CAMERON HIGHLANDS, 10 Dis (Bernama) -- Parti komponen Barisan Nasional (BN), MyPPP menyerahkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat keputusan bagi menentukan calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Presidennya, Tan Sri M Kayveas berkata beliau yakin Perdana Menteri akan membuat keputusan yang tepat dalam menentukan calon di kawasan berkenaan bagi memastikan BN mengekalkan kerusi itu sejak kerusi itu diwujudkan pada 2004.
Sejak 2004, kerusi itu dimiliki oleh MIC dan kini disandang oleh bekas presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel, yang kini menjadi Ahli Parlimen Bebas selepas hilang keanggotaan MIC semasa krisis dalaman parti itu.
"Saya ada bertemu dan berbincang dengan Datuk Seri Dr Subramaniam (Presiden MIC) mengenai perkara (calon) ini dan adalah tidak adil sekiranya saya 'memaksa' beliau untuk menyerahkan kerusi Parlimen Cameron Highlands kepada MyPPP.
"Oleh itu, sekarang ini kita hanya perlu Perdana Menteri mengumumkan perkara berkenaan. Apa yang penting sebagai parti komponen, kita perlu mengekalkan semangat setiakawan ke arah perpaduan yang lebih kuat dalam BN," katanya.
Kayveas, yang juga Penasihat Kementerian Pengangkutan, berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan program Senyum Ceria Bersama Tan Sri M. Kayveas anjuran Puteri MyPPP di Perkampungan Orang Asli Kampung Susu di sini, hari ini.
Kayveas berkata MIC perlu menerima dengan hati yang terbuka sekiranya Najib, selaku Pengerusi BN, memilih wakil MyPPP untuk menjadi calon di kerusi Parlimen Cameron Highlands.
"Katakanlah Perdana Menteri setuju bagi MyPPP untuk bertanding, saya berharap MIC boleh menerima keputusan tersebut dan memberi sokongan kepada kita seperti mana kita memberi sokongan penuh kepada MIC di lain-lain kawasan.
Ketua Pemuda MIC, C. Sivarraajh disebut bakal calon BN di Cameron Highlands.
-- BERNAMA