Ahad, Januari 28, 2018

TAK PERLU PEMANTAU ANTARABANGSA

PADANG TERAP, 28 Jan (Bernama) -- Tiada keperluan untuk pemantau Pilihan Raya Umum (PRU) antarabangsa dihantar ke negara ini, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata ini kerana standard sistem PRU di Malaysia yang sekian lama digunapakai adalah hampir sama seperti di negara lain malah turut mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

"Kita buat PRU di negara ini semua ikut SOP yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jadi tak perlu siapa-siapa nak jenguk (pantau PRU) sebab semua dah ikut peraturan.

Masa Tun Dr Mahathir Mohamad jadi perdana menteri dahulu semua PRU dia kata telus, ini bila jadi pembangkang dia (Dr Mahathir) pula minta orang lain tengok (pantau PRU) seolah dia tidak percaya sistem itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Muafakat Komuniti dan Pemimpin Bersama Rakyat di Felda Lubuk Merbau di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media mengenai kenyataan Timbalan Presiden Pakatan Harapan Mohamad Sabu yang menggesa duta negara-negara Eropah ke Malaysia untuk meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan PRU yang adil.

Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) turut dilapor menggesa negara-negara Eropah berkenaan memohon kepada kerajaan Malaysia untuk membenarkan mereka menghantar pemantau PRU antarabangsa.

Ia susulan pertemuan antara pemimpin Pakatan Harapan diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad bersama 16 duta negara-negara Kesatuan Eropah (EU) baru-baru ini di ibu negara.

-- BERNAMA

BUKAN SEMUA PERKARA BOLEH DIKONGSI



KUALA BERANG, 27 Jan (Bernama) --"Berkongsi ada hadnya, tidak semua perkara boleh kita boleh kongsi," kataTimbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari.


Beliau berkata demikian bagi menegur sikap pengguna internet (netizen) yang gemar mendedahkan identiti di media sosial hingga mampu menjadi penyumbang kepada berlakunya jenayah siber dan rompakan seperti mana kejadian rompakan di Rantau Panjang, Kelantan dua hari lepas.

"Kita mempunyai niat sekadar untuk berkongsi gambar kenang-kenangan contohnya gambar hari jadi dengan keluarga kita...tetapi apabila kita tayang dalam media sosial, ia akan membuatkan orang lain mengenali kita.

Implikasi kita tidak pasti sama ada baik atau buruk tetapi ia akan mendedahkan diri kita kepada mereka di luar sana dan mungkin akan menyumbang kepada kes-kes penculikan. Sebagai contoh semalam artikel ada dikeluarkan di sebuah portal atas talian iaitu 'Kerap tayang kemewahan menyebabkan dia hampir hilang nyawa'...ini salah siapa? Salah dia atau salah orang lain," katanya .

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Mini Karnival Usahawan Desa Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di sini, hari ini.

Menurut laporan akhbar tempatan, seorang peniaga dalam talian di Kelantan parah, selepas ditembak sekumpulan perompak di pejabatnya.

Mangsa menjalankan perniagaan dalam talian dengan menjual kosmetik, barang kemas dan pakaian, selain aktif membuat siaran langsung di laman sosial, Facebook sambil menayangkan wang tunai yang banyak.

Selain itu, Johari yang juga Anggota Parlimen Hulu Terengganu itu, penggunaan kad debit secara kerap untuk pembelian dalam talian untuk pembelian turut menjadi punca kepada pendedahan data seseorang.

"Lebih selamat kalau kita guna kad kredit daripada kad debit . Kerana melalui debit ia boleh dedahkan banyak perihal kita.

Orang di luar sana banyak mencari peluang...bersifat kedekut sedikit untuk mengisi data terutamanya bila isi sesuatu borang yang memerlukan kita isi pengenalan diri. Jangan isi semua," katanya.

-- BERNAMA

AHMAD HAMZAH KETUA MENTERI MELAKA?



KUALA LUMPUR: Pengalaman menjadi Ahli Parlimen Jasin dan prestasi cemerlang ketika menjadi Exco Kerajaan Negeri satu ketika dulu memungkinkan Datuk Seri Ahmad Hamzah boleh dipertimbang dilantik Ketua Menteri Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Melaka, Datuk Ghazalee Muhamed berkata dalam politik ini macam-macam perkara di luar perkiraan manusia boleh berlaku. Tidak ada perkara yang mustahil sekiranya itu semua kehendak-Nya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas war-war dikalangan ahli politik tempatan mengatakan Datuk Seri Ahmad akan bertanding di DUN Serkam untuk membolehkan beliau dilantik ke jawatan tersebut selepas Pilihan Raya nanti.

