Sabtu, April 08, 2017

KEBANYAKAN HUJAH PEMBANGKANG SELAMA SEMBILAN TAHUN TONGONG

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini menafikan beliau menangguhkan awal sesi perbahasan Rang Undang-Undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU 355) semalam kerana agenda politik atau menerima tekanan daripada mana-mana pihak.

Sebaliknya beliau menegaskan keputusannya itu semata-mata untuk menjaga kebajikan kakitangan Parlimen yang telah tidak tidur semalaman.

Oleh itu, kata Pandikar Amin, beliau telah menggunakan kuasa yang ada padanya untuk menamatkan sesi Parlimen pada pukul 4 petang berbanding kebiasaan pukul 5.30 petang.

Mesyuarat pertama penggal kelima Parlimen Ke-13 itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila bersidang hampir 20 jam bermula pada 10 pagi kelmarin (Rabu) hingga 5.05 pagi semalam (Khamis).

Ditanya kenapa beliau membenarkan persidangan berlangsung sehingga 20 jam, Pandikar Amin yang ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama Seminar Serantau Anggota Parlimen Wanita Komanwel Asia Tenggara di Parlimen, semalam berkata :


"Ia adalah kehendak kerajaan untuk menamatkan rang undang-undang yang mereka mahu tamatkan, ia bukan kehendak saya...terpaksa...pegawai saya dan saya satu malam tak tidur.

"Jadi, pada ketika itu, itu kuasa saya, saya tidak mahu duduk lagi untuk mendengar hujah-hujah yang pernah saya dengar, yang kadang-kadang tidak masuk di akal. Kalau mahu tuduh saya tongong, maka hujah-hujah mereka selama sembilan tahun saya dengar, kebanyakan mereka tongong," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau mengulas mengenai kecaman pembangkang berhubung tindakannya menamatkan sesi Dewan Rakyat lebih awal semalam, sebelum sempat RUU355 yang dibentang Anggota Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dibahaskan.

Tindakan Pandikar Amin menangguhkan hari terakhir sidang Dewan Rakyat itu lebih awal dari kebiasaannya menerima kecaman pelbagai pihak terutama pembangkang yang mendakwa mereka tidak diberi peluang untuk membahaskan RUU355 berkenaan.

Ini termasuk Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub yang menyelar tindakan Speaker mengeluarkan arahan untuk menangguhkan RUU355 dibahaskan semalam sebagai tongong.

Mengulas lanjut, Pandikar Amin berkata tugas beliau sebagai Speaker Dewan Rakyat bukan semata-mata untuk menyenangkan hati semua pihak.

"Kalau ada yang menganggap ia tongong, itu adalah persepsi masing-masing. Saya rasa PAS semalam pun mahu perkara itu untuk dibahas dan diundi.

Tetapi saya mempunyai hak untuk tangguhkan mesyuarat dan mereka (anggota Parlimen) masih dapat berbahas pada masa akan datang. Tapi bila mereka ini berhujah, hujah mereka itu boleh berasaskan agenda politik semata-mata.

Saya tidak mempunyai agenda politik, saya hanya mahu memastikan setiap persidangan itu berjalan lancar. Terpulang kepada sesiapa sahaja yang mahu menghentam saya, saya tidak kisah, saya tak peduli, saya tak peduli asalkan (sidang) Parlimen berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata tindakan itu juga adalah adil kerana kedua-dua pihak, iaitu anggota Parlimen kerajaan dan juga pembangkang yang ingin mencelah dan berbahas tidak dibenarkan berbuat demikian.

Pandikar Amin juga berkata keputusan itu dibuat berdasarkan kuasa yang dimiliki beliau sebagai Speaker Dewan Rakyat, walaupun ada pemimpin yang pernah menyebut bahawa RUU berkenaan akan dibentang, namun tidak akan dibahas dan diundi pada sesi Dewan Rakyat kali ini.

"Itu untuk kepentingan politik, mereka mahu menang pilihan raya, saya tidak mahu menang pilihan raya. Apa yang penting, apa yang saya kata dan apa yang saya lakukan.

Sebab semalam, kita sudah duduk sampai pukul 5 pagi kerana kemahuan kerajaan yang mahu semua rang undang-undang dibahaskan di bawah peraturan Mesyuarat 15 (5). Itu bukan kemahuan saya, jadi apabila saya mempunyai kuasa, saya perlu menggunakannya, saya tidak mahu tunggu lagi dua hingga tiga jam untuk mendengar hujah-hujah anggota Parlimen yang kadang-kadang tidak masuk akal bagi saya," katanya.

Pembentangan RUU355 dibuat Abdul Hadi yang merupakan Presiden PAS pada hari terakhir Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-13 semalam. Persidangan Dewan Rakyat itu bermula 6 Mac lalu.

Sejurus Abdul Hadi selesai membentangkan usul itu, ia disokong anggota Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan yang juga Setiausaha Agung PAS.

Pandikar Amin kemudian membuat keputusan usul itu akan dibahas dan diputuskan pada sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Penangguhan sidang mesyuarat itu dibuat selepas Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017, yang dibentangkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, diluluskan dengan undian suara majoriti.

Sidang Dewan Rakyat kali ini meluluskan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2017, Rang Undang-Undang Kebankrapan (Pindaan) 2016, Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017 dan Rang Undang-Undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2017.

-- BERNAMA