Khamis, Mei 17, 2018
BAYARAN TOL AKAN DIUMUM MINGGU DEPAN
KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Majlis Penasihat Kerajaan berkemungkinan besar membuat pengumuman tentang bayaran tol seawal-awalnya minggu depan, kata Tan Sri Zeti Aktar Aziz.
Zeti yang juga seorang daripada lima anggota Majlis itu berkata mereka akan bermesyuarat sekali lagi dengan agensi berkaitan dan pihak berkepentingan minggu depan berhubung penstrukturan semula tol.
Bagaimanapun bekas Gabenor Bank Negara itu berkata beliau tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat mengenai isu berkenaan hari ini sekalipun baru sahaja mengadakan mesyuarat dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Berhad yang merupakan pemegang saham PLUS, syarikat konsesi tol terbesar di negara ini.
"Saya tidak mempunyai semua angka dan perincian mengenainya. (Bekas Menteri Kewangan) Tun Daim Zainuddin yang akan buat pengumuman apabila satu keputusan dicapai.
"Tugas ini sangat rumit dan kami semua komited untuk mencapai penyelesaian yang dapat menjaga kepentingan rakyat, semua orang berharap suasana berubah menjadi lebih baik dan kami harap kami dapat realisasikannya," katanya semasa ditemui pemberita selepas mesyuarat itu, di sini hari ini.
Pakatan Harapan yang berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 minggu lepas, antara lain berjanji untuk memansuhkan kutipan tol dalam manifesto pilihan rayanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan ketika ditemui selepas mesyuarat tersebut berkata satu penyelesaian yang tepat dan menyeluruh diperlukan untuk menangani isu lebuh raya bertol.
"Kita harus sedar banyak wang telah dilaburkan menerusi pasaran modal, justeru perlu ada suatu imbangan dalam situasi ini," katanya.
-- BERNAMA
Langgan:
Catatan (Atom)