Sabtu, April 23, 2016

DAP DAN PKR BEREBUT LIMA KERUSI DUN

KUCHING, 22 April (Bernama) -- Berpegang kepada peruntukan yang dipersetujui dan jangan cuba memburukkan keadaan -- itulah pesanan tegas DAP kepada sekutunya PKR dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11).


PKR hari ini menamakan 35 calon dan masih mendesak untuk rundingan mengenai lima lagi kerusi pada pilihan raya itu 7 Mei ini.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata parti itu akan "menangani isu itu" sekiranya berlaku pertembungan dengan PKR di kawasan-kawasan yang telah diletakkan calon DAP.

"Ia sudah dipersetujui...jangan membuka semula isu ini. Jika tidak, kita akan menyentuh semula kerusi lain seperti Batu Kitang, Layar dan Telang Usan. Di mana kesudahan ini?, " katanya.

Semalam, Chong mengumumkan bahawa parti itu akan bertanding 30 kerusi tetapi Pengerusi PKR Sarawak, Bian Bian hari ini berkata beliau masih mahu berunding dengan DAP bagi mengelak pertembungan di lima kawasan pilihan raya.

Lima kerusi tersebut ialah Mambong, Ngemah, Simanggang dan kerusi baharu Mulu dan Murum.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Azmin Ali hadir semasa PKR mengumumkan nama calon. Penamaan calon dijadual Isnin ini.

Ditanya sama ada beliau telah menemui Azmin di sini, Chong berkata: "Semua rundingan telah selesai dan Azmin tahu lebih daripada itu."

PKR sudah kehilangan naib pengerusi negeri, Boniface Willy Tumek yang menarik diri dengan menuduh parti itu sentiasa tunduk kepada DAP.

Beliau marah dengan tindakan PKR tidak mencalonkannya untuk kerusi Tasik Biru yang akan ditandingi oleh DAP.

-- BERNAMA