Rabu, Disember 20, 2017

PERKASA SYUKUR DR ZAKIR DILEPASKAN DARI TANGKAPAN INTERPOL

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) melahirkan kesyukuran atas pelepasan kepada pendakwah tersohor antarabangsa Dr. Zakir Naik yang dilepaskan daripada tangkapan Interpol atas tuduhan terlibat dengan aktiviti keganasan seperti yang didakwa oleh kerajaan India.

Presidennya, Datuk Paduka Ibrahim Ali berkata Perkasa juga bersyukur kerana Interpol telah membatalkan Notis Merah terhadap Dr. Zakir Naik dan Interpol juga telah mengarahkan semua pihak agar memadamkan semua data berkaitan dengan dakwaan palsu terhadap Dr. Zakir Naik.

"Sayugia diperingatkan, pada Oktober lepas pihak National Investigation Agency (NIA), India telah menfailkan senarai tuduhan terhadap Zakir Naik, pengasas Islamic Research Foundation dan Harmony Media Limited, bahawa beliau mempengaruhi para belia untuk melakukan aktiviti keganasan dan ucapan yang berbaur kebencian," kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berkata Perkasa terpaksa melantik peguam dan mengorbankan masa dan tenaga yang banyak hanya untuk menangkis tuduhan banyak pihak terutamanya Hindraf terhadap Dr. Zakir Naik.

Pada Mac lepas, Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy dan 18 yang lain, termasuk ADUN Bingkor, Sabah, Jeffrey Kitingan, Peguam Siti Kassim dan Pengarah Center for Policy Initiatives Lim Teck Ghee, memfailkan saman terhadap Dr. Zakir Naik dan memohon deklarasi mahkamah bahawa Zakir adalah ancaman kepada keselamatan negara, keharmonian dan perpaduan rakyat.

Pada 1 Mei lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan PERKASA untuk menjadi pencelah dalam saman pemula Hindraf yang antara lain memohon mendapatkan perintah penahanan dan pengusiran ke atas pendakwah Dr Zakir Naik.

Namun kata Datuk Paduka Ibrahim atas kesedaran dan tanggungjawab PERKASA untuk melindungi Islam sebagai Agama Persekutuan mempunyai locus standi untuk mencelah bagi kes tersebut dan telah beberapa kali turun naik mahkamah.

Perkasa juga telah memohon mencelah di mahkamah terhadap tuntutan Hindraf agar kerajaan Malaysia menarik balik taraf pemastautin tetap dan mengekstradisi beliau balik ke India.

" Alhamdulillah, semoga dengan keputusan Interpol ini, adalah diharapkan pihak HINDRAF dan kumpulannya menarik balik serta mengugurkan tuntutan mahkamah terhadap Dr Zakir Naik demi menjernihkan hubungan antara kaum dan agama di negara ini," ujarnya.

Sebenarnya isu mengenai Tokoh Ma’al Hijrah Malaysia (2013) ini sudah bermula sejak 2012 apabila MCCBCHST membantah Dr. Zakir Naik ke Malaysia. Kali ini, HINDRAF kelihatan mengetuai pseudo aktivis ini memohon satu perintah mahkamah (daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur) bagi Ketua Polis Negara (IGP) untuk menangkap Zakir Naik.

Plaintif juga memohon deklarasi bahawa Dr. Zakir adalah ancaman kepada keselamatan, keharmonian dan perpaduan negara ini.

PERKASA beranggapan, tuduhan-tuduhan sebegini lebih bersifat prasangka dan prejudis tanpa ditunjukkan bukti-bukti yang kukuh.

Apakah kejayaan dakwah Dr Zakir mengislamkan ramai umat manusia boleh menjadi ancaman kepada keamanan negara dan ketenteraman awam?

Tidak pula mereka menyatakan hujah atau bukti, bagaimana Zakir boleh menjadi ancaman kepada negara. Satu perkara yang pasti, Perlembagaan Persekutuan membenarkan pendakwahan Islam dijalankan dalam negara ini oleh umat Islam dan pendakyahan agama bukan Islam tidak dibenarkan disebarkan kepada orang Islam dengan apa cara sekalipun.

PERKASA juga telah mengadakan program perdana “Diskusi Intelektual Bersama Dr. Zakir Naik” di Universiti Malaya pada 15 April 2017 dan dalam majlis tersebut, beliau telah dianugerahkan Bintang Pahlawan Pribumi Perkasa Negara oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).

Datuk Paduka Ibrahim seterusnya menegaskan kepada semua pihak bahawa kerajaan Malaysia telah mengiktiraf sumbangan Dr. Zakir Naik kepada perkembangan Islam di Malaysia dengan memberikan anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat kebangsaan yang telah disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah kerana sumbangannya kepada pembangunan Islam. Anugerah tersebut berlangsung pada 5 November 2013.

PERKASAmenganggap tindakan Interpol itu sebagai amat tepat pada masanya kerana ini boleh membersihkan nama Dr. Zakir Naik daripada sebarang tuduhan yang melulu, prasangka, prejudis dan fitnah.