Khamis, Mac 12, 2009

PENULIS KENA TERBUKA


Para penulis buku politik diminta bersikap terbuka dalam mengemukakan pandangan mereka dalam buku masing-masing.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Datuk Seri Salleh Said Keruak, mereka boleh mengemukakan pandangan tetapi tidak boleh memaksa sesiapa untuk mengikut pandangan tersebut.

"Sesiapa sahaja bebas mengeluarkan pendapat dan tidak semestinya semua orang boleh bersetuju dengan pendapat kita," kata beliau ketika melancarkan buku Musli Oli berjudul KONSPIRASI POLITIK MELAYU di Chicken Hut di The Mall, Kuala Lumpur semalam.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berbangga dengan Musli Oli yang merupakan anak Bajau Kota Belud yang menulis buku tentang Melayu yang mana Bajau juga merupakan rumpun Melayu. Musli juga adalah ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kota Belud dan salah seorang G7 dari Kota Belud. Musli juga ahli majlis tertinggi Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (USBO) yang diketuai oleh Salleh.

"Kelebihan Musli beliau bukan sahaja boleh mengemukakan pandangan dalam bukunya siapa yang wajar dipilih dalam perhimpunan agung UMNO kali ini tetapi sebagai G7, beliau juga dapat menentukan siapa yang layak memimpin UMNO," kata Salleh.

Majlis itu dihadiri oleh sahabat handai dan beberapa penulis terkenal seperti Syed Husein al Atas, Yahya Ismail dan Sayuti Omar turut hadir.

Musli bukan sahaja boleh menulis tetapi beliau juga seorang tukang masak ketika isterinya ambil masters di Scotland, beliau menjadi chef di sebuah restoran orang Scottish. Malah beliau membuka sebuah restoran nasi lemak di Kota Kinabalu.

Salleh bangga dengan kejayaan Musli yang berjaya menjadi penulis buku Malaysia dan bukan tertumpu menulis isu-isu Sabah semata-mata.

Buku kelapan Musli ini mengisahkan masa depan UMNO dan menurutnya jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, maka beliau akan merealisasikan impian Lee Kuan Yew yang mahu rakyat Malaysia sama rata. Ketika itu ketuanan Melayu sudah tidak bermakna lagi. Seperti kata Musli, Inggeris ambil kuasa raja Melayu dan serah kepada orang Melayu ketika merdeka tetapi kini orang Melayu pula berlindung di sebalik raja Melayu kerana takutkan dua Singh (Karpal Singh dan Gobind Deo Singh).