model Baru Ekonomi (MBE),
"Mengapa kita perlu gusar apabila mereka yang berkebolehan, yang genuine, diberi peluang untuk ke depan? Apakah kita terlalu dengki dengan bangsa sendiri yang rajin dan berbakat sehingga kita sanggup menghalang kejayaan mereka?
"Adakah kita umpama ketam di dalam bakul yang menarik turun sesama sendiri?" soal Khairy bertubi-tubi.
Beliau juga mengakui terdapat persepsi negatif terhadap pendekatan terdahulu Dasar Ekonomi Baru (DEB) di kalangan anak muda.
"Apabila saya ceritakan soal DEB dan perjuangan bangsa, mereka jawab: 'Minta maaf. Apa yang saya dapat dari DEB?' Gaji mereka di bawah paras kemiskinan, ramai di kalangan mereka berhijrah ke bandar di mana kos sara hidup meningkat dengan lebih pantas dari pendapatan. Mereka Melayu, Bumiputera tetapi nikmat DEB tidak mereka rasai.
"Tanggapan mereka – persepsi yang mereka ada – DEB hanya menguntungkan segelintir Bumiputera elit yang ada kabel besar. Bagi golongan ini, sasaran ekuiti 30 peratus tidak bermakna kerana kebanyakkan mereka tidak pernah dan tidak mampu untuk membeli saham," katanya.
Sehubungan itu, Khairy berkata, realiti itu menuntut kerajaan membuat perubahan melalui MEB yang didakwa sebagai "pengemaskinian terhadap cara pelaksanaan agar segala kelemahan DEB dapat diatasi".
Langgan:
Catatan (Atom)