Sabtu, Februari 24, 2018

BAS AMFIBIA DIPANDU UJI DAN BUKANNYA ROSAK

KUALA TERENGGANU, 23 Feb (Bernama) -- "Bas amfibia atau amphicoach hanya menjalani latihan pandu uji enjin semalam, bukan rosak" kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian ekoran tular video di laman sosial mengenai bas dua alam berkenaan yang dikatakan rosak dan enjinnya tidak kuat meredah air sungai ketika sesi pandu uji.

"Jangan tularkan mengenai perkara yang tidak benar tentang bas amfibia dengan menyatakan perkara yang negatif mengenai bas berkenaan. Saya ingin betulkan mengenai hal bas berkenaan yang kini tular di media sosial."

"Apa yang kita buat ini adalah untuk pelancongan dan mempromosikan negeri walaupun ia adalah pelaburan yang besar," katanya pada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama Ahli Lembaga Pelawat Hospital dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan Negeri Terengganu, di sini, Khamis.

Ahmad Razif berkata bas bernilai RM3 juta yang menjadi tarikan terbaharu di Terengganu bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada negeri tetapi juga kepada rakyat.

Bas berkenaan yang tiba di Malaysia pada Januari lepas akan dipamerkan di Ekspo Terengganu bermula 25 Feb hingga 3 Mac 2018.