Jumaat, Februari 06, 2009

JJ SINONIM DENGAN ANGKASAWAN


Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis atau JJ merupakan seorang lagi calon Naib Presiden UMNO yang tidak ada jawatan dalam kerajaan. Beliau merupakan ahli parlimen Rompin. Sebelum itu beliau pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan yang mana bahagian itu diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.


Oleh kerana Najib kekal bertanding di parlimen Pekan, maka JJ dipindahkan bertanding di Rompin yang mana ketika itu ketua bahagian Rompin ialah Datuk Hassan Ariffin, Timbalan Menteri Besar Pahang.


Selepas beberapa penggal menjadi ahli parlimen, JJ mengejutkan semua orang apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad melantiknya sebagai Menteri Kewangan Kedua. Tetapi beliau tidak lama di kementerian tersebut apabila Pak Lah melantiknya sebagai Menteri Sains, Teknlogi dan Inovasi selepas pilihan raya umum 2004. Di kementerian inilah (MOSTI), nama JJ menjulang kerana beliau berjaya melancarkan angkasawan pertama Malaysia, Datuk Dr. Sheikh Muzafar. Selepas beliau tidak dilantik semula sebagai menteri selepas pilihan raya umum 2008, projek angkasawan di MOSTI kelihatan tidak bermaya dan lesu.


Adakah penggantinya, Datuk Dr. Maximus Ongkili tidak serius dengan projek ini kerana ia adalah idea Tun Dr. Mahathir Mohamad atau projek ini tidak menjadi keutamaan lagi di zaman Pak Lah menjadi Perdana Menteri. Ramai yang berpendapat jika JJ masih di MOSTI, banyak program yang berkaitan dengan angkasawan dapat dijayakannya. Kesian kepada Dr. Sheikh Muszaphar yang terpaksa menyusun ceramah sendiri sehingga beliau dituduh mengenakan bayaran yang mahal untuk setiap ceramah kerana MOSTI tidak ada perancangan langsung untuk angkasawan Malaysia ini.


Calon Naib Presiden UMNO ini bukanlah orang baru dalam politik. Beliau pernah menjadi ketua pemuda UMNO Bahagian Pekan. Beliau pernah jadi Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan beliau sudah dua penggal dalam majlis tertinggi UMNO.


Dengan pencalonan sebanyak 26 pencalonan, beliau merupakan calon tunggal dari Pahang yang akan merebut kerusi Naib Presiden UMNO ini. Pahang akan mempunyai Presiden UMNO yang baru pada akhir Mac ini. Adakah percubaan JJ dari Pahang sebagai Naib Presiden UMNO akan berjaya? Pada pemilihan 2004, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaacob cuba merebut kerusi Naib Presiden UMNO tetapi tewas kepada Tan Sri Isa Samad, Datuk Seri Ali Rustam dan Tan Sri Muhyiddin Yasin.


Dapatkah JJ mengikut jejak langkah Najib yang jadi Naib Presiden UMNO dari tahun 1993 hingga 2004? JJ tidak dapat dipisahkan dengan Najib. Apabila Najib jadi Perdana Menteri kelak, JJ dikatakan akan kembali ke dalam kabinet.


Malah ada khabar angin yang mengatakan bahawa beliau tidak berminat menjadi menteri sebaliknya mahu jadi Pengerusi Petronas.


Sebagai ahli parlimen Rompin, JJ telah membawa banyak perubahan kepada Rompin. Ketika beliau menjadi Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), beliau membawa kampus cawangan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) ke kawasan Rompin. Berbanding dahulu dengan sekarang, JJ banyak membangunkan Rompin. Sebab itulah beliau kekal sebagai Ketua UMNO Bahagian Rompin walaupun beliau bukan lagi seorang menteri.


Ada yang mengatakan bahawa JJ akan tarik diri dari pertandingan ini kerana Najib mahu Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi dan Datuk Seri Shafie Afdal yang menang dalam pertandingan naib presiden. Walaupun ia tidak dapat disahkan, kononnya JJ akan dilantik sebagai Bendahari UMNO Malaysia.

RTC CALON TERAKHIR DAPAT KUOTA


Calon terakhir yang mendapat kuota untuk bertanding kerusi Naib Presiden UMNO ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik (RTC). Beliau seangkatan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sama-sama bertanding dalam pilihan raya buat kali pertama pada tahun 1978.


