Rabu, Februari 25, 2009

IBRAHIM ALI MEMANG SAYANG PADA UMNO


Datuk Ibrahim Ali, ahli parlimen Bebas memang sayang kepada UMNO tetapi UMNO tak sayang kepadanya. UMNO buangnya sebagai Ketua Penaja UMNO Bahagian Pasir Mas di zaman Datuk Mustapha Mohamad jadi Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan.

Selepas itu UMNO Kelantan diketuai oleh Tan Sri Anuar Musa. Ibrahim masih di luar UMNO. Oleh kerana Ibrahim menyertai pilihan raya kecil Pengkalan Pasir sebagai calon Bebas, maka beliau dipecat dari UMNO serta merta. Malah ada pertairan dalam UMNO yang mengatakan sesiapa yang bertanding sebagai calon Bebas menentang calon BN akan dipecat ahli UMNO seumur hiudp.

Jika UMNO mahu menerima semula Ibrahim, maka peraturan ini perlu dipinda terlebih dahulu. Jika tidak orang akan pertikai kenapa kelonggaran diberi kepada Ibrahim yang pernah menentang UMNO.

Pada tahun 1982 Ibrahim yang merupakan bekas Ketua Pemuda Berjasa menyertai UMNO dan beliau menang sebagai Ketua Pemuda UMNO Pasir Mas. Pada masa yang sama beliau menang Exco Pemuda UMNO Malaysia. Beliau dikatakan membawa Anwar Ibrahim menemui Tengku Razaleigh Hamzah untuk menyertai UMNO. Ku Li yang membawa Anwar bertemu dengan Dr. Mahathir Mohamad dan akhirnya Anwar bersetuju menyertai UMNO gara-gara inisiatif Ibrahim Ali ini.

Ketika itu Ku Li mahu mengimbangi pengaruh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Haji Suhaimi Kamaruddin yang menyokong Musa Hitam bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO. Anwar dibawa masuk ke UMNO untuk menumbangkan Haji Suhaimi. Maka kalahlah Haji Suhaimi pada 9 September 1982.

Pada tahun 1982 Ibrahim tidak diberi peluang bertanding dalam pilihan raya. Beliau diberi peluang bertanding buat kali pertama pada tahun 1986 dan menang. Beliau yang setia dengan Ku Li menyertai Semangat 46 dan berjaya mengekalkan kerusi Pasir Mas pada pilihan raya umum 1990 di atas tiket Semangat 46.

Menjelang pilihan raya umum 1995, beliau melompat ke dalam UMNO dan meninggalkan Ku Li. Pada pilihan raya umum tersebut, beliau gagal mempertahankan kerusi parlimen Pasir Mas.
Sekali lagi beliau gagal merebut kerusi semula Pasir Mas pada tahun 1999.

Pada tahun 2004 beliau masih bersama UMNO. Tetapi akhirnya dipecat dari UMNO apabila digugurkan oleh Tok Pa sebagai Ketua Penaja UMNO bahagian Pasir Mas.

Pada tahun 2008, Ibrahim Ali cerdik. Beliau berunding dengan PAS dan sebagai calon Bebas beliau menggunakan lambang PAS untuk bertanding. Maka dapatlah beliau kembali ke parlimen. Sebagai ahli parlimen Bebas beliau bebas mengkritik tidak kira parti BN atau parti pembangkang. Itu yang menimbulkan kemarahan ahli-ahli PAS kononnya beliau tidak mengenang budi Nik Aziz yang memberi laluan kepadanya bertanding di Pasir Mas.

Ibrahim kini didesak oleh orang PAS untuk mengosongkan kerusi Pasir Mas. Ini menimbulkan minat UMNO Kelantan untuk mempelawa Ibrahim masuk UMNO semula. Halangannya ialah UMNO sudah buat peraturan bahawa sesiapa ahli UMNO yang bertanding sebagai calon Bebas tidak akan diterima menyertai semula UMNO seumur hidup. Maka untuk membenarkan Ibrahim Ali menyertai UMNO, maka halangan ini perlu dipinda.

Sebagai ahli parlimen, Ibrahim gigih bekerja untuk rakyat Pasir Mas. Walaupun beliau tidak dapat peruntukan dari kerajaan, Ibrahim mampu menghidupkan aktivitinya di dalam kawasannya. Beliau seringkali membantu rakyatnya menulis surat sokongan kepada rakyat yang diwakilinya walaupun surat itu belum tentu dilayan oleh menteri-menteri UMNO yang merupakan kawan lamanya.

Ibrahim menunggu Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Presiden UMNO, barulah beliau akan menyertai semula UMNO. Cintanya kepada UMNO tidak perlu dipertikai lagi walaupun beliau kini adalah ahli parlimen Bebas dan seperti katanya beliau sedia menyertai UMNO dengan syarat beliau boleh kekalkan kelantangannya menegur para pemimpin UMNO.

KHAIRY TUNTUT PAS BINCANG ISA


Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menuntut Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub mengadakan perbincangan mengenai isu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah tertangguh sejak tiga bulan lalu.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau membuat tuntutan itu ketika Salahuddin menghantar surat cabaran supaya Dewan Pemuda Pas berdebat dengan Pemuda UMNO berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di Parlimen hari ini.

Khairy berkata, beliau tidak pernah lupa jemputannya kepada Salahuddin untuk membincangkan isu ISA tiga bulan lalu.

''Hari ini Dewan Pemuda Pas minta bincang isu PPSMI pula.

''Saya sudah tiga bulan minta dia bincang tentang ISA tapi masih belum sampai ke meja rundingan," katanya ketika menerima surat cabaran berdebat mengenai isu PPSMI yang ditujukan kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Mengenai cabaran Dewan Pemuda Pas untuk berdebat mengenai isu PPSMI, Khairy menambah, perkara berkenaan mesti dibincangkan terlebih dulu memandangkan pemilihan parti sudah semakin hampir.

''Pemuda UMNO akan membincangkan jawapan kepada surat Dewan Pemuda Pas yang disampaikan kepada saya hari ini," katanya.