Selasa, September 06, 2011
MAT INDERA BERSUBAHAT DENGAN KOMUNIS
Mat Indera dikatakan seorang guru agama yang pernah berguru dengan ayah Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kita tidak persoal dia guru agama, yang kita persoal kenapa dia bersubahat dengan Bintang Tiga yang menyerang balai polis Bukit Kepong.
Siapa yang mati dalam serangan Bukit Kepong? Polis Melayu atau Polis Cina? Yang serang tu komunis orang Cina atau orang Melayu? Kenapa Mat Indera sanggup bersekongkol dengan orang Cina menyerang polis Melayu?
Samsiah Fakeh, Musa Ahmad semuanya ada latar belakang belajar agama tetapi mereka menyokong perjuangan komunis kerana percaya mengangkat senjata adalah jalan terbaik untuk menghalau British dari Malaya.
Selama 14 hari Bintang Tiga memerintah selepas Jepun menyerah kalah, ramai orang Melayu dibunuh secara kejam. Inikah sebenarnya perjuangan Mat Indera yang kononnya berpegang teguh kepada ajaran Islam yang sanggup bersubahat dengan Bintang Tiga.
Bagi saya, jika orang itu simpati kepada Bintang Tiga, dia tetap dianggap komunis. Oleh itu Mat Indera yang percaya kepada keganasan adalah seorang komunis.
Di sebalik serangan bertubi-tubi terhadap Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dalam isu Muhammad Indera, lelaki itu didakwa pernah menjadi anak murid kepada bapa Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Malah, kata Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat, pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM) itu didakwa hampir menikah dengan kakak timbalan perdana menteri.
"Mat Indera mahu berkahwin dengan kakak TPM Muhyuddin Yassin tapi tidak dipersetujui oleh bapa Mat Indera," kata Suhaizan selepas menziarahi adik Muhammad - Johan Shah semalam.
Menurut Suhaizan, Mohamad dan Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed turut serta dalam pertemuan itu.
Menulis di laman Facebook, Suhaizan berkata, Mat Indera pernah menegaskan bahawa beliau bukan komunis dalam pertemuan terakhir dengan Johan di Penjara Air Molek, Johor Bahru.
"(Sebaliknya) British (yang) tuduh Mat Indera Komunis," tulisnya yang diberi tanggungjawab berdebat dengan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam isu sejarah itu.
Justeru, Suhaizan menyifatkan tiada pembelaan terhadap kematian Muhammad Indera sebelum ini disebabkan "orang takut dengan British".
Suhaizan turut menyenaraikan beberapa fakta yang kurang diketahui tentang Mat Indera, antaranya:
- Mat Indera anak kedua daripada lapan adik beradik. Ibunya meninggal ketika Johan (bongsu) berusia dua tahun.
- Johan, bapa Mat Indera, ibu tiri dan neneknya diseksa British dan dibuang daerah ke Singapura selama 5 tahun daripada tahun 1950 hingga 1954.
- British tawar $25,000 sebelum Peristiwa Bukit Kepong untuk tangkap Mat Indera. Selepas peristiwa itu, tawaran dinaikkan kepada $75,000.
- Mat Indera datang ke Bukit Kepong di saat akhir peristiwa tersebut dan tidak terlibat dalam serangan tersebut.
- Mat Indera pernah menyelamatkan anggota polis pada masa itu Yusof Rono.
- Mat Indera dilantik oleh kerajaan Johor sebagai guru agama. Beliau diberikan baju dan songkok rasmi. Beliau pernah belajar dengan ulama dikenali senagai Tuan Guru Fadil.
- Beliau digantung di Kampung Jambu Air, Taiping pada tahun 1953 dan kuburnya diasingkan daripada kubur utama.
- Mat Indera tidak pernah berkahwin.
Pelbagai rekod menunjukkan versi berbeza tentang status dan aliran perjuangan penyerang balai polis Bukit Kepong Muhammad Indera, kata penyunting buku biografi tokoh pejuang Johor Prof Datuk Abu Bakar A Hamid.
Sehubungan itu, penyunting buku Pengukir Nama Johor (bawah) itu berkata beliau tidak pasti sama ada pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM) itu seorang pejuang atau komunis.
Abu Bakar mencadangkan supaya ahli akademik supaya terus membuat kajian berhubung perkara itu kerana banyak tulisan lain lagi memaparkan bentuk penulisan yang sama.
Oleh itu, beliau yang juga karyawan Tamu di Universiti Malaya (UM) menasihatkan agar ahli politik tidak mempolitikkan perkara itu.
"Isu ini belum selesai, saya meminta orang politik tidak mempolitikkannya. Serahkan kepada ahli akademik buat penyelidikan, (walaupun) akan ada dua pendapat sama ada menyokong (sebagai wira) atau tidak.
"Isu ini dibangkitkan oleh orang-orang politik, (sehingga) jadi heboh tak tentu pasal. Buktikan (berdasarkan) penyelidikan," ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam.
MB Johor tulis pengantar
Selepas kontroversi status Muhammad Indera yang dinobatkan pejuang sebenar oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, buku itu menjadi sebutan apabila ia membariskan Mat Indera antara 21 pejuang kemerdekaan Johor.
Mohamad sendiri merujuk kepada buku biografi terbitan Yayasan Johor - ditubuhkan bawah kerajaan negeri - bagi mempertahankan ucapannya pada 21 Ogos lalu.
Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dikatakan menulis kata pengantar untuk buku itu.
Menurut Abu Bakar, berdasarkan rencana dalam Pengukir Nama Johor oleh Ismail Adnan, Muhammad Indera atau lebih dikenali sebagai Mat Indera bukan komunis.
Katanya, hasil penyelidikan Ismail menyebut Mat Indera seorang Islam yang kuat beragama, termasuk menghafal al-Quran, maka "tidak mungkin beliau menjadi seorang komunis".
"Itu garis yang diambil Ismail Adnan," katanya sambil menambah Mat Indera juga pernah menjadi penolong guru besar di Sekolah Agama Parit Setongkat di Muar sekitar tahun 1940-an.
Platun PKM
Ayah Abu Bakar merupakan guru besar di sekolah tersebut pada waktu itu dan mengenali Mat Indera secara dekat.
Bagaimanapun, satu lagi tulisan oleh Shahgidon Dirhan dalam buku tersebut - diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada 2004 - menyifatkan Mat Indera seorang komunis.
"Itu menunjukkan terdapat pendapat yang berbeza tentangnya. Ini perkara biasa dalam pentafsiran sejarah. (Seperti juga) ramai menganggap Tunku (Abdul Rahman) sebagai wira.
"Ramai juga menggapnya penggadai kepentingan Melayu, maka itu berlaku (tragedi) 13 Mei. Ramai memuja Dr M, (tapi) tak kurang yang membencinya. Ini pentafsiran masing-masing," katanya.
Abu Bakar berkata, dalam buku lain pula seperti biografi bekas pengerusi Parti Komunis Malaya (PKM) Abdullah CD (gambar atas, kiri) merakamkan Mat Indera sebagai komunis kerana menanggotai satu platun dalam PKM.
"Itu kata dia (Abdullah CD)... Masing-masing buat penyelidikan dan tulis tentang hasil penyelidikan itu. Orang politik tak payah masuk campur soal ini," katanya lagi.
Langgan:
Catatan (Atom)