Rabu, Ogos 26, 2015

ANDAINYA ISA MASIH ADA, JAMAL TIDAK GENTAR DITAHAN DI BAWAH ISA DEMI NEGARA

Gabungan NGO Malaysia bercadang menghimpunkan penyokongnya di Kuala Lumpur Sabtu ini sebagai membantah penganjuran perhimpunan Bersih 4.0 yang dianggap haram oleh polis.
Pengerusinya,Datuk Jamal Md Yunos yang mengetuai kumpulan yang dipanggil "Bersih 4.0 Cintakan Keamanan", berkata mereka melihat penganjuran Bersih 4 sebagai sesuatu yang boleh menjejaskan imej dan keharmonian negara.
"Kami tetap akan buat perhimpunan ini melainkan pihak penganjur Bersih 4 membatalkan niat mereka untuk membuat perhimpunan mereka," katanya pada perhimpunan aman melibatkan 25 badan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Lumpur petang tadi.
Ia termasuk Persatuan Veteran Tentera Melayu, Persatuan Peniaga-Peniaga Bekas Tentera dan Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin.
Perhimpunan Bersih 4 yang dirancang diadakan hujung minggu ini, dianggap "tidak dibenarkan" atau haram kerana tidak memenuhi syarat Akta Perhimpunan Aman 2012.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa berkata berdasarkan Seksyen 9 akta tersebut, pihak penganjur perlu mendapat kebenaran pemilik tempat.
Sementara itu Malaysiakini melaporkan Kumpulan anti-BERSIH 4, yang tampil dengan imej berbaju merah, hari ini sekali lagi berhimpun di ibu kota bagi menyatakan bantahan terhadap perhimpunan 34 jam Sabtu ini.
Menurut video yang dimuat naik di Internet, mereka mempamerkan pelbagai aksi lasak, termasuk memukul kepala dengan kayu sehingga patah selain aksi memecahkan atap genting dengan kepala.
Mereka juga memakai baju bertulis “BERSIH 4 Keamanan”.
Berdasarkan video, beberapa orang juga mempamerkan beberapa aksi balik kuang serta beberapa “bunga” silat seperti dalam aksi berlawan.
Beberapa kain rentang anti-BERSIH dibawa, antaranya bertulis "Menentang keras BERSIH 4 jahat kerana merosakkan pemikiran generasi Y".
Ramai anak muda kelihatan menyertai perhimpunan itu.
Pada 20 Ogos lalu, sebuah perhimpunan anti-BERSIH telah diadakan di Kuala Lumpur yang menyaksikan gambar pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah disimbah cecair merah.
Kumpulan itu, yang menggelarkan diri sebagai “Gabungan NGO-NGO Malaysia”, juga mengugut berkumpul di depan rumah Maria dan mahu membawa 30,000 orang yang menentang BERSIH 4 berhimpun sama pada hari itu.
Saya yang sedang lepak di Riverside, PWTC petang tadi bersama Zaharin Mohd Yasin, Mohd Nor Rajihi dan Hidayat Fansuri tiba tiba didatangi sekumpulan pemuda berbaju merah berkumpul di Riverside tersebut.
Mereka yang diketuai ketua Umno bahagian Sungai besar, jamal Mohd Yunos turut disertai Shahbudin Embun, Din Seputeh, Mohd Nor Rajihi, Yusof Soulu, Pak Lah Ali, Ali Tinju dan ramai lagi yang saya tak kenali.
Ini adalah kali pertama saya mengenali Jamal yang pernah membuka 23 cawangan restoran Sekinchan Ikan Bakar. Dahulu Restoran Sekinchan Ikan Bakar amat popular dengan pengasasnya yang berusia 44 tahun itu. 
Jamal ketika Noh Omar menjadi timbalan menteri dalam negeri merupakan orang kuat Noh dan secara berseloroh Mohd Nor Rajihi berseloroh bahawa Jamal adalah timbalan menteri kepada timbalan menteri dalam negeri.
Saya sempat bertanya kepada beliau, apa motif Gabungan NGO Malaysia mahu hadiri juga perhimpunan Bersih 4, beliau menjawab ia bertujuan membantu kerajaan membendung Bersih 4 mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka.
"Kami rasa terpanggil untuk menghalang mereka kerana mereka sengaja mahu memalukan negara di saat saat negara mahu menyambut Hari Kebangsaan," tegasnya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata beliau tidak gentar jika ISA masih ada, beliau ditahan di bawah ISA demi menyelamatkan maruah negara dicemari oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seperti Bersih 4.
"Saya bukannya rasis. tetapi apa motif mereka mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka melalui jalan utama yang menganggu peniaga majoriti orang Melayu. Kenapa mereka tidak adakan perhimpunan di kawasan orang Cina. Ini bermakna mereka mahu merosakkan perniagaan orang Melayu sepanjang perhimpunan Bersih 4 berlangsung," katanya yang tidak pernah bercita-cita mahu menjadi ahli politik.
Beliau mengambil keputusan bertanding jawatan Ketua Bahagian Umno Sungai Besar seminggu sebelum persidangan berlangsung pada tahun 2013.
"Sebagai ketua bahagian, saya tidak mahu menjadi wakil rakyat. Malah saya hantar senarai nama calon seramai 16 orang kepada ibu pejabat Umno untuk dicalonkan pada PRU akan datang," katanya.
Jamal orang baru dalam politik Umno. Apabila beliau meminta Muhyiddin yasin berundur sebagai timbalan presiden Umno, sudah tentu nama beliau sudah dikenali di seluruh negara. Sebelum ini orang tidak kenal siapa itu Jamal walaupun beliau sudah dua tahun menjadi ketua bahagian kecuali bila sebut Restoran Sekinchan Ikan Bakar baru orang ingat nama beliau.
Sebagai orang baru dalam politik, beliau suka bercakap terus terang. Malah beliau berani menghentam Bendahari Umno perhubungan, Fateh Mansor yang menemui PM, najib Razak kononnya minta projek untuk syarikat Glomac untuk beri sumbangan kepada Umno Selangor sebaliknya langsung tidak beri sumbangan kepada parti.

kalau orang yang mementingkan diri seperti ini dikekalkan dalam Umno Selangor, sampai bila Umno mampu menawan Selangor? Maka orang yang lantang bersuara seperti Jamal perlu ada dalam Umno dan NGO demi memertabatkan perjuangan bangsa Melayu.`