Sabtu, Oktober 20, 2018

SEBANYAK 13 PERATUS WANITA DALAM TENTERA DARAT

PORT DICKSON, 20 Okt (Bernama) -- Penyertaan wanita dalam pasukan Tentera Darat Diraja Malaysia kini telah melepasi sasaran yang ditetapkan sebelum ini iaitu 10 peratus, kata Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.

Beliau berkata Tentera Darat kini dianggotai 13 peratus anggota wanita dan perkara itu akan dikaji semula melibatkan peraturan-peraturan terkini.

“Pucuk pimpinan sebelum ini telah menetapkan 10 peratus anggota wanita perlu berada dalam Tentera Darat, tetapi kini kita telah mempunyai 13 peratus anggota wanita. Kalau kita ambil banyak, kita tidak tahu nak letakkan mereka di mana… Anggota wanita yang menyertai Tentera Darat kini lebih banyak diletakkan di bahagian komunikasi berbanding di bahagian medan perang.

“Kita juga tidak mempunyai anggota wanita yang bertugas sebagai Renjer dan askar Melayu...dahulu kita cuba untuk masukkan mereka dalam pasukan Para (Batalion Infantri) tetapi disebabkan fitrah mereka, jadi perkara itu kita tidak dapat laksanakan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 186/18 dan Wanita Siri 44/18 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat Lt Jen Datuk Seri Hasagaya Abdullah dan Panglima Medan Barat Tentera Darat Lt Jen Datuk Azizan Md Delin