Malah Pak Lah dan RTC memulakan karier dalam kerajaan sebagai setiausaha parlimen selepas menang dalam pilihan raya tersebut. Pak Lah dinaikkan pangkat sebagai timbalan menteri dan kemudiannya menjadi menteri penuh pada tahun 1981 tetapi RTC sempat juga menjadi timbalan menteri sebelum kembali ke Melaka pada tahun 1982 sebagai Ketua Menteri.


Beliau kekal sebagai Ketua Menteri Melaka selama tiga penggal hingga tahun 1994 apabila beliau dijatuhkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu konspirasi politik yang paling hebat. Beliau difitnah mengadakan hubungan dengan gadis bawah umur. Pilihan raya umum 1995 beliau digugurkan sebagai ADUN. Ketika itu beliau sudah menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang menang pada tahun 1993 yang digunakan Anwar untuk menjatuhkan Tun Ghafar Baba, tokoh dari Melaka.


Pada tahun 2004 RTC kembali dalam UMNO apabila menang kerusi ahli majlis tertinggi UMNO. Walaupun beliau bukan menteri, beliau tetap menang. Ini membuktikan bahawa beliau masih ada pengaruh dalam UMNO. Tambahan pula sebagai bekas Ketua Pemuda 1993-1995, ramai ketua pemuda bahagian pada era beliau kini sudah menjadi ketua bahagian atau timbalan ketua bahagian.


Dalam pada itu beliau telah diamanahkan oleh majlis tertinggi UMNO untuk mengetuai Gabungan Ekonomi Melayu (Gabem) yang bertujuan untuk melahirkan usahawan baru dalam UMNO. Sebagai Pengerusi Gabem, beliau menunjukkan kehebatannya menerajui gabem dengan mengadakan pelbagai aktiviti.


Dapatkah RTC menang dalam pertandingan Naib Presiden UMNO ini? Beliau mendapat 20 pencalonan tetapi pencalonan tidak menggambarkan pengundian. Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Isa Samad mendapat pencalonan yang tidak banyak tetapi tetap menang sebagai Naib Presiden UMNO. Yang menariknya, pertandingan kali ini melibatkan dua orang bekas ketua pemuda, RTC dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan seorang ketua pemuda sekarang, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.


Majoriti perwakilan adalah bekas perwakilan pemuda 1990an. Jika mereka mengundi berdasarkan pengaruh ketua pemuda, maka gabungan Hishamuddin-Zahid-RTC (HZR) mungkin menjadi pilihan para perwakilan 2009.


Naib Presiden UMNO sekarang, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang merebut kerusi timbalan presiden UMNO pada Mac ini pernah bekerja di bawah RTC. Malah ketika RTC bertanding kerusi ketua pemuda pada tahun 1993, Mohd. Ali adalah salah seorang pengurus kempen RTC. Kini Mohd. Ali sudah mendahului bekas bossnya, RTC dan sudah jadi Naib Presiden UMNO sedangkan RTC masih berhempas-pulas mahu menjadi Naib Presiden UMNO.


Pada tahun 1990, selaku Ketua Menteri Melaka, RTC pernah bertanding kerusi Naib Presiden UMNO tetapi kalah. Pada tahun 1993, beliau menyertai Team Wawasan dan bertanding kerusi Ketua Pemuda menentang Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad. Dengan sokongan Anwar Ibrahim yang merupakan calon Timbalan Presiden UMNO ketika itu, RTC menang tipis mengalahkan Isa.


Sebagai Ketua Menteri Melaka, RTC telah menunjukkan kehebatannya membangunkan Melaka dari negeri yang tidak ada apa-apa hasil tetapi berjaya menarik pelabur ke Melaka. Kejayaannya itu memikat hati Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Di atas kecemerlangannya itulah maka Anwar memilih RTC sebagai calon ketua pemuda mewakili Team Wawasan kerana Menteri Besar Johor, Muhyiddin Yassin; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Menteri Pertahanan,Datuk Seri Najib Tun Razak telah dipilih Anwar untuk menjadi calon Naib Presiden dari Team Wawasan untuk mengalahkan Menteri Luar, Pak Lah dan Menteri Pertanian, Tan Sri Sanusi Junid.


Team Wawasan berjaya menyapu bersih pada tahun 1993. Tetapi usaha Anwar menjatuhkan RTC pada tahun 1994 telah menyebabkan karier politik RTC terbantut sekejap dan beliau kalah dalam usaha merebut semula kerusi ketua pemuda pada tahun 1996 di tangan Dr. Zahid Hamidi. Karier politiknya kembali bersinar pada tahun 2004 apabila menang majlis tertinggi UMNO tanpa memegang sebarang jawatan dalam kerajaan. Dapatkah RTC yang kini menjadi Pengerusi RISDA mencipta sejarah kali ini? Hanya perwakilan yang menentukannya.

