Jumaat, Februari 06, 2009

RTC CALON TERAKHIR DAPAT KUOTA


Calon terakhir yang mendapat kuota untuk bertanding kerusi Naib Presiden UMNO ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik (RTC). Beliau seangkatan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sama-sama bertanding dalam pilihan raya buat kali pertama pada tahun 1978.


Malah Pak Lah dan RTC memulakan karier dalam kerajaan sebagai setiausaha parlimen selepas menang dalam pilihan raya tersebut. Pak Lah dinaikkan pangkat sebagai timbalan menteri dan kemudiannya menjadi menteri penuh pada tahun 1981 tetapi RTC sempat juga menjadi timbalan menteri sebelum kembali ke Melaka pada tahun 1982 sebagai Ketua Menteri.


Beliau kekal sebagai Ketua Menteri Melaka selama tiga penggal hingga tahun 1994 apabila beliau dijatuhkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu konspirasi politik yang paling hebat. Beliau difitnah mengadakan hubungan dengan gadis bawah umur. Pilihan raya umum 1995 beliau digugurkan sebagai ADUN. Ketika itu beliau sudah menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang menang pada tahun 1993 yang digunakan Anwar untuk menjatuhkan Tun Ghafar Baba, tokoh dari Melaka.


Pada tahun 2004 RTC kembali dalam UMNO apabila menang kerusi ahli majlis tertinggi UMNO. Walaupun beliau bukan menteri, beliau tetap menang. Ini membuktikan bahawa beliau masih ada pengaruh dalam UMNO. Tambahan pula sebagai bekas Ketua Pemuda 1993-1995, ramai ketua pemuda bahagian pada era beliau kini sudah menjadi ketua bahagian atau timbalan ketua bahagian.


Dalam pada itu beliau telah diamanahkan oleh majlis tertinggi UMNO untuk mengetuai Gabungan Ekonomi Melayu (Gabem) yang bertujuan untuk melahirkan usahawan baru dalam UMNO. Sebagai Pengerusi Gabem, beliau menunjukkan kehebatannya menerajui gabem dengan mengadakan pelbagai aktiviti.


Dapatkah RTC menang dalam pertandingan Naib Presiden UMNO ini? Beliau mendapat 20 pencalonan tetapi pencalonan tidak menggambarkan pengundian. Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Isa Samad mendapat pencalonan yang tidak banyak tetapi tetap menang sebagai Naib Presiden UMNO. Yang menariknya, pertandingan kali ini melibatkan dua orang bekas ketua pemuda, RTC dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan seorang ketua pemuda sekarang, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.


Majoriti perwakilan adalah bekas perwakilan pemuda 1990an. Jika mereka mengundi berdasarkan pengaruh ketua pemuda, maka gabungan Hishamuddin-Zahid-RTC (HZR) mungkin menjadi pilihan para perwakilan 2009.


Naib Presiden UMNO sekarang, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang merebut kerusi timbalan presiden UMNO pada Mac ini pernah bekerja di bawah RTC. Malah ketika RTC bertanding kerusi ketua pemuda pada tahun 1993, Mohd. Ali adalah salah seorang pengurus kempen RTC. Kini Mohd. Ali sudah mendahului bekas bossnya, RTC dan sudah jadi Naib Presiden UMNO sedangkan RTC masih berhempas-pulas mahu menjadi Naib Presiden UMNO.


Pada tahun 1990, selaku Ketua Menteri Melaka, RTC pernah bertanding kerusi Naib Presiden UMNO tetapi kalah. Pada tahun 1993, beliau menyertai Team Wawasan dan bertanding kerusi Ketua Pemuda menentang Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad. Dengan sokongan Anwar Ibrahim yang merupakan calon Timbalan Presiden UMNO ketika itu, RTC menang tipis mengalahkan Isa.


Sebagai Ketua Menteri Melaka, RTC telah menunjukkan kehebatannya membangunkan Melaka dari negeri yang tidak ada apa-apa hasil tetapi berjaya menarik pelabur ke Melaka. Kejayaannya itu memikat hati Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Di atas kecemerlangannya itulah maka Anwar memilih RTC sebagai calon ketua pemuda mewakili Team Wawasan kerana Menteri Besar Johor, Muhyiddin Yassin; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Menteri Pertahanan,Datuk Seri Najib Tun Razak telah dipilih Anwar untuk menjadi calon Naib Presiden dari Team Wawasan untuk mengalahkan Menteri Luar, Pak Lah dan Menteri Pertanian, Tan Sri Sanusi Junid.


Team Wawasan berjaya menyapu bersih pada tahun 1993. Tetapi usaha Anwar menjatuhkan RTC pada tahun 1994 telah menyebabkan karier politik RTC terbantut sekejap dan beliau kalah dalam usaha merebut semula kerusi ketua pemuda pada tahun 1996 di tangan Dr. Zahid Hamidi. Karier politiknya kembali bersinar pada tahun 2004 apabila menang majlis tertinggi UMNO tanpa memegang sebarang jawatan dalam kerajaan. Dapatkah RTC yang kini menjadi Pengerusi RISDA mencipta sejarah kali ini? Hanya perwakilan yang menentukannya.