Sabtu, Februari 24, 2018

BAS AMFIBIA DIPANDU UJI DAN BUKANNYA ROSAK

KUALA TERENGGANU, 23 Feb (Bernama) -- "Bas amfibia atau amphicoach hanya menjalani latihan pandu uji enjin semalam, bukan rosak" kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian ekoran tular video di laman sosial mengenai bas dua alam berkenaan yang dikatakan rosak dan enjinnya tidak kuat meredah air sungai ketika sesi pandu uji.

"Jangan tularkan mengenai perkara yang tidak benar tentang bas amfibia dengan menyatakan perkara yang negatif mengenai bas berkenaan. Saya ingin betulkan mengenai hal bas berkenaan yang kini tular di media sosial."

"Apa yang kita buat ini adalah untuk pelancongan dan mempromosikan negeri walaupun ia adalah pelaburan yang besar," katanya pada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama Ahli Lembaga Pelawat Hospital dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan Negeri Terengganu, di sini, Khamis.

Ahmad Razif berkata bas bernilai RM3 juta yang menjadi tarikan terbaharu di Terengganu bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada negeri tetapi juga kepada rakyat.

Bas berkenaan yang tiba di Malaysia pada Januari lepas akan dipamerkan di Ekspo Terengganu bermula 25 Feb hingga 3 Mac 2018.

500,000 RAKYAT PULANG KALAU BN TAWAN KELANTAN

GUA MUSANG, 23 Feb (Bernama) -- Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yakin Barisan Nasional (BN) mampu membawa pulang lebih 500,000 rakyat Kelantan yang berhijrah ke negeri lain kerana faktor kerja, untuk menabur bakti di negeri itu jika BN diberi mandat mentadbir Kelantan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Tengku Razaleigh berkata beliau yakin BN mampu membangunkan kembali Kelantan merangkumi semua aspek seperti pendidikan, ekonomi dan infrastruktur, sama seperti yang dinikmati oleh negeri-negeri lain ketika Malaysia sedang menuju ke arah status negara maju.

"Sejak lebih 20 tahun lepas rakyat Kelantan terpaksa berhijrah ke negeri-negeri lain kerana PAS tidak mampu membangunkan Kelantan sekali gus gagal menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri ini.

"PRU14 ini adalah pertimbangan terbaik untuk rakyat menyokong BN kerana hanya BN sahaja yang mampu memulihkan keadaan itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Dewan Orang Ramai di Pos Brooke, di sini hari ini.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Ab Aziz Yusof, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Yahaya Mamat dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu Hashim Alang Abdul Hamid.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang pada PRU14, Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO bahagian tersebut berkata perkara berkenaam masih dalam pertimbangannya.

Katanya, beliau sudah menjadi Anggota Parlimen Gua Musang selama 45 tahun dan tidak pernah tewas pada pilihan raya umum yang ditandinginya.

"PRU14 merupakan penggal ke-12 saya bertanding dan ada beberapa pemimpin BN yang datang jumpa saya minta saya terus bertanding lagi pada kali ini. Saya akan pertimbangkannya," katanya.

-- BERNAMA