Sabtu, Oktober 09, 2010
SEMAKIN RAMAI MUSUH KU NAN
Pemuda dan Puteri UMNO kesal dan kecewa dengan tindakan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang membuat kritikan terbuka terhadap kedua-dua pergerakan itu melalui media.
Sepatutnya, menurut mereka, Tengku Adnan perlu menggunakan platform parti untuk membuat teguran kerana ia melibatkan isu-isu dalaman yang boleh dimanipulasikan oleh pihak pembangkang.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya tiada masalah untuk menerima kritikan atau teguran tetapi ia perlu spesifik dan tidak sepatutnya dibuat secara umum kerana ia tidak akan membantu sesiapa pun.
"Jika ada cadangan, teguran kenalah spesifik, jangan buat kenyataan sweeping general (teguran umum) kerana ia tidak akan membantu sesiapa.
"Tadi saya sudah memberi maklum balas kepada Tengku Adnan, ini masalah dalaman dan saya cakap apa reaksi saya kepada beliau, terpulang dan terserah kepada beliau untuk menerimanya," katanya.
Beliau ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Tun Razak Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur semalam.
Majlis itu dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak. Hadir sama, Tengku Adnan.
Tengku Adnan semalam menyatakan kesedihannya terhadap Pemuda dan Puteri UMNO yang dianggapnya seperti tidak bermaya dan hanya ghairah untuk merebut jawatan bagi kepentingan peribadi.
Beliau berkata, masalah itu berpunca apabila mereka yang bertanding merebut jawatan dalam kedua-dua pergerakan tersebut mempunyai matlamat mendapat jawatan dalam kerajaan.
Khairy bagaimanapun ketika ditanya mengenai butiran percakapannya dengan Tengku Adnan semasa majlis itu, berkata:
"Itu bukan urusan anda (pemberita), bagi saya apabila beliau membuat kenyataan dan saya beri pandangan, maka dikira selesailah."
Ditanya adakah beliau akan membuat aduan mengenai perkara itu kepada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Khairy berkata, tiada keperluan bagi pihaknya berbuat demikian.
"Kita bukannya ingin isytihar perang, harap dapat diselesaikan secara kekeluargaan. UMNO bukannya macam Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila tidak berpuas hati, mengamuk dan baling kerusi," katanya.
Sementara itu, Ketua Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, kritikan melalui media tidak sepatutnya dilakukan berdasarkan pada senario politik semasa yang tidak mengizinkan.
Jelas beliau, sepatutnya dalam keadaan politik negara yang bergolak semua pihak perlu muhasabah diri dan bekerjasama untuk menguatkan parti, bukan mengambil sikap menuding jari menyalahkan pihak lain.
"Kenyataan sebegini langsung tidak membantu parti dan ia tidak adil seolah-olah Pemuda dan Puteri hanya berjuang semata-mata untuk merebut jawatan, sedangkan hakikatnya kita di peringkat akar umbi bertungkus-lumus bekerja membantu parti dan kerajaan.
"Mungkin Tengku Adnan mempunyai pengalaman peribadi tetapi bagi saya jangan kerana 'nila setitik rosak susu sebelanga.'
"Bagaimanapun saya yakin pimpinan lain tidak berpandangan sedemikian dan saya nasihatkan ahli Puteri supaya jangan mudah lemah semangat dan jadikannya sebagai iktibar," katanya yang akan membawa perkara itu ke MT bagi mengelak ia kembali berulang pada masa hadapan.
KU Nan nampaknya menjadi Setiausaha Agung UMNO yang tidak popular. Baru-baru ini beliau berbalah dengan Perkasa. Beliau yang pernah menjadi ahli lembaga pengarah Berjaya Group milik Tan Sri Vincent Tan agak lantang menyelar Perkasa. Kenyataan Ku Nan itu membuatkan ramai ahli Perkasa marah kepadanya.
Kini musuh Ku Nan makin bertambah bila beliau mengkritik pemuda dan wanita melalui media. Sepatutnya Khairy Jamaluddin dan Datuk Rosnah tidak perlu marah dengan kenyataan Ku Nan kerana itulah kenyataan yang sebenar kerana pemuda dan puteri UMNO terlalu lemah, lembik, lesu dan longlai.
Cuma mereka mahu Ku Nan menggunakan saluran parti untuk menegur pemuda dan wanita. Bukan salah Ku Nan kerana media yang minta komennya. Tak perlu takutlah Ku Nan. Tegurlah pemuda dan puteri supaya mereka berada di landasan yang betul. Soal menegur melalui media tidak perlu dijadikan isu.
Langgan:
Catatan (Atom)