Rabu, Disember 28, 2016

SPRM SAHKAN BR1M BUKAN RASUAH



PUTRAJAYA 27 Dis. - Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) oleh kerajaan bukan satu perbuatan rasuah kerana ia merupakan polisi yang telah ditetapkan kerajaan untuk kesejahte­raan rakyat.

Azam Baki

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki berkata, keputusan pemberian BR1M dibuat oleh Kabinet selepas melalui proses kajian secara menyeluruh atas faktor untuk me­ringankan beban rakyat yang memerlukan.

Menurutnya, BR1M tidak boleh diklasifikasikan sebagai rasuah kerana di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 ia bukannya satu perbuatan jenayah.

“Sebabnya kalau beri rasuah mesti ada tujuan atau dorongan yang menyalahi undang-undang seperti merasuah bagi mendapatkan sesuatu daripada satu pihak dalam membuat sesuatu tindakan atau keputusan.

“Dalam hal ini, kerajaan beri bantuan kepada orang ramai dan tiada niat untuk melakukan perbuatan jenayah, jus­teru ia tidak boleh dikatakan sebagai rasuah dan rakyat tidak dipengaruhi untuk membu­at sesuatu ke­­putusan apabila menerima BR1M,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata de­mikian sebagai mengulas kenya­taan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa pemberian BR1M adalah rasuah.

Ditanya adakan insentif pemberian BR1M itu bertujuan mempengaruhi keputusan pengundi semasa pilihan raya umum (PRU) kelak, beliau berkata, BR1M dibayar mengikut tempoh yang ditetapkan dan bukan diberikan pada masa-masa tertentu.

“Sekiranya diberikan semasa PRU sahaja, ia mungkin dibuat atas tujuan tertentu untuk meraih undi tetapi BR1M diberikan sepanjang masa dan di luar waktu pilihan raya,” katanya.

Selain itu, katanya, hanya rakyat berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan sahaja yang layak menerima BR1M.