Khamis, Ogos 22, 2013
SALLEH MAKIN LANTANG
KOTA BELUD: Kebelakangan ini Timbalan Ketua Perhubungan Umno Sabah, Datuk Salleh Said Keruak ada beberapa kali membuat gesaan atau lebih tepat “teguran” kepada beberapa kementerian persekutuan berhubung Sabah.
Yang terbaru ialah gesaannya supaya Kementerian Pendidikan pusat memberikan lebih kuasa autonomi kepada Jabatan Pelajaran Sabah dalam perancangan dan pelaksanaan projek pembangunan pendidikan di negeri kedua terbesar itu.
Sebelum ini Salleh, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri, juga “menembak” sekurang-kurangnya dua kementerian persekutuan yang kebetulan diterajui dua pemimpin Umno Sabah sendiri.
Salleh menegur dua kementerian khusus untuk pembangunan luar bandar dan juga perumahan supaya mengubah tabiat mereka daripada melaksanakan sendiri projek-projek di bawah kementerian masing-masing kepada merujuk kerajaan negeri dan menyalurkan terus peruntukan yang banyak dari dua kementerian itu kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.
Dua kementerian yang terkena itu ialah Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang diterajui Datuk Seri Shafie Apdal dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang diterajui Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Musa juga merupakan Ketua Perhubungan Umno Sabah, dan dilaporkan kurang senang dengan cara kementerian pembangunan luar bandar mengendalikan projek di Sabah tanpa merundingi dan melibatkan kerajaan negeri pimpinannya.
Sementara itu Salleh juga menyebut peruntukan lain untuk infrastruktur dan pertanian sepatutnya disalur terus kepada kerajaan negeri.
Shafie, Naib Presiden Umno, yang dianggap tidak sebulu dengan Musa, memang dingin kepada gesaan seperti ini manakala Abdul Rahman yang dikira orang Musa tetapi saingan Salleh sendiri di Kota Belud, turut mendiamkan diri.
Salleh ketika membuat teguran yang terbaru pada suatu majlis hari raya di Kota Belud beberapa hari lepas dilaporkan berkata , “Perwakilan kuasa perlulah disokong dengan dana mencukupi dan mengurangkan proses birokrasi”.
Beliau mendakwa banyak usaha pembangunan pendidikan di Sabah terjejas berikutan amalan gemar merujuk ke Putrajaya berkaitan perkara-perkara remeh.
“Banyak bangunan sekolah di Sabah memerlukan usaha penambahbaikan dan projek pendidikan tidak dilaksanakan secara sistematik kerana amalan ini,” katanya memberi alasan kuasa yang lebih kepada Jabatan Pelajaran Negeri adalah selari dengan tranformasi bidang pendidikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Kebetulan Pengarah Pendidikan Sabah yang baru, Jame Alip, adalah dari Kota Belud, sama daerah dengan Salleh dan dikatakan sentiasa berbincang berhubung permasalahan pembangunan pelajaran Sabah khususnya projek infrastruktur yang dikatakan bertimbun-timbun.
Menuntut Janji Ditepati
Dalam gesaannya yang disiarkan dalam bentuk kenyataan kepada media massa, nyata Salleh merujuk kepada janji-janji Menteri Pendidikan sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang telah bersetuju mewakilkan kuasa kepada Pengarah Pelajaran Negeri Sabah dan Sarawak bagi menguruskan projek-projek pembangunan pendidikan di kedua-dua negeri berkenaan.
Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri ketika merasmikan Konvensyen Tahunan ke-26, Parti Bersatu Sabah (PBS) di KDCA, Penampang dipetik sebagai berkata, ia adalah munasabah untuk mewakilkan kuasa itu, memandangkan Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang besar dari segi jumlah dan juga saiz sekolah.
“Saya melihat kesesuaian dalam mewakilkan kuasa ini kepada Sabah dan Sarawak. Satu cara adalah mewakilkan kuasa itu kepada Pengarah Pelajaran Negeri untuk melihat bagaimana sesetengah projek yang kita laksanakan di peringkat negeri boleh sama-sama diuruskan,” Muhyiddin dipetik sebagai berkata.
Kenapakah Salleh semakin lantang membuat teguran-teguran sedemikian? Kenapa “hentam” kementerian-kementerian tertentu sahaja dan tidak hentam terus Kerajaan Persekutuan pimpinan Najib sebab Najiblah yang berkuasa menentukan gaya Kabinetnya?
Atau ia sudahpun berupa hentaman kepada pimpinan Najib? Cuma media massa dan para penganalisis gagal membaca mesej politik dari Sabah?
Apabila seseorang pemimpin kanan seperti Salleh menegur cara layanan kabinet Najib kepada Sabah, adakah ia amaran awal Umno Sabah akan bersuara keras, kalau tidak berpaling tadah, pada perhimpunan agung Umno Oktober ini?
Atau adakah inilah yang dikatakan “kuasa politik penentu” Sabah dan Sarawak bagi memaksa Kuala Lumpur mendengar rintihan dan gesaan dari Sabah. Tetapi kenapa Salleh berseorangan dalam membuat gesaan? Tiada yang menyokong saranannya setakat ini.
Di Sabah, Musalah yang paling berkuasa dalam Umno mahupun kerajaan negeri. Sebelum pilihanraya umum lalu memang ada desas-desus Najib mungkin membuat rombakan di Sabah tetapi semua itu tidak menjadi. Musa terus juga Ketua Menteri.
Persoalan yang semakin menarik sekarang ialah apakah Salleh akan terus mengekalkan rentak dan momentum tegurannya terhadap dasar Umno kepada Sabah, atau sekadar setakat ini sahaja. Jika ia, adakah Salleh sedang menyediakan “exit point” yang strategik untuknya pada pilihanraya umum akan datang, yang menunjukkan trend menyokong pembangkang.
Adakah ini ada kaitan dengan semakin tipisnya peluang Salleh kembali ke dalam kabinet Sabah, sesuatu yang tidak mustahil berlaku memandangkan beliau adalah ahli dewan undangan negeri sekali gus orang kedua paling penting dalam Umno Sabah…? (dipetik dari freemalaysiatoday.com)
Langgan:
Catatan (Atom)