Khamis, September 20, 2012

UMNO KUALA NERUS MAHU PENAMBAHBAIKAN?

Terkejut juga membaca laporan Sinar Harian semalam yang menyebut UMNO Bahagian Kuala Nerus tidak menolak kemungkinan untuk tidak mengekalkan senarai segelintir wakil rakyat sedia ada sebagai calon di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13. Lalu tertanya-tanyalah Ambe, siapa yang tak bagus dan kenapa kalau bagus perlu digugurkan. Apakah tiga ADUN berkenaan tidak boleh menang? Ketua Bahagian UMNO Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri menyifatkan kesemua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Parlimen itu berkhidmat dengan cukup baik. Ketika ini Kuala Nerus mempunyai wakil rakyat yang dikira berwibawa apalagi bahagian yang mempunyai dua Exco, selain Kemaman yang mempunyai Menteri Besar dan seorang Exco. Mereka ADUN Seberang Takir, YB Ahmad Razif Ab Rahman yang juga Exco Kerajaan Negeri, ADUN Teluk Pasu, YB Datuk Abdul Rahin Mohd Said, juga Exco Kerajaan Negeri dan ADUN Tepoh, YB Mohd Ramli Nuh (gambar kanan) yang juga aktif dan banyak membantu parti selain DUN Bukit Tunggal yang merupakan satu-satunya kerusi yang kalah di kawasan itu. Tetapi? Menurut Nasir, UMNO Kuala Nerus mahukan ‘penambahbaikan’. Katanya, UMNO bahagian itu akan menampilkan calon terbaik untuk kepentingan parti bagi memastikan kerajaan BN di Terengganu terus dipertahankan pada pilihan raya akan datang. “Mereka yang berminat (menjadi calon) cukup ramai tetapi kita hanya ada lima kerusi untuk dipertandingkan di Parlimen Kuala Nerus. Kita akan tampil yang terbaik untuk kepentingan parti dan kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri, di Pejabat Parlimen Kuala Nerus. Bagaimanapun kata Nasir yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, gambaran individu tertentu yang difikirkan layak telah ada berdasarkan penilaian pihaknya terhadap prestasi sepanjang tempoh berkhidmat dengan parti, di samping mengambil kira umur dan kesihatan. “Dalam kepala saya mungkin sudah ada (senarai calon) dan saya akan hantar senarai tersebut apabila diminta berbuat demikian oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu,” katanya. Persoalannya kenapa Nasir bercakap begini? Cara Nasir ini sengaja mahu merosakkan UMNO. Mana boleh Ketua Bahagian pandai-pandai mahu tukar orang? Benarlah cakap-cakap mengatakan Nasir ini tidak pandai berpolitik tetapi bercita-cita besar. Dia dikatakan mahu menjadi Menteri Besar sebab itu asyik ganggu Razif di DUN Seberang Takir. Dengar cerita sudah tidak mahu jadi Ahli Parlimen tetapi mahu rebut kerusi Razif dan kerana itu mengatakan ADUN dalam Parlimen itu perlku diganti. Anehnya beliau membuat kenyataan pada ketika mengaku belum menyenaraikan nama calon secara rasmi tetapi tetap meneruskan proses penilaian sehingga kini untuk memastikan calon cadangan kelak boleh memenangkan parti. Nasir sendiri apabila ditanya sama ada beliau akan bertanding mengatakan menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada pucuk pimpinan parti sama ada dicalonkan atau tidak. “Walaupun saya sebagai ketua bahagian tetapi penapisan dan kata putus terserah kepada presiden parti dan mungkin Perdana Menteri juga sudah dapat senarai calon daripada agensi tertentu yang melihat dan menilai calon lain yang boleh memberi kemenangan kepada parti,” katanya. Nasir tidak sebut pun Mad Said boleh menentukan calon tetapi mengatakan Datuk Seri Mohd Najib Razak akan menentukannya. Apa yang dapat disimpulkan di sini ialah Nasir ini jenis bernafsu besar kerana: 1. Bercita-cita tinggi mahu menjadi Menteri Besar dan tidak peduli nasib wakil rakyat lain khususnya Razif yang kini menjadi ADUN Seberang Takir; 2. Tidak menghormati Datuk Rahin, ADUN Teluk Padu yang juga Exco Kerajaan Negeri; dan 3. Tidak dapat menerima peranan dan sumbangan YB Ramli Nuh yang jelas begitu rapat dengan penduduk. Soalan kepada Nasir ialah apakah beliau berkuasa sangat menentukan calon? Juga apakah ketiga-tiga ADUN sekarang tidak ada rupa, keupayaan dan diri yang mampu membawa kemenangan kepada parti? Yang dibimbangi Nasir membuat kenyataan ini untuk melobi dan melayakkannya bertanding di Seberang Takir, konon akan dilantik menggantikan Mad Said. Bagaimana kalau kelak Nasir pula yang tidak terpilih? (dipetik dari facebvook marzuki muda)
Wallahualam....

JANGAN TUKAR KERAJAAN

Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan bahawa negara akan berdepan pelbagai masalah jika rakyat mengambil risiko dengan bereksperimen untuk menukar kerajaan pada pilihan raya umum akan datang. Bekas Perdana Menteri berkata, ini kerana pentadbiran pembangkang di beberapa buah negeri telah menampakkan pelbagai masalah, selain tiada kesepakatan di kalangan mereka, khususnya melibatkan pelaksanaan hukum hudud. Jelasnya, hal itu berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang menampakkan keseimbangan dalam pelbagai perkara. "Dahulu siapa yang nak lelong Putrajaya? Tetapi kini merekalah (pembangkang) berebut nak kuasai Putrajaya. Hubungan pembangkang bukanlah satu bentuk kerjasama. Mereka pun bertelagah dengan isu hudud. Karpal Singh (Pengerusi DAP) dan Nik Abdul Aziz Nik Mat (Musyidul Am Pas) saling bertelagah. "Pastinya, suasana Parlimen nanti akan penuh dengan perbalahan jika pembangkang mengambil alih negara ini. Ini sangat tidak baik untuk masa depan," katanya ketika menyampaikan ucaptama Forum Ketua Pegawai Eksekutif 2012 anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana di sini semalam
. Beliau berkata, justeru BN perlu menang pilihan raya umum akan datang dengan majoriti dua per tiga supaya fokus dapat diberikan kepada pelan pembangunan negara. Menurutnya, ini kerana kerajaan yang ada ketika ini tidak begitu kuat dan lebih memfokuskan kepada kesinambungan hidup parti untuk terus meraih sokongan rakyat. Jelasnya, ia menyebabkan perhatian kepada meningkatkan ekonomi, pembangunan industri dan perdagangan berkurangan. "BN masih boleh menang dan mentadbir negara tetapi ia tidak begitu kuat. Ini kerana pembangkang sudah menanam rasa benci rakyat terhadap kerajaan. BN boleh menang jika rasa benci itu dapat diatasi," jelasnya. Mengenai janji-janji pembangkang untuk meraih undi rakyat, tegasnya, ia bukanlah sesuatu yang mudah dilaksanakan. "Janji hapuskan cukai dan tol akhirnya akan membebankan negara. Kerajaan perlu kutip cukai sebagai sumber pendapatan. Jika kerajaan tiada sumber pendapatan, ia tidak mampu berfungsi atau menaikkan gaji perkhidmatan awam yang akhirnya mengundang kepada gejala rasuah," tambahnya. Sementara itu, dalam sesi dialog, beliau yang diaju soalan tentang tarikh pilihan raya secara berseloroh berkata, ia mungkin diadakan pada November ini.