Sabtu, Jun 25, 2016

BILA LAGI MKT NAK PECAT AHMAD SAID?

Pemecatan bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin  daripada Umno semalam bersama bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir kerana melakukan pelanggaran disiplin tidak mengejutkan.

Malah dalam mesyuarat MKT bulan lepas, ramai yang sudah menjangka pemecatan itu tetapi ia ditangguh kerana PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Semalam Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula digantung keahliannya sehingga Majlis Tertinggi (MT) UMNO menerima laporan daripada Jawatankuasa Disiplin parti.

Keputusan itu dibuat oleh anggota MT secara sebulat suara pada mesyuarat semalam, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di PWTC semalam.


Muhyiddin dan Shafie sebelum ini digugurkan daripada Kabinet pada Julai 2015 manakala Muhkriz melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah pada Februari lepas.

Ketiga-tiga mereka lantang mengkritik dan mempersoal kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri dalam isu dana politik RM2.6 bilion dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Yang menjadi persoalan, kenapa MKT tidak pecat ADUN Kijal, Ahmad Said dari Umno yang membawa usul tidak percaya kepada MB, Ahmad Razif Abdul Rahman dalam sidang Dewan Undangan Negeri tiga bulan lepas.

Sepatutnya MKT bertindak tegas kepada bekas MB Terengganu itu kerana belum pernah berlaku seorang ADUN BN sendiri mengemukakan usul tidak percaya kepada MB.

Tanpa tindakan tegas MKT ini, penyokong Ahmad Said mempersenda MKT yang mengatakan MKT pengecut kerana  tidak berani ambil tindakan terhadap Ketua Umno Bahagian Kemaman itu. Pada persidangan perwakilan Umno Bahagian Kemaman pada tahun lepas, bahagian tersebut telah menjemput Muhyiddin untuk merasmikan persidangan tersebut.

Ahmad Said turut bersekongkol dengan Dr Mahathir Mohamad ketika bekas PM itu menghadiri majlis "Nothing To Hide" majlis penerangan mengenai 1MDB di PWTC pada tahun lepas.

PEKEBUN KECIL DIMINTA DAFTAR SEGERA

PADANG BESAR, 24 Jun (Bernama) -- Para pekebun kecil getah termasuk pemilik kebun dan penoreh getah dinasihat segera mendaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), bagi membolehkan mereka mendapat Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah.

Pengerusinya Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata sejak pengumuman bantuan berkenaan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Jun lepas, hanya 135,644 pekebun kecil di negara ini yang mendaftar daripada keseluruhan 388,111 pekebun.

"Penoreh getah dan mereka yang memiliki kebun getah tidak melebihi 2.5 hektar serta belum mendaftar boleh berbuat demikian segera di mana-mana pejabat Risda negeri atau daerah sebelum 31 Ogos depan untuk manfaat tersebut," katanya.