Khamis, Mei 22, 2014

MB DIPUJI KERANA KAJI BALIK KENAIKAN CUKAI PINTU DI DAERAH KUALA TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 22 Mei (Bernama) -- Jawatankuasa Bertindak Cukai Pintu Terengganu menyambut baik keputusan kerajaan negeri Terengganu untuk mengkaji semula cadangan menaikkan kadar cukai pintu di daerah Kuala Terengganu. Pengerusinya Ahmad Azmzad Hashim turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar yang baharu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman kerana bertindak segera dengan membincangkan isu itu ketika mempengerusikan mesyuarat Exco pertamanya semalam. "Kami sangat mengalu-alukan kenyataan Menteri Besar untuk mengkaji balik kenaikan ini dan ingin menyatakan pendirian bahawa kami tidak dapat menerima sebarang kenaikan ketika ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Jawatankuasa itu juga meminta lebih ramai penduduk di kawawsan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) agar mengemukakan bantahan mengenai cadangan tersebut sebelum tarikh akhir pada 2 Jun ini. Jawatankuasa itu disertai 40 badan bukan kerajaan di seluruh Terengganu dan ditubuhkan bagi memberi penerangan kepada rakyat mengenai cadangan kenaikan cukai tersebut. Semalam, Ahmad Razif mengumumkan kerajaan negeri akan mengkaji kadar cukai pintu berasaskan keperluan dan kebajikan kepada rakyat setelah kadar itu tidak berubah sejak 1981. -- BERNAMA KAK AE NM

KDN BERI AMARAN KEPADA PENERBIT NOVEL LUCAH

SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi amaran akan mengambil tindakan tegas kepada penerbit yang menerbitkan novel berunsur lucah di negara ini. Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN), Hashimah Nik Jaafar berkata, pihaknya akan menyiasat dengan teliti novel yang dikatakan dijual secara meluas di pasaran dan menjadikan pelajar sekolah selain remaja sebagai sasaran pembaca. “Pada kebiasaannya, novel sebegini diterbitkan oleh penerbit yang tiada permit dengan KDN dan pencetak yang tidak ada permit pencetakan. “Pihak KDN boleh ambil pelbagai tindakan kepada mereka,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Kumpulan Media Karangkraf, semalam. Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub, Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abd Jalil Ali dan Penolong Pegawai Penguatkuasa KDN, Noor Zaman Mohammad. Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya akan memantau lebih serius perkara itu dan mengharapkan agar orang ramai turut memberikan maklumat kepada KDN. “Masyarakat boleh turut sama membantu dengan menyalurkan aduan dan menyertakan bukti novel-novel tersebut kepada pihak kami," katanya Sementara itu, beliau turut mengingatkan penerbit dan pencetak yang mempunyai permit sah supaya tidak melanggar akta yang telah ditetapkan. Menurutnya, jika mereka melanggar peraturan tersebut, mereka bakal berdepan risiko dibatalkan permit penerbitan. “Bila dah diberi permit, mereka perlu berhati-hati dan pastikan mengikut arahan yang telah ditetapkan. Jika tidak, kami akan terus batalkan permit mereka. “Bila dah melanggar batasan-batasan tertentu, kami terus keluarkan surat tunjuk sebab dan mereka kena bagi jawapan kenapa kami tidak boleh batalkan permit mereka," katanya Tambahnya, setakat ini sebanyak enam akhbar telah dibatalkan permit penerbitan.