Selasa, September 08, 2015

JANGAN BONGKAK LIM GUAN ENG

Nampaknya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng begitu angkuh mencabar PAS bertanding di kerusi yang diwakilinya di Pulau Pinang, di DUN Air Putih.
Memanglah Presiden PAS,  Abdul Hadi Awang berkata PAS bercadang meletakkan ahli bukan Melayu dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di kerusi yang ditandingi DAP dalam pilihan raya umum akan datang.
Tetapi PAS tidak sebodoh Lim Guan Eng meletakkan calon untuk bertanding di kerusi DAP yang menang dengan majoriti besar. Lim Guan Eng menang besar pada PRU ke 13 dengan majoriti  7,744 undi mengalahkan calon BN, Tan Ken Keong yang hanya mendapat 1,882 undi. Lim Guan Eng mendapat 9,626 undi.
Oleh itu apa yang dimaksudkan dengan kenyataan Hadi ialah PAS akan meletakkan calon yang mana DAP menang dengan majoriti kecil mengalahkan calon MCA. Sekurang-kurangnya bila PAS masuk nanti, ia dapat menarik undi orang Melayu yang tidak suka kepada calon MCA dan ia juga boleh menarik undi orang Cina yang tidak suka kepada DAP dan MCA.
Justru itu buat apa PAS bunuh diri di kerusi DAP yang menang besar. Sebaliknya PAS akan memecahkan undi orang Cina yang mana calon DAP menang dengan majoriti yang tidak selesa. PAS akan mengenal pasti kerusi ini sebelum membuat keputusan untuk bertanding.
Oleh itu Lim tidak perlu mencabar PAS meletakkan calon menentangnya kerana jika PAS berbuat demikian, PAS hanya buang duit dan buang masa sahaja.
Oleh itu Lim Guan Eng tak perlu bongkak mencabar PAS menentangnya dalam PRU akan datang.
Lim berkata beliau tidak terkejut dengan kenyataan Hadi itu, kerana pandangan ini seolah-olah selaras dengan dasar baru PAS terhadap DAP.
"Kenyataan Hadi sudah dijangka. Tetapi ini adalah demokrasi di mana semua pihak mempunyai hak untuk bertanding," kata Lim dalam sidang media di Komtar semalam.
"Jika PAS yakin, DAP akan menerima cabaran itu dengan rendah diri, kerana kita menjangka untuk meraih undi berdasarkan prestasi kami, urus tadbir yang baik dan pentadbiran yang bersih," katanya
"Kami tidak bankrap, seperti sesetengah negeri," kata ketua menteri Pulau Pinang itu.
Lim berpendapat PAS mungkin mempunyai rancangan kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang menjelang 2018.
Bagaimanapun, Lim berkata, beliau tidak pasti sama ada PAS benar-benar mahu menang atau menjadi "pengacau" supaya BN dan Umno boleh menang dalam pilihan raya.
"Kami akan serahkan kepada rakyat menjadi hakim. Jika PAS benar-benar mahu bertanding di kerusi kami, saya mengalu-alukan mereka ke DUN saya di Air Putih, "katanya.
"Kita akan menghadapi mereka dengan rendah diri. Kami tidak akan ambil mudah," kata Lim.