"Beliau banyak pengalaman. Pengalaman jadi Exco dan Ahli Parlimen," katanya.

Sekiranya Datuk Seri Ahmad meninggalkan Jasin dikatakan Datuk Ghazalee bakal mengisi kekosongan tersebut.

Mengulas perkara ini beliau menegaskan sebagai ahli parti yang sentiasa menjunjung kesetiaan kepada pemimpin, beliau bersedia diletakkan di mana sahaja kerusi sama ada di Dewan Negeri ataupun Parlimen.

"Saya ahli parti dan akan mematuhi apa juga arahan dari pucuk pimpinan," katanya.

Pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahukan muka-muka baru diberi peluang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14).

Kata pemimpin nombor satu dan dua parti, ini bagi memberi peluang kepada calon-calon muda untuk menjadi pemimpin pelapis di kawasan setelah pemimpin lama mengundur diri.

Datuk Ghazalee berkata beliau bersetuju dengan pandangan PM dan TPM bahawa calon muda diperlukan sebagai pelapis tapi seelok-eloknya biarlah secara beransur-ansur, bukan sekali gus.

"Walau bagaimanapun pemimpin lama masih diperlukan atas kewibawaan dan pengalaman mereka.

"Di Melaka sudah ramai calon muda diberi peluang. Ada yang menang dan ada yang kalah sepertimana calon Bukit Baru yang gagal pada PRU ke 13," ujarnya.

Datuk Ghazalee berkata pada PRU 14 nanti ia merupakan satu pilihan raya yang amat sengit dan parti mesti mempertaruhkan hanya calon-calon yang boleh menang.

"PRU kali ini bukan untuk di cuba-cuba. Sebab itu saya katakan dia, kita mesti letakkan con boleh nenang dan bukan calon untuk kita cuba,"katanya.

Soal usia kata beliau harus ditolak tepi. Perkara yang paling penting sekali ialah calon tersebut disenangi pengundi di kawasan masing-masing.

Melaka antara negeri idaman Pakatan Harapan (PH) untuk ditawan selain daripada Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.

Perak, Terengganu dan Kedah tidak terkecusli untuk di perintah oleh PH.

Datuk Ghazalee berkata apa yang diharapkan oleh PH itu hanyalah angan-angan kosong semata.

Ini kerana BN Melaka mantap dan kuat apabila kesenua wakil rakyat mereka telah nemberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk kawasan masing-masing.

"BN Melaka setakat ini mantap dengan YB sedia ada telah memberi khidmat yg baik dan cemerlang.
Melaka tetap milik BN pada PRU 14 nanti," katanya.

Mengenai hasrat PH yang mahu melantik Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai PM sementara, Datuk Ghazalee menjelaskan sebenarnya bekas PM selama 22 tahun itu hanya dijadikan ikon oleh DAP bagi memecahkan undi Melayu.

"Tun M jadi perangkap perpecahan bagi orang Melayu.
Mana mungkin disebuah negara mengamalkan demokrasi, mantan PM di lantik semula jadi PM. Cara PH itu seolah-olah negara kita ketandusan pemimpin," ujarnya.

Mengulas ura-ura kononnya Datuk Seri Idris Haron bakal bertanding Parlimen Tangga Batu, beliau berkata Ketua Menteri Melaka ini adalah seorang pemimpin berwibawa.

"Beliau juga berbakat, berkebolehan dan terserlah kepimpinannya. Rugi pemimpin seperti beliau yang banyak pengalaman, tak dikongsi oleh rakyat Malaysia.

"Seandainya beliau diberi peluang di peringkat pusat, saya yakin beliau mampu menyumbang dengan lebih baik dan cemerlang untuk negara," katanya.

Kata Datuk Ghazalee, Melaka wajar menampilkan pemimpin hebat diperingkat nasional seperimana Allahyarham Tun Ghaffar Baba yang telah mengharumkan nama Melaka dalam kepimpinan Pusat.