Khamis, Januari 07, 2016

KITA YANG PATUT MALU DENGAN ORANG BUKAN ISLAM

Syarikat penerbangan Malaysia Airlines Bhd (MAB) tidak perlu untuk mengikut jejak langkah Rayani Air yang memperkenalkan konsep patuh syariah.


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, konsep patuh syariah yang diperkenalkan itu hanyalah untuk mendapatkan keuntungan dengan menggunakan agama Islam.


“Kita dapati pemiliknya bukan orang Islam. Jadi orang bukan Islam yang patuh pada ajaran agama Islam ada juga. Dia dapat keuntungan daripada agama Islam. Sekarang ini, macam-macam benda orang cari keuntungan daripada apa yang ditafsir sebagai kehendak Islam.


“Tidak payah (ambil tindakan yang sama seperti Rayani Air). Saya tengok, syarikat Arab Saudi pun tidak ada konsep patuh syariah. Kenapa kita hendak tunjuk kita ini lebih Islam dari orang lain,” katanya sewaktu wawancara eksklusif bersama FMT.


Mengulas lanjut, Dr Mahathir turut membidas dakwaan bahawa MAB masih menghidangkan arak kepada penumpang-penumpang syarikat penerbangan berkenaan.


“Benda itu sebenarnya tidak patut timbul. Negara Islam yang penduduknya 100 peratus Islam juga tidak suruh buat macam itu (hentikan menghidangkan alkohol sewaktu penerbangan).


“Kita hendak tunjuk kita ini lebih Islam dari mereka. Orang yang tidak pakai tudung pun Islam juga. Orang yang buat dosa juga Islam. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya kata orang itu tidak Islam. Adakah melayan penumpang dengan tudung menunjukkan kita lebih Islam?” soalnya.


Rayani Air memperkenalkan imejnya sebagai syarikat penerbangan patuh syariah yang mewajibkan anak kapal kabinnya memakai tudung bagi yang beragama Islam, menyediakan makan minum daripada sumber halal, melarang minuman keras dan mengamalkan bacaan doa sebelum memulakan penerbangan.


Mempunyai 355 kakitangan, lapan juruterbang dan 50 petugas anak kapal kabin, nama Rayani Air merupakan hasil gabungan nama pemilik syarikat penerbangan itu iaitu Ravi Alegandrran dan isterinya Karthiyani Govindan.


Ulasan saya, kita orang Islam yang patut malu dengan Rayani Air yang memperkenalkan syarikat penerbangan patuh syariah kerana pemiliknya bukan Islam.


Oleh itu tidak timbul soal orang bukan Islam cuba menggunakan Islam untuk kepentingan perniagaan mereka. Mereka faham dengan kehendak orang Islam yang mahu melihat peramugari mereka menutup aurat dan tidak menghidangkan arak dalam kapal terbang.


Jadi kenapa Dr Mahathir takut sangat dengan Rayani Air. Sepatutnya MAS yang mewakili negara membenarkan peramugari mereka bertudung dan tidak menghidangkan arak kerana selama ini negara kita dikatakan negara Islam.


Namun demikian seperti kata Wan Ji, MAS patut kreatif dalam soal menghidang arak jika MAS masih nak hidangkan arak kepada bukan Islam dengan menyuruh peramugari bukan Islam menghidangnya. Begitu juga perimugari Hindu tidak dibenarkan menghidangkan daging lembu kepada penumpang Islam.


Ini soal pengurusan maka pekerja Islam atau Hindu tidak tersinggung jika arahan ini dikuatkuasakan oleh MAS. Namun demikian oleh kerana sudah ada Rayani Air maka sudah tentu kerajaan takut MAS tidak ada penumpang lagi.


Bukankah penerbangan patuh syariah ini satu pilihan seperti mana kita bebas menyimpan wang dalam Bank Islam atau bank konvensional? Kenapa harus takut kepada penerbangan yang mengamalkan cara hidup Islam?