ZAMAN DR. RAIS SUDAH BERLALU?




Salah seorang calon veteran yang turut bertanding bagi jawatan Naib Presiden UMNO ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim. Beliau bukan orang baru dalam politik. Aktif dalam UMNO sejak tahun 1974 di zaman Tun Razak menjadi Perdana Menteri lagi.


Sudah tujuh penggal menjadi ahli parlimen Jelebu kecuali pada tahun 1990 dan 1995 beliau kalah kepada calon BN, Datuk Yunus Rahmat ketika beliau menyertai Parti Semangat 46.


Pada tahun 1974, beliau memulakan karier politiknya sebagai Setiausaha Parlimen dan pada tahun 1978 beliau dipanggil balik ke Negeri Sembilan sebagai Menteri Besar.Pada tahun 1982 Dr. Rais kembali ke pusat sebagai Menteri Penerangan. Pada tahun 1986 beliau dilantik Menteri Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah dan pernah jadi Menteri Luar sebelum meletakkan jawatan dari kabinet sebelum Team B kalah pada 24 April 1987.


Pada tahun 1990 beliau bertanding di parlimen Jelebu sebagai calon Semangat 46. Beliau yang merupakan Timbalan Presiden Semangat 46 kalah dalam dua kali pilihan raya 1990 dan 1995. Pada 1996 beliau kembali kepada UMNO dan dipilih semula sebagai calon BN pada pilihanraya 1999 dan dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri.


Pada tahun 2004, beliau dilantik Menteri Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan (KEKWA) dan pada tahun 2008 beliau kembali ke Kementerian Luar.


Dalam UMNO pula, beliau pernah jadi Exco Pemuda dan pernah dicalonkan untuk bertanding sebagai ketua pemuda pada tahun 1982 tetapi beri laluan kepada Anwar Ibrahim menentang Datuk Haji Suhaimi Kamaruddin.


Pada tahun 1978, beliau adalah ahli majlis tertinggi UMNO dan pada tahun 1981 beliau bertanding kerusi Naib Presiden UMNO buat kali pertama dan kalah lima undi kepada Naib Presiden UMNO ketiga, Tengku Ahmad Rithaudeen.Itulah prestasi terbaik Dr. Rais dalam pertandingan Naib Presiden.


Kali ini beliau mencuba merebut sekali lagi kerusi Naib Presiden UMNO setelah beberapa kali gagal termasuk pada tahun 1987 apabila beliau bertanding mewakili Team B.


Sebagai menteri beliau adalah seorang menteri yang kreatif terutamanya ketika di KEKWA yang mana beliau banyak membuat pembaharuan. Banyak idea baru yang diperkenalkannya tidak seperti menteri sekarang yang tidak ada idea baru.


Sebagai Menteri Luar pula, namanya menonjol selepas Israel menyerang Tebing Gaza bulan lepas. Peranan Malaysia agak ketara menyeru OIC dan Bangsa-Bangsa Bersatu bertindak tegas kepada Israel.


Pak Lah pernah mencadangkan namanya sebagai calon Setiausaha Agung Komanwel tetapi beliau menolak tawaran itu kerana lebih minat bekerja di tanah air sendiri. Ia tidak menimbulkan kemarahan Pak Lah walaupun keputusan itu telah dipersetujui oleh kabinet. Buktinya Pak Lah tetap mengekalkan beliau sebagai calon parlimen di Jelebu pada pilihan raya umum 2008 dan setelah menang beliau dilantik sebagai Menteri Luar.


Tanpa menggunakan wang, beliau mendapat 26 pencalonan untuk bertanding kerusi Naib Presiden UMNO kali ini. Dapatkah beliau mengikut jejak langkah Pak Lah yang menang Naib Presiden UMNO pada tahun 1996 ketika Pak Lah menjadi Menteri Luar? Ini bermakna Kementerian Luar pernah memberi kemenangan kepada calon Naib Presiden UMNO.

MAMAK JADI MB PERAK


Politik negeri Perak tetap tidak stabil walaupun BN berjaya membentuk kerajaan baru. BN dan Pakatan Rakyat menerima kerusi yang sama banyak, 28 kerusi tetapi BN disokong oleh tiga orang ADUN Bebas yang keluar dari PKR dan DAP.


Ini yang memuaskan hati Sultan Perak bahawa BN sudah ada sokongan 31 orang dalam Dewan Undangan Negeri. Maka BN yang layak tubuh kerajaan tanpa membubarkan Dewan Undangan Negeri. Itulah alasan Sultan Perak kenapa Baginda tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri.


Untuk enam bulan ini BN Perak tetap tidak stabil kerana ada lebih tiga kerusi sahaja dalam Dewan Undangan Negeri. Bukan senang Menteri Besar baru, Datuk Dr. Zambri Abdul Kadir mahu menerajui negeri Perak jika ADUN BN yang tak dapat jawatan Exco atau pengerusi anak-anak syarikat negeri buat hal. Mereka boleh dibeli oleh PKR anytime. Pendek kata politik Perak tetap tidak stabil. Oleh itu jalan terbaik serah mandat kepada rakyat. Biar rakyat buat keputusan siapa yang mereka mahu perintah mereka.


Petang semalam jam 5.30 saya dengan Hafiz tiba di Ipoh. Hujan lebat menyambut kami di Ipoh. Ramai orang berdiri dalam hujan lebat di istana Kinta. Maka kami turun dari kereta dan nampak ramai wartawan termasuk Muda dari Malaysiakini. Kata Muda, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru masuk menghadap Sultan Perak.


Sesampainya di lapangan terbang Subang, Pak Lah umumkan nama ADUN Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir. Beliau dahulu bekas Exco Pemuda UMNO Malaysia dan penyokong kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada tahun 2004, selepas beliau dipilih jadi calon, beliau jumpa Pak Lah dan ucapkan terima kasih kepada Pak Lah yang mengambilnya sebagai calon BN walaupun dikaitkan dengan Anwar. Pak Lah jawab, ucap terima kasih kepada Khairy.


Kami ke Cashuarina Hotel dan jumpa boss, Baha Azuwan di situ dengan Zainal Epi dari Malay Mail. Lepas itu kami pi makan dengan ADUN Kubu Gajah, Datuk Raja Ahmad Zainuddin di Canning Garden. Saya rasa beliau bakal dilantik Exco kerajaan Perak. Beliau bekas Setiausaha Politik Tan Sri Ramli Ngah Talib ketika menjadi MB Perak. Beliau tidak naik di zaman Datuk Tajol Rosli. Mungkin dia akan naik di zaman Dr. Zambry.


Ada seorang lagi kawan sesama wartawan WATAN dulu, Datuk Khusairy Talib yang kini jadi ADUN Slim diharap dapat jadi Exco juga. Ketika saya bekerja di WATAN Sabah, Khusairy bekerja dengan Pembantu Menteri PBS, Datuk Zaki Gusmiah dan pernah jadi ahli seumur hidup PBS di Sabah. Bila balik Perak, menang jadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanjong Malim dan terus dipilih jadi calon. Kini Khusairy ialah Ketua UMNO Bahagian Tanjong Malim.


Seorang rakan dari Kuala Ibai, Zaini yang berasal dari Beruas, Perak menelefon saya bersyukur kawannya, Dr. Zambri dilantik MB Perak yang baru. Walaupun Zaini sudah 20 tahun lebih menetap di Kuala Ibai, Kuala Terengganu, Zaini tetap balik ke kampung halamannya di Perak.


Malam itu kami pergi ke rumah MB, Ir. Nizar Jamaluddin yang belum letak jawatan walaupun diarah oleh Sultan Perak. Hampir 10,000 rakyat Perak membanjiri rumah MB mendengar ceramah dari para pemimpin Pakatan Rakyat yang terdiri dari Nizar, Ngor, Tian Chua dan ramai lagi. Nampaknya politik Perak tidak akan tenang kerana Nizar tidak akan berundur dari kediaman MB.


Ada pengunjung blog yang membuat ulasan kononnya saya sokong PKR dalam isu ini. Nampak sangat pengulas tu tak sekolah. Bila menulis supaya serah kepada rakyat bukanlah bermakna saya sokong PKR tetapi itulah jawapan terbaik. Biar rakyat tentukan siapa yang layak perintah Perak. Tak ada makna BN rampas kuasa sekarang tetapi tiga tahun lagi BN kalah lagi dalam pilihan raya umum.


Ada yang mengatakan MIC tiada wakil dalam kerajaan baru BN. Tapi ada yang bergurau Dr. Zambri pun wakil MIC juga. Sesudah ramai orang Melayu jadi MB Perak, akhirnya MB Perak dilantik dari kalangan mamak. Tahniah kepada Dr. zambri, mamak pertama jadi MB Perak.