Ahad, Ogos 14, 2016

AHLI UMNO YANG MATANG TIDAK AKAN TINGGALKAN UMNO

TAWAU, 13 Ogos (Bernama) -- Anggota UMNO yang matang dalam politik tidak akan terpedaya untuk keluar parti dan menyertai mana-mana parti lain, termasuk parti baharu yang ditubuhkan oleh bekas anggota UMNO, kata Ketua UMNO Bahagian Tawau Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Katanya jika ada anggota UMNO yang keluar parti, ia mungkin disebabkan rasa tidak puas hati dengan UMNO kerana tidak terpilih ketika bersaing dalam pemilihan jawatan di mana-mana peringkat atau telah dikenakan tindakan disiplin penggantungan.

"Bagi pandangan saya, menjadi hak kepada sesiapa dalam amalan demokrasi ini untuk menyertai parti sedia ada sama ada komponen Barisan Nasional (BN) atau pakatan atau jika tidak berpuas hati boleh menubuhkan parti sendiri," katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat Zon Kampung Titingan hari Sabtu.

Tawfiq yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah berkata UMNO mempunyai sejarah di mana bekas kepimpinannya meninggalkan parti dan menubuhkan parti baharu namun parti-parti baharu berkenaan hilang begitu sahaja.

Mengulas mengenai parti baharu yang didakwa berupaya menyaingi UMNO, Tawfiq berkata beliau optimis serpihan parti UMNO tidak akan mampu bertahan dan boleh berkubur menjelang pilihan raya umum.

"Kalau kita imbas sejarah parti serpihan daripada UMNO, ia tidak akan mampu bertahan jika hanya memberi fokus kepada Melayu dan Bumiputera kerana golongan ini sudah amat sinonim dengan perjuangan UMNO," katanya.

Terdahulu, Tawfiq yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Apas meminta semua pemimpin akar umbi membantu memperjelas isu yang boleh mengelirukan masyarakat bagi mengelak terpedaya dengan pihak tidak bertanggungjawab.

"Perlu jelaskan isu agar masyarakat tidak berpecah belah ekoran usaha pihak yang suka memutar belit cerita dan menyebabkan rakyat kurang yakin dengan kepimpinan yang ada sehingga berusaha cuba menjatuhkannya,"katanya.

-- BERNAMA

HASRAT PEMBANGKANG MAHU SATU LAWAN SATU HANCUR



PAS semalam mengumumkan kerjasama politik parti itu bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) kini dikenali sebagai Gagasan Sejahtera.

Mengumumkan perkara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu dipersetujui bersama antara kedua-dua parti dalam mesyuarat bersama pada 2 Ogos lalu bertempat di ibu pejabat PAS Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

"Persefahaman politik ini menjadi satu gagasan baharu kepada lanskap politik negara yang menawarkan suatu pilihan yang lebih mantap kepada rakyat dengan menekankan kepada sebuah budaya berpolitik yang membawa kesejahteraan kepada rakyat keseluruhannya.

"Justeru rakyat tidak perlu terikat dengan dua pilihan jalur politik sedia ada yang mana satunya telah terbukti membawa budaya korup, kronisme, nepotisme serta kegagalan menguruskan pentadbiran negara iaitu blok Umno-BN.

"Satu lagi jalur politik menekankan budaya politik emosi, politiking melampau, permusuhan dan kemarahan membuta tuli dalam kalangan rakyat," kata Abdul Hadi dalam sidang media di ibu pejabat parti itu.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Presiden IKATAN, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan pimpinan kanan PAS yang lain.

Kira-kira lima bulan yang lalu, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan pembentukan "blok baru pembangkang" dengan mengadakan kerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).

Pembentukan blok itu, katanya, telah "membuka ruang ke arah pembinaan kumpulan persefahaman" yang lebih tersusun.

"Pendekatan ini juga menuntut kami supaya bergerak di atas teras penyelesaian dan politik membina, di samping menolak budaya politik oportunis, kasar dan perkauman sempit," katanya.

Di atas prinsip itulah, kata Takiyuddin, maka mulai semalam "bermulalah satu kerjasama politik di antara PAS dan IKATAN.

Mengulas lanjut, Hadi berkata, pendekatan Gagasan Sejahtera akan membawa budaya politik matang dan sejahtera.

"Kita akan memperjuangkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan kelompok...menyokong kebaikan berasaskan kebenaran, bukan berasaskan pembinaan persepsi semata-mata.

"Politik damai dan diplomasi serta politik berasaskan penyelesian bukan politik berasaskan permasalahan di mana objektif Gagasan Sejahtera adalah membawa penyelesian kepada pelbagai masalah yang dihadapi rakyat," katanya.

Oleh itu ujarnya, pendekatan budaya politik matang dan sejahtera ini memberi pilihan kepada rakyat yang telah bosan dengan budaya politik melampau sedia ada yang membawa kepada permusuhan dan ketidak stabilan sosial dan ekonomi.

Ulasan saya, hasrat pembangkang untuk hadapi BN secara satu lawan satu pada PRU akan datang hancur. Maka pertandingan tiga penjuru akan berlaku di antara BN, Pakatan Harapan dan Gagasan Sejahtera. Parti BERSATU pula mungkin menyertai Pakatan Harapan.

Pertandingan tiga penjuru ini menyebabkan peluang BN untuk mengekalkan kuasa lebih cerah seperti mana